Ibadah

Putuskah Saf Jika Kanak-Kanak Bersolat Di Sebelah Orang Dewasa

Oleh Natirah Azira  •  16 Aug 2019  •  4 min baca

Kita kerap kali diingatkan supaya memakmurkan masjid serta mengunjunginya untuk melakukan amal ibadat. Anjuran untuk mengimarahkan masjid bukan hanya terhad kepada orang dewasa sahaja, tetapi termasuklah kanak-kanak.

Ajar Anak-Anak Untuk Dekat Dengan Masjid

Pesan orang tua-tua, penting untuk membawa anak ke masjid bagi mendidik mereka tentang hal-hal agama. Selain didikan yang boleh diberikan di rumah, mereka juga perlu diajar dekat dengan ‘rumah Allah’.

Namun sesetengah tempat masih belum mengamalkan budaya masjid yang mesra kanak-kanak. Bahkan, mereka akan dihalau supaya bermain di luar masjid jika berbuat bising.

Hal ini tidak bertepatan dengan apa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW. Di dalam Kitab Sahih Bukhari, terdapat sebuah hadis yang menceritakan tentang bagaimana Rasulullah SAW menyusun saf kanak-kanak.

Baginda mengarahkan Anas bin Malik RA berada bersama-sama kanak-kanak kecil dan kemudian Rasulullah SAW solat bersama mereka.

Al-Imam al-Mawardi Rahimahullah di dalam kitabnya al-Hawi al-Kabir menukilkan mengenai permasalahan di atas. Kata beliau: “dan telah berkata sebahagian ashab kami, yang lebih utama itu adalah dengan meletakkan kanak-kanak (di dalam saf) di antara dua lelaki kerana lebih membawa kanak-kanak tersebut kepada mempelajari pergerakan-pergerakan solat.” (Lihat al-Hawi al-Kabir, 2/340)

Adakah Saf Terputus?

Tidak ada sumber hadis yang menyatakan bahawa saf akan terputus apabila kanak-kanak bersolat di dalam saf golongan dewasa.

Bahkan ulama’ kontemporari seperti Syeikh Ibn Baz Rahimahullah dan Syeikh Ibn ‘Uthaimin Rahimahullah mengatakan bahawa saf tidak terputus walaupun adanya kanak-kanak dalam saf tersebut.

Pendapat ini disandarkan kepada sebuah hadis sahih daripada Anas bin Malik R.anhu, beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda :

إِنِّي لَأَدْخُلُ الصَّلَاةَ أُرِيدُ إِطَالَتَهَا فَأَسْمَعُ بُكَاءَ الصَّبِيِّ فَأُخَفِّفُ

Maksudnya: Sesungguhnya aku masuk ke dalam solat dan aku hendak memanjangkannya. Kemudian aku mendengar suara tangisan kanak-kanak maka aku ringkaskan (solat) – Riwayat al-Bukhari, no. 666 & Muslim, no. 723)

Rasulullah SAW juga menunjukkan bagaimana jika terpaksa membawa anak kecil ke dalam solat. Hadis yang menerangkan hal ini telah diriwayatkan oleh Abu Qatadah al-Ansori RA, baginda SAW bersabda:

رَأَيْتُ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم يَؤُمُّ النَّاسَ وَأُمَامَةُ بِنْتُ أَبِي الْعَاصِ وَهِيَ ابْنَةُ زَيْنَبَ بِنْتِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم عَلَى عَاتِقِهِ، فَإِذَا رَكَعَ وَضَعَهَا وَإِذَا رَفَعَ مِنْ السُّجُودِ أَعَادَهَا

Maksudnya: “Aku melihat Nabi SAW mengimami solat sedang mendukung Umamah binti Abi al-As yang juga anak perempuan Zainab binti Rasulillah SAW. Apabila Baginda rukuk diletakkannya dan apabila bangun dari sujud Baginda mengangkatnya semula” (Riwayat Muslim, no. 845).

Kedudukan Kanak-Kanak Dalam Saf Solat

Pihak Mufti Wilayah Persekutuan juga telah menggariskan panduan tentang kedudukan kanak-kanak dalam saf solat sebagaimana berikut:

1. Keadaan Pertama – Imam Bersama Dua Atau Lebih Makmum Lelaki

Jika imam bersama dengan dua orang ataupun lebih daripada makmum lelaki, atau di belakang imam ada seorang lelaki dewasa dan seorang kanak-kanak lelaki maka kedua-duanya berada di dalam satu saf di belakang imam.

2. Keadaan Kedua – Dua Makmum Lelaki Dan Seorang Makmum Wanita

Jika terdapat dua orang makmum lelaki dan seorang perempuan, maka kedua lelaki tersebut (tidak kira dewasa atau kanak-kanak), maka kedua-duanya berada di dalam satu saf di belakang imam manakala perempuan tersebut berada di belakang keduanya.

3. Keadaan Ketiga – Ramai Makmum Lelaki Dan Perempuan

Apabila terdapat ramai makmum yang mengikuti imam, tidak kira makmum lelaki atau perempuan, maka kedudukannya adalah seperti berikut:

Pertama, saf golongan lelaki dewasa terlebih dahulu, diikuti saf kanak-kanak lelaki, dan seterusnya saf makmum perempuan. Terdapat juga suatu pendapat para fuqaha’ dari Mazhab Syafie yang mengatakan bahawa diletakkan di antara dua orang lelaki dewasa itu seorang kanak-kanak supaya dia dapat mempelajari pergerakan-pergerakan solat. Lihat Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (27/36-37).

Namun mengikut cadangan pihak Mufti, susunan yang lebih afdhal ialah – meletakkan kanak-kanak yang telah mampu berdikari di saf kanak-kanak. Tetapi, jika dibimbangi tentang keselamatan mereka, bolehlah meletakkan mereka di sebelah ibu bapa, dan lebih baik lagi ibu bapa tersebut bersolat di tepi dinding dan meletakkan anak-anak di hujungnya. Hal ini dapat mengelakkan daripada jemaah lain terganggu.

Kesimpulan

Mengenalkan kanak-kanak kepada syiar Islam seperti masjid serta solat berjemaah di dalamnya merupakan tanggungjawab ibu bapa. Selain itu, ia juga merupakan satu peluang untuk mendidik anak-anak tentang tingginya kedudukan dan kehormatan masjid dalam Islam.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Psikologi di universiti yang sama. Seorang yang suka membaca pelbagai genre bahan bacaan terutama sejarah, sastera, motivasi dan psikologi.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami