Gaya Hidup

Resepi Kejayaan : Bersahabatlah Dengan Pasangan Anda

Oleh Bahauddin Hamizan  •  26 Sep 2018  •  6 min baca

Mencari resepi kejayaan dalam suatu perhubungan adalah kegemaran ramai orang pada masa kini.

Ramai yang memasuki alam perhubungan antara si lelaki atau perempuan tanpa ilmu yang cukup dan matang menyebabkan ramai yang tersilap faham tentang bagaimana mengendalikan destinasi suatu perhubungan itu.

Maka ramai yang tercari-cari apakah formulanya, apakah resepinya, apakah metodnya, dari mana kesemua itu.

Ditambah pula pada hari ini orang ramai menjadikan drama television sebagai rujukan dalam membina persepsi dalam perhubungan secara tidak sedarnya.

Sekalipun kita tahu bahawa drama di kaca television itu cumalah sebuah industri hiburan semata-mata tapi begitulah hakikatnya.

Maka disini penulis hendak mengajak pembaca semua perhatikan serba sedikit tentang apakah resepi perhubungan yang terbaik untuk menentukan ‘long-distance’ atau sekadar ‘short-term’ yang tidak ke mana.

#1- Kunci Resepi Ialah Bersahabat

Ada sebuah kajian yang diterbitkan oleh United Nation World Happiness Report yang ditulis oleh seorang ahli ekonomi dari Kanada bernama John Helliwell yang berkisar tentang bukti bahawa antara resepi kejayaan dalam suatu perhubungan itu mesti dibina dari persahabatan sejati.

Hasil analisis berkenaan menunjukkan responden kebanyakannya memberi petunjuk yang kebanyakan perhubungan yang berjaya itu bermula dengan persahabatan.

Ini menguatkan lagi intuisi penulis bahawa hubungan yang dibina dari asas yang kukuh seperti ‘best friends’ boleh mengukuhkan satu perhubungan itu dengan lebih lama.

Tidak perlu jauh, kita sendiri mesti ada seorang dua kawan baik, bukan? Gaduh macam mana pun mesti akan berbaik juga sebab hubungan kawan itu dibina dengan asas.

Sama ada asas agama, asas kebaikan atau unsur dalaman lain yang lebih bertahan lama.

#2- Persahabatan Nabi Muhammad S.AW. Bersama Isteri

Mengapa persahabatan menjadi kuncinya? Ini kita boleh kaitkan juga dengan sirah Nabi Muhammad S.A.W bahawa baginda ini bukan sekadar mengahwini para isteri baginda sebagai isteri semata-mata.

Namun baginda juga telah berjaya membina hubungan dengan isteri baginda dengan persahabatan sejak dari perkahwinan pertamanya dengan Khadijah Binti Khuwailid.

Ketika Nabi berniaga di Syam baginda memulakan hubungan dengan Khadijah sebagai sahabat karib dalam urusan perniagaan. Dari proses tersebut akhirnya baginda berjaya akhiri perhubungan tersebut dengan pernikahan.

Kemudian perhatikan juga peristiwa perjanjian Hudaibiyah ketika Nabi serta dengan para sahabat hendak menunaikan haji di Makkah ketika itu terpaksa berunding dengan orang kafir musyrikin.

Akhirnya, Nabi terpaksa berundur dari menunaikan tawaf di kaabah kerana ada beberapa rundingan yang menunjukkan di pihak Islam ketika itu terpaksa memegang utuh perjanjian.

Saat itu sahabat seperti Umar al-Khattab ada sedikit tidak berpuas hati dengan keputusan Nabi untuk berundur.

Lalu bila Nabi mengajak para sahabat untuk terus menunaikan tahallul bercukur dan menyembelih haiwan untuk akhiri ibadah haji kerana terikat dengan perjanjian dengan orang kafir, para sahabat kebanyakannya tidak berganjak dan merajuk dengan baginda.

Ketika itu Nabi memasuki sebuah khemah rehat dan menemui isteri baginda Ummu Salamah dan menceritakan segala yang terjadi ketika bersama para sahabat.

Lalu Ummu Salamah terus mencadangkan agar Nabi terus melakukan sahaja tahallul tanpa memberi arahan. Lantas Nabi pun keluar di hadapan para shabat dan memulakan mencukur rambut lalu semua para sahabat yang melihat baginda terus melakukan hal tersebut.

Kisah ini terdapat dalam Riwayat al-Bukhari dan dipanjangkan dalam kitab Fath al-Bari oleh Imam Ibn Hajar al-Asqalani. Kisah ini juga tertulis di dalam kitab Raheeq al-Makhtum oleh Syaikh Safiyurrahman al-Mubarakfuri yang sudah ada terjemahannya di kedai-kedai buku sekarang.

Ini membuktikan bahawa Nabi tidak menunjukkan sikap ‘superior’ suaminya di hadapan isterinya sendiri. Isteri boleh menjadi sahabat dalam kata lain boleh memberi nasihat, cadangan dan seumpamanya.

Jika diperhatikan terdapat segelintir suami yang menganggap isteri itu kekal kedudukannya sebagai isteri, rendah dari suami, tidak layak untuk diajak bertukar-tukar fikiran.

Kemudian jika diperhatikan lagi isteri baginda Aisyah antara perawi hadis Nabi yang ketiga terbanyak dalam meriwayatkan hadis dari Nabi. Imam al-Zahabi dalam kitabnya Siyar A’lam al-Nubala’ merekodkan bahawa Aisyah meriwayatkan lebih kurang 2,210 buah hadis.

Manakala Imam al-Zarkasyi sendiri pernah menulis satu kitab khusus berkenaan Aisyah yang bertajuk al-Ijabah Li Istadrakat Aisyah ‘Ala Sahabah (Jawapan Kritikan Aisyah Terhadap Para Sahabat) yang menunjukkan bahawa Aisyah seorang yang sangat faqih (faham) tentang hadis-hadis dari Nabi sehingga ulama’ boleh menghimpunkan hadis-hadis dari Aisyah sendiri.

Ini menunjukkan sekali lagi bahawa Nabi di samping menyantuni isteri baginda sebagai seorang isteri, baginda juga mengajarkan mereka sehingga jadi seorang faqihah.

Sedangkan jika diikutkan logik, Nabi banyak mengajarkan ilmu agama pada para sahabat lelaki. Namun tidak, baginda tidak hanya menghadkan di situ semata-mata.

Baginda meletakkan hubungan bersama isterinya sebagai ‘sahabat karib’ juga. Di situ wujudnya perbincangan, bertukar-tukar fikiran, mengolah idea, menasihati dan seumpamanya.

#3- Bina Persahabatan Yang Kukuh

Nabi bersabda dalam sebuah hadis yang sahih;

إذا جاءكم من ترضون دينه وخلقه فزوجوه إلا تفعلوه تكن فتنة في الأرض وفساد كبير
“Jika datang kepada kalian seorang lelaki yang kalian redhai agama dan akhlaknya, maka nikahkanlah dia. Jika tidak, maka akan terjadi fitnah di muka bumi dan kerosakan yang besar.”Riwayat Tirmizi

Bagaimana caranya untuk kita mengetahui sifat seseorang? Jawapannya adalah dengan bersahabat dengannya.

Namun, persahabatan itu perlulah di atas landasan ikhlas. Bukan semata-mata untuk menguji seseorang kerana perbuatan itu menjadikan diri kita tidak dapat menerima keadaan diri mereka yang sebenar.

Persahabatan yang baik adalah atas niat kita memang ingin kenali dan tahu peribadi insan tersebut tanpa diletakkan sebarang tanda harga (price tag).

Maksudnya ialah kita tidak mengharapkan apa-apa dalam hubungan persahabatan itu sama sekali. Jika ada sebarang niat ‘udang di sebalik batu’ atau ‘ulterior motive’, perbuatan itu akan merosakkan hubungan persahabatan tersebut.

الْخَبِيثَاتُ لِلْخَبِيثِينَ وَالْخَبِيثُونَ لِلْخَبِيثَاتِ وَالطَّيِّبَاتُ لِلطَّيِّبِينَ وَالطَّيِّبُونَ لِلطَّيِّبَاتِ
“Wanita-wanita yang keji untuk lelaki yang keji. Dan lelaki yang keji untuk wanita-wanita yang keji pula. Wanita-wanita yang baik untuk lelaki yang baik. Dan lelaki yang baik untuk wanita-wanita yang baik pula.”Surah An Nur 24: 26

Sesuatu perhubungan itu tidak mungkin bertahan lama atas persahabatan semata-mata tetapi dalam persahabatan itu mestilah ada tapaknya yang kukuh. Iaitu mestilah sekufu dari aspek spiritual agama dan akhlak.

Kerana inilah yang menjadi pegangan kukuh dalam sesebuah persahabatan itu kelak supaya sentiasa kekal hingga ke syurga.

Kita tidak mahu persahabatan dalam perhubungan itu cuma bertahan di dunia sahaja. Kita mestilah menjaga dari bermusuhan kelak di akhirat nanti seperti firman Allah S.W.T;

وَيَوْمَ يَعَضُّ الظَّالِمُ عَلَى يَدَيْهِ يَقُولُ يَا لَيْتَنِي اتَّخَذْتُ مَعَ الرَّسُولِ سَبِيلاً يَا وَيْلَتَى لَيْتَنِي لَمْ أَتَّخِذْ فُلَاناً خَلِيلاً لَقَدْ أَضَلَّنِي عَنِ الذِّكْرِ بَعْدَ إِذْ جَاءنِي وَكَانَ الشَّيْطَانُ لِلْإِنسَانِ خَذُولاً
“Dan ingatlah ketika orang-orang zalim menggigit kedua tangannya lalu berkata: ‘Aduhai kiranya aku dulu mengambil jalan bersama Rasul. Kecelakaan besar bagiku. Kiranya dulu aku tidak mengambil fulan sebagai sahabat akrabku. Sesungguhnya dia telah menyesatkan aku dari Al Qur’an sesudah Al Qur’an itu datang kepadaku. Dan syaitan itu tidak mahu menolong manusia”Surah Al Furqan 25: 27-29

Akhir kata, bersahabatlah di dunia sehingga ke akhirat kelak. Hubungan yang berteraskan kepada persahabatan sejati kebiasaannya kekal berpanjangan insyaAllah.

Semoga persahabatan kita dan pasangan adalah semata-mata kerana Allah dan direzekikan dengan kebaikan sentiasa.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Bahauddin Hamizan

Bahauddin Hamizan

Graduan Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, UiTM. Meminati aktiviti sukarelawan dan sukan . Penulis buku Pematah Hati Yang Dirindukan.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami