Wanita

Puasa Sunat – Adakah Isteri Perlu Meminta Izin Suami?

Oleh Fizah Lee  •  19 Feb 2020  •  2 min baca

Jika seorang isteri ingin berpuasa sunat seperti puasa Isnin Khamis, puasa ganti Ramadan dan juga puasa Arafah, jumhur ulama bersepakat bahawa mereka perlu meminta izin daripada suami. Jika suami tidak mengizinkan isteri tersebut untuk berpuasa, maka isteri itu tidak boleh berpuasa.

Walau bagaimanapun, jika si isteri tetap berpuasa, maka puasanya masih sah namun perbuatannya adalah haram. Ia adalah melalui pendapat Imam Nawawi berdasarkan hadis yang dinukilkan oleh Abu Hurairah RA:

لاَ تَصُومُ المَرْأَةُ وَبَعْلُهَا شَاهِدٌ إِلَّا بِإِذْنِهِ

Maksud: “Seorang wanita (isteri) tidak boleh berpuasa sedangkan suaminya ada di sisinya, kecuali dengan izinnya.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 5192)

Hadis di atas telah diterangkan oleh Imam Nawawi RA melalui kitabnya yang berbunyi:

هذا محمول على صوم التطوع والمندوب الذي ليس له زمن معين وهذا النهي للتحريم صرح به أصحابنا وسببه أن الزوج له حق الاستمتاع بها في كل الأيام وحقه فيه واجب على الفور فلا يفوته بتطوع ولا بواجب على التراخي

Maksud: “(Larangan) ini dimaksudkan untuk puasa sunat (yang memiliki waktu tertentu, contohnya puasa Isnin dan Khamis) dan juga puasa sunat yang tidak memiliki waktu tertentu (puasa sunat mutlak). Larangan ini bermakna haram sebagaimana yang ditegaskan oleh ulama mazhab Syafi’e. Sebab larangan ini adalah suami memiliki hak untuk meminta hubungan badan dengan isteri di siang hari. Hak suami ini adalah kewajipan yang wajib ditunaikan segera oleh isteri, bukan pula kewajipan yang boleh ditunda dan tidak boleh dihalangi dengan puasa sunat.” (Syarh Muslim, 7:115)

Ulama Syafi’e membawa maksud meminta izin suami ialah dengan memaklumkan kepada suami terlebih dahulu mengenai puasa tersebut dan mendapatkan redanya.

Adapun, jika puasa selain daripada puasa sunat, iaitu puasa di bulan Ramadan, maka tidak perlu meminta izin kerana ia adalah puasa wajib yang dilakukan oleh semua umat Islam.

Ibnu Hajar Al-Asqalani pula menerangkan bahawa, menunaikan hak suami itu adalah lebih baik daripada menjalankan kebaikan yang sunat. Hal ini kerana, menunaikan hak suami adalah wajib dan perlu didahulukan.

Adapun, berkenaan dengan puasa qada, sebahagian ulama seperti Mazhab Syafi’e mengatakan wajib juga untuk meminta izin sebagai tanda memaklumkan kepada suami. Jika suami tidak mengizinkan, maka carilah hari lain untuk menggantikan puasa. Adapun, jika sudah kesuntukan masa untuk menggantinya, berbincanglah dengan baik agar wujudnya toleransi dan kefahaman di antara suami isteri tersebut.

Sebahagian jumhur ulama lagi berpendapat bahawa, jika puasa qada, maka tidak mengapa untuk tidak meminta izin kerana ia adalah puasa yang wajib digantikan, iaitu hutang puasa wanita itu kepada Allah.

Walau bagaimanapun, jumhur ulama bersepakat bahawa pendapat pertama daripada Mazhab Syafi’e adalah lebih disepakati dan diikuti.

Jika suami tersebut tiada di rumah, contohnya oustation selama beberapa hari, maka tidak mengapa untuk berpuasa tanpa keizinannya. Adapun, adalah lebih baik untuk memaklumkan kepadanya terlebih dahulu sebagai tanda hormat seorang isteri kepada suami.

Wallahu a’alam.

Sumber:
Muslim.or.id


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami