Ibadah

Rasulullah Menyarankan Doa Ini Dibaca Pada Malam Lailatul Qadar

Oleh Natirah Azira  •  30 May 2019  •  2 min baca

Berbaki lima hari lagi sebelum Ramadan melabuhkan tirainya. Bagi pemburu-pemburu malam Lailatul Qadar, pasti persiapan semakin dirapikan untuk menemuinya.

Rasulullah SAW pula apabila tiba ke sepuluh hari terakhir pada bulan Ramadan, baginda tidak akan meninggalkan iktikaf di masjid, bangun solat malam malah mengejutkan ahli keluarganya untuk turut sama beribadah kepada Allah. Amalan ini bukan sahaja dilakukan oleh Nabi SAW malah diikuti oleh para sahabat.

Malah terdapat doa khusus yang diajarkan sendiri oleh Nabi SAW yang boleh dibaca apabila bertemu malam lailatul Qadar.

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَرَأَيْتَ إِنْ عَلِمْتُ أَيُّ لَيْلَةٍ لَيْلَةُ الْقَدْرِ مَا أَقُولُ فِيهَا قَالَ قُولِي اللَّهُمَّ إِنَّكَ عُفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي

Daripada Aisyah R.anha, ia berkata, “Aku pernah bertanya pada Rasulullah SAW, iaitu jika ada suatu hari yang aku tahu bahawa malam tersebut adalah lailatul qadar, apakah doa yang mesti aku ucapkan?” Jawab Rasululullah SAW: “Berdoalah: Allahumma innaka ‘afuwwun tuhibbul ‘afwa fa’fu’anni ”

Maksud: Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah yang maha pengampun dan sentiasa memberi pengampunan atas kesalahan hambamu, maafkanlah segala kesalahanku” (Sunan Tirmizi, no. 3513, Dar Kutub Ilmiyyah – Status Hadis Sahih)

Kita hamba yang berdosa dan tidak akan dapat mengecualikan diri daripada dosa. Maka Rasulullah menyarankan kita semua agar sentiasa memohon ampun kepada Allah lebih-lebih lagi pada malam lailatul Qadar. Besarnya keampunan yang disediakan apabila dosa-dosa yang lalu terhapus begitu sahaja.

Melalui riwayat-riwayat yang disampaikan, kita mengetahui tanda-tanda Lailatul Qadar antaranya – malam itu terasa lebih cerah, terang, keadaannya tenang, tidak panas dan tidak dingin, paginya pula matahari akan terbit dalam keadaan jernih.

Ramai yang teruja untuk melihat apa yang berlaku pada malam itu. Ia tidak salah, namun yang perlu diutamakan adalah amalan yang dilakukan, bukan tanda semata-mata.

Ibnu Hajar al-Asqalani sendiri ketika menjelaskan tanda-tanda lailatul qadar, beliau memberi komen, “Terkadang lailatul qadar telah memperlihatkan sejumlah tanda-tandanya, dan kebanyakan tidak kita ketahui kecuali setelah tanda-tanda itu berlalu.” (Fathul Bari, 4/307)

Sesungguhnya usaha untuk mencari malam Al-Qadar adalah usaha yang perlu dilakukan sepanjang hayat. Amal ibadah dilakukan sebaik mungkin, hati pula dijaga supaya menjadi tempat hadirnya cahaya dan bisikan baik para malaikat.

Natijahnya apabila dikurniakan bertemu malam Al-Qadar, kesolehan dan kesucian hati berganda dan menjadi lebih dekat dengan kebaikan. Hubungan dengan Allah (hablumminaAllah) dan hubungan dengan manusia (hablumminannas) pula menjadi lebih teguh dan kuat.

Setiap perkara yang istimewa itu memerlukan usaha dan kesungguhan. Semoga kita juga dianugerahkan pertemuan dengan malam Al-Qadar. Teruskanlah berdoa dengan doa yang telah diajarkan Nabi SAW, mudah-mudahan hati kita menjadi tempat terkandungnya segala kebaikan dan dosa juga diampunkan.

اللَّهُمَّ إِنَّكَ عُفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي

“Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah yang maha pengampun dan sentiasa memberi pengampunan atas kesalahan hambamu, maafkanlah segala kesalahanku”


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami