Gaya Hidup

Reclaim Your Heart: Sebuah Keterikatan Kepada Tuhan

Oleh Natirah Azira  •  4 Sep 2018  •  4 min baca

Saya ada membaca buku tulisan Yasmin Mogahed setahun yang lalu. Berkali-kali saya ingin menulis sesuatu yang istimewa tentang buku ini.

Jika ditanya apakah buku yang membuka mata dan fikiran saya untuk lebih banyak berfikir tentang hubungan saya dengan Tuhan, maka buku ini adalah salah satunya.

Dalam buku tersebut, beliau banyak bercerita tentang persoalan-persoalan hidup seperti kegembiraan, cinta, kesusahan, perpisahan dan hal-hal yang akan selalu membuat kita bertanya;

“Mengapa hal ini terjadi kepada aku?”

Ya, kita manusia biasa. Banyak hal berlaku dalam hidup kita dan kita perlukan jawapan kepada ‘mengapa’.

Namun hidup bukan seperti kertas soalan peperiksaan yang ada skema jawapan. Hidup juga bukan seperti cerita novel yang boleh kita langkau ke muka surat terakhir untuk mengetahui kesudahannya segera.

Hidup adalah tanda tanya, teka-teki dan segala ketidaklogikan. Empunya jawapan hanya Dia. Cuma kita diberi arahan serta ‘klu’ yang akan membawa kepada pengakhiran yang dijanjikan. Kebaikan bagi yang mengerjakan kebaikan dan keburukan bagi yang mengerjakan keburukan.

Dugaan Yang Mengaburkan Mata

Kata beliau lagi, segala dugaan hidup dan ketidaklogikan inilah yang sering mengaburkan mata kita daripada melihat dengan sebenar hakikat hidup.

Kita terlalu terbawa-bawa dengan perasaan pedih dan sakit yang dirasa, sehingga kita tidak mampu melihat di sebalik ‘kepedihan’ tersebut, suatu matlamat yang jauh lebih besar iaitu cinta dan redhaNya.

Segala yang ada di dunia ini dan yang menimpa kita adalah ujian. Segalanya akan kembali kepada Allah. Kita diuji sebenarnya, pada titik lemah yang ada dalam diri kita.

Dalam topik yang lain beliau bercakap tentang ‘attachment’ atau keterikatan kita dengan sesuatu. Setiap orang mempunyai ‘objek’ tempat mereka bergantung, seperti orang, barang, harta, bahkan perasaan.

Bagaimana untuk mengetahui apakah objek yang menjadi tempat kita paling kuat bergantung?

Renunglah ke dalam diri sendiri, pasti kita akan menjumpai apakah ‘perkara’ yang dirasakan sangat penting. Boleh jadi kita rasa mustahil untuk hidup tanpanya atau kita akan benar-benar merana jika ianya hilang dari hidup kita.

Barangkali jawapan yang akan kita temui adalah ‘pasangan’, ‘ibu bapa’, ‘anak’, ‘pekerjaan’, dan ‘harta benda’.

Saya merasakan keterikatan yang paling kuat adalah pada ‘perasaan’. Perasaan kepada sesuatu ‘objek’ atau ‘perkara’.

Jika benda yang kita nampak, kita boleh buang dengan mudah, tetapi jika perkara itu adalah sebuah perasaan, bagaimana untuk kita buang dengan mudah jika tidak benar-benar dengan mujahadah? Perasaan benci dan sayang kepada seseorang.

Perasaan suka akan sesuatu. Perasaan sedih, kecewa, risau, tidak bersemangat, putus asa dan segala macam jenis perasaan lagi.

Bagi saya itulah cabaran yang paling menakutkan. Diri sendiri umpama gelanggang perang yang bergelombang dengan bermacam-macam perasaan.

Di Mana Kita Meletakkan Hadiah: Di Tangan atau Hati?

Saya teringat kata-kata Ustaz Pahrol dalam sebuah tulisan di blognya. Hal yang sama turut diutarakan oleh Yasmin dalam buku ini. Tentang ‘hadiah’ atau pinjaman yang diberi Tuhan. Di mana kita meletakkannya. Di tangan atau di hati?

Jika kita meletakkan hadiah tersebut di tangan, maka kesakitan yang kita rasa apabila hadiah tersebut diambil semula hanya sekadar kesakitan biasa. Kita tidak akan berlama-lama dalam kesedihan.

Tetapi jika hadiah itu diletakkan di hati, sudah pasti kesakitan yang kita rasa akan luar biasa dan berbekas lama. Itu juga tanda kita sudah ‘terikat’ dengan hadiah tersebut dan bukan lagi dengan pemberinya.

Kita sudah silap meletakkannya. Marilah kita alih semula arah dan pandangan kita kepada Dia, tempat berpaut yang sebenar-benarnya.

Kita manusia biasa, dan kita sentiasa lupa. Ada masa kita kuat dan ada masa kita lemah. Allah tahu dan Allah tidak pernah tidak mahu membantu.

Soalnya adakah kita meminta tolong dan jikalau kita meminta pula adakah kita mendengar dan akur dengan jawapan yang diberikan. Sesungguhnya Allah lah yang akan mencukupkan hamba-hambaNya.

Semoga Allah menjauhkan hati kita daripada terikat dengan dunia dan seisinya. Semoga apabila kita kembali kepadaNya, kita tidak membawa segala luka-luka dan kepedihan kerana dunia.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami