Gaya Hidup, Remaja

Remaja Semakin Tenat – Tuding Jari Atau Cipta Solusi?

Oleh Fieyzah Lee  •  19 Jun 2019  •  6 min baca

Kita melihat terlalu banyak masalah sosial dalam kalangan remaja yang berlaku pada hari ini. Sehingga semalam, kita dikejutkan dengan berbagai masalah akhlak dari golongan mereka yang terjadi.

Ada pelajar yang berdendam dengan guru kaunseling sendiri sehingga mengakibatkan tekanan yang melampau dan menikam guru tersebut dengan beberapa kali tikaman. Malam tadi pula, kita dikejutkan dengan berita 20 orang remaja yang berusia antara 15 sehingga 22 tahun telah ditahan dalam sebuah parti liar di sebuah kondominium mewah. Malah, hasil serbuan juga menunjukkan bahawa terdapat lima orang remaja perempuan yang terlibat.

Apabila melihat berita-berita seperti ini di dada-dada akhbar, pastinya kita semakin risau dan bimbang. Ia menunjukkan gejala dan gaya hidup yang tidak sihat dalam lingkungan anak-anak muda ini semakin meruncing hari demi hari.

Kepada siapa harus ia dipersalahkan? Rata-rata orang yang menilai akan lebih banyak menuding jari dan bukan untuk mencari penyelesaian terhadap masalah ini.

Malah, ada di kalangan ibu bapa sendiri yang meletakkan kesalahan penuh terhadap guru-guru di sekolah yang gagal mendidik dan menjaga anak-anak mereka dengan baik.

Namun, tidak kurang juga kesalahan itu dijatuhkan kepada golongan ibu bapa yang terlalu sibuk dengan kerjaya dan sara hidup yang sangat sibuk sehingga mengabaikan anak-anak.

Wujudnya realiti ini apabila ibu bapa yang keluar mencari rezeki sebelum matahari sempat terpacak di atas kepala dan pulang apabila lewat malam. Malah, ada di kalangan mereka yang jarang-jarang sekali pulang ke rumah akibat terlalu sibuk dengan mesyuarat, outstation dan sebagainya.

Sebenarnya banyak faktor yang menyebabkan terjadinya masalah ini. Kita tidak boleh seratus-peratus meletakkan kesalahan dan beban kepada guru dan ibu bapa.

Kadang-kadang mereka sudah melakukan tugas dan tanggungjawab dengan sebaik mungkin, namun apakan daya ia tetap juga berlaku mungkin dengan wujudnya faktor lain seperti pengaruh rakan sebaya, pengaruh media sosial dan sebagainya.

Berkawanlah Dengan Penjual Minyak Wangi

Kita sering mendengar perumpamaan yang diucapkan oleh orang tua-tua mengenai carilah kawan yang elok atau, ‘kalau nak kawan, kawanlah dengan orang yang baik-baik’ atau ‘kawanlah dengan orang yang boleh bagi pengaruh yang elok, bukan merosakkan kita.’

Mereka sedia maklum, anak-anak mereka bukan ada sepanjang hari di hadapan mata mereka. Malah, jika diamati, masa dengan keluarga sebenarnya sangat terhad. Kita lebih banyak bergaul dengan rakan sebaya berbanding ahli keluarga dan sebagainya.

Malah, Rasulullah SAW juga menekankan agar kita memilih kawan yang elok untuk dijadikan teladan dan teman hidup agar diri kita sendiri tidak terjerumus ke lembah yang tidak diingini.

Ini ada disebut melalui sebuah hadis yang berbunyi:

مَثَلُ الجَلِيسِ الصَّالِحِ وَالسَّوْءِ، كَحَامِلِ المِسْكِ وَنَافِخِ الكِيرِ، فَحَامِلُ المِسْكِ: إِمَّا أَنْ يُحْذِيَكَ، وَإِمَّا أَنْ تَبْتَاعَ مِنْهُ، وَإِمَّا أَنْ تَجِدَ مِنْهُ رِيحًا طَيِّبَةً، وَنَافِخُ الكِيرِ: إِمَّا أَنْ يُحْرِقَ ثِيَابَكَ، وَإِمَّا أَنْ تَجِدَ رِيحًا خَبِيثَةً

“Perumpamaan teman yang baik dan teman yang buruk adalah seperti seorang penjual minyak wangi dan seorang tukang besi. Adapun, penjual minyak wangi akan memberi kamu (minyak wangi tersebut) atau kamu membeli daripadanya atau kamu mendapat bau yang harum daripadanya. Sedangkan tukang besi pula akan membakar bajumu dan juga kamu mendapatkan bau yang busuk.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Malah, kajian juga menunjukkan bahawa pengaruh rakan sebaya ini lagi hebat jika dibandingkan dengan faktor lain.

Kita cenderung untuk berfikir bahawa rakan sebaya sebenarnya lebih memahami kita berbanding ibu bapa atau guru kaunseling. Disebabkan itu, ramai di antara kita yang meletakkan kepercayaan kepada mereka untuk meluahkan masalah atau meminta pandangan.

Disebabkan itulah, ramai di kalangan remaja yang memilih untuk mengikut dan menerima pandangan rakan berbanding orang lain.

Jika kawan itu memberi pendapat yang bernas dan boleh membantu, maka itu adalah suatu nikmat dalam sesebuah persahabatan. Namun, bagaimana jika seseorang itu hanya memberi pendapat berdasarkan apa yang mereka rasa dan bukannya berdasarkan hujah atau fakta yang tepat?

Perlu diingat bahawa umur remaja merupakan antara umur yang penuh dengan kekeliruan. Remaja sedang belajar dan menimba benda baharu. Banyak situasi yang akan dilalui buat kali pertama dalam hidup.

Malah, ada yang tersilap membuat keputusan, ada yang menyesal dengan apa yang berlaku dan ada juga yang berjaya menempuh alam remaja dengan baik.

Oleh itu, sebagai golongan yang lebih berpengalaman seperti ibu bapa dan guru atau remaja lain yang sudah melalui kesusahan dalam hidup, berkongsilah sesuatu yang baik dengan mereka.

Golongan remaja merupakan aset yang paling penting kepada negara dan ummah. Merekalah yang akan mencorakkan negara dengan pimpinan mereka suatu hari nanti.

Jangan dibiarkan golongan yang terjebak dengan dosa. Malah, menjadi suatu kewajipan untuk kita membantu menarik mereka ke arah yang betul kerana tugas menyampaikan bukan hanya terletak di bahu ulama’ dan para ustaz sahaja malah di bahu semua orang.

Contohilah Syeikh Hammad Al-Ansari

Kita banyak mendengar cerita sejarah dan sirah berkenaan nabi-nabi, para sahabat dan ulama’ yang telah banyak berjasa di usia muda.

Antara kisah yang paling diingati dan terkenal ialah kisah Sultan Muhammad Al-Fateh yang telah menakluk Kota Konstantinopel sejak berusia 18 tahun lagi. Hebatnya beliau dan pimpinannya ialah kerana hebatnya ibadah dan pergantungan yang telah diletakkan hanya kepada Allah.

Begitu juga dengan Saidina Ali bin Abi Talib yang telah mendalami ilmu Islam sejak dari usia kanak-kanak lagi sehingga beliau telah diangkat menjadi Khalifah yang ke-empat selepas pemerintahan Saidina Usman.

Antara nama yang tidak asing juga ialah Sheikh Hammad Al-Ansari. Beliau merupakan seorang ahli hadis dan pencinta ilmu sejak dari kecil lagi.

Malah, ramai di kalangan ulama’ besar yang telah menuntut ilmu daripada beliau seperti Syeikh Abdullah bin Jibrin, Syeikh Bakar Abu Zaid, Syeikh Rabi’ bin Hadi, Syeikh Soleh al-Suhaimi dan ramai lagi.

Beliau dikatakan merupakan seorang yang sangat mahir dalam pelbagai ilmu sehingga mampu mengeluarkan beberapa karya yang sangat bermanfaat seperti al-Ajwibah al-Wafiah ‘an Asilah al-Alfiyah, Abu al-Hasan al-Asy’ari wa Aqidatuhu, Tuhfah al-Sail ‘an Saum al-Mudhi’ wa al-Hamil dan banyak lagi.

Sikapnya yang sangat suka dan cinta kepada ilmu sejak dari kecil menjadikan beliau seorang yang penuh dengan ilmu dan sangat merendah diri. Betullah kata pepatah, semakin berisi semakin tunduk.

Beliau juga selalu mendekatkan diri dengan perpustakaan dan orang yang berilmu untuk menimba sesebuah ilmu. Beliau dikatakan seorang yang sangat menghormati orang tuanya dan senang untuk dibuat kawan.

Zaman remaja dan seluruh kehidupan beliau dihabiskan dengan menuntut ilmu dan tidak disia-siakan dengan perkara yang tidak berfaedah.

Oleh itu, sebagai remaja yang hidup pada zaman dan era globalisasi yang penuh dengan mehnah dan fitnah, kita perlu mengisi dada dengan ilmu yang bermanfaat agar tidak mudah terjerumus ke lembah maksiat dan boleh membantu orang lain.

Kesimpulan

Setiap orang memainkan perkara yang peranan yang penting dalam kehidupan ini. Apbila dilihat sesuatu perkara buruk atau yang tidak diingini terjadi, berhentilah mencari dan berbalah mengenai siapa yang harus dipersalahkan, akan tetapi seeloknya jika melihat dan memikirkan jalan penyelesaian yang boleh diguna pakai.

Walaupun kita hanyalah rakyat marhaen dan bukannya golongan atasan yang mempunyai kuasa seperti menteri atau ulama’, tetapi kita juga punya hak untuk membantu sesama kita terutamanya anak-anak remaja yang semakin tenat sekarang.

Rujukan: Mufti WIlayah


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fieyzah Lee

Fieyzah Lee

Merupakan seorang pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami