Eksklusif

Rahsia Di Sebalik Nama Masjid Raja Haji Fi Sabilillah, Cyberjaya

Oleh Azian Mohamed Isa  •  16 Jan 2020  •  3 min baca

Jika ke Cyberjaya, jangan lepaskan peluang untuk singgah dan solat di Masjid Raja Haji Fi Sabilillah atau lebih dikenali sebagai Masjid Cyberjaya.

Pada saya, nama masjid ini begitu unik. Ini adalah kerana di hujung Masjid Raja Haji ini ada perkataan Fi Sabilillah. Bermacam-macam andaian bermain di fikiran.

Mungkinkah masjid ini hasil sumbangan para dermawan untuk tujuan ke jalan Allah? Atau pun bersempena nama Raja Haji, nama yang pernah saya dengar dan baca di dalam buku teks Sejarah semasa bersekolah di Tingkatan Dua?

Perasaan ingin tahu menemukan saya dengan jawapan yang terpampang pada papan informasi di ruang legar masjid ini.

Masjid ini diambil namanya daripada nama Raja Haji Fi Sabilillah Ibni Upu Daeng Chelak (1727-1784), iaitu adinda kepada Raja Lumu Sultan Selangor Pertama-Sultan Salehuddin (1756-1777).

Raja Haji pernah memerintah Kepulauan Riau pada tahun 1747-1777 dengan gelaran Yam Tuan Muda Riau ke -4. Seorang pemerintah yang adil dan sangat berpegang teguh dengan ajaran Islam.

Baginda merupakan satu-satunya pahlawan Bugis yang telah menjelajah hampir ke seluruh negeri-negeri di Tanah Melayu termasuklah negeri Selangor.

Bersama-sama anak saudaranya, Sultan Ibrahim, Sultan Selangor kedua, Baginda mempertahankan kota Kuala Selangor daripada serangan Belanda.

Pada tahun 1784, Baginda telah memimpin angkatan perang Melayu dan Bugis untuk membebaskan Melaka daripada penjajahan Belanda. Usaha ini merupakan salah satu jihad ke jalan Allah bagi memelihara dan mengembalikan Melaka sebagai Pusat Penyebaran Islam.

Atas dasar ini, Baginda dikenali dengan gelaran Raja Haji Fi Sabilillah. Baginda syahid dan mangkat dalam peperangan ini dan jenazah Baginda dimakamkan di Teluk Ketapang, Melaka sebelum dituntut oleh keluarga Baginda dari Riau untuk dipindah dan dimakamkan semula di Pulau Penyengat, Kepulauan Riau di Indonesia.

Itulah serba ringkas sejarah masjid ini. Yang paling menarik, masjid ini ialah masjid pertama di Malaysia yang hampir keseluruhannya menggunakan teknologi hijau.

Masjid ini juga merupakan rumah ibadat pertama di dunia mendapat pengiktirafan platinum kerana menepati Piawaian Bangunan Hijau (GBI). Di antara ciri-ciri bangunan hijau masjid ini ialah:

#1- Takungan Air Bawah Tanah

Sistem ini bagi mengumpul lebihan air wuduk dan penuaian air hujan untuk kegunaan mengepam tandas dan menyiram pokok di sekeliling masjid.

#2- Panel Solar

Masjid ini ialah masjid pertama di Malaysia yang bumbungnya dilengkapi panel solar untuk menjana kuasa elektrik.

#3- Sistem Penghawa Dingin

Sistem penghawa dinginnya menggunakan tenaga rendah, direka untuk kegunaan kira-kira dua jam semasa solat Jumaat, solat sunat Aidilfitri, Aidiladha dan tarawih.

#4- Sistem Pancaran Rendah

Kubahnya menggunakan dua panel kaca pancaran rendah (LE) yang menghalang pancaran terus matahari. Teknologi ini yang pertama seumpamanya dipasang di negara ini pada binaan masjid.

Udara panas akan keluar menerusi ventilator di bawah puncak kubah itu yang mengeluarkan udara panas yang terperangkap dan mengurangkan suhu di ruang utama solat.

#5- Sistem Pengesan

Lampu yang dipasang menggunakan sistem pengesan, menjimatkan tenaga elektrik dan juga tenaga manusia untuk selenggaraan.

Selain nama masjid, binaan menara tinggi yang unik juga amat menarik perhatian. Menara setinggi 27 meter berilhamkan rukun Islam yang lima. Ada kemudahan tempat mengambil wuduk di situ.

Reka bentuk Masjid Raja Haji Fisabilillah ini tampil moden namun, masih mengekalkan elemen tradisional.

Di ruang solat utama dan juga mimbar, kayu tempatan dari Terengganu digunakan dan dihiasi ukiran bunga dan tulisan khat. Corak ukiran kayu mimbar dan mihrab dipilih oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafudin Idris Shah sendiri.

Masjid ini telah menerima banyak pengiktirafan. Antaranya ialah

Pam Award Gold 2017, The Plan Award 2016-Shortlisted, Reka 2016 Mention Award.

Sebelum ini, kunjungan ke masjid hanyalah sekadar melaksanakan ibadah sahaja, tanpa memikirkan soal-soal sejarah dan seni bina. Namun selepas mengunjungi Masjid Raja Haji Fi Sabilillah, perspektif saya sudah berubah.

Selain melaksanakan ibadah, pasti ada sejarah dan justifikasi dalam setiap reka bentuk yang dizahirkan dalam pembinaan setiap masjid di Malaysia.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Azian Mohamed Isa

Azian Mohamed Isa

Pemegang Sarjana dalam bidang Sains Biologi, pernah menyandang jawatan pensyarah. Kini seorang penulis sepenuh masa. Seorang pemikir dan pengembara. Kisah kembaranya di Xi’an, China dan Pulau Mauritius boleh diikuti di dalam majalah E&T yang diterbitkan oleh MySet, myset.org.my. Salah seorang penulis di dalam buku antologi himpunan kisah benar berjudul ‘BLUR’ yang diterbitkan oleh Buku Puris.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami