Eksklusif

Prinsip Kajian Dalam Perubatan Oleh Ibnu Sina Yang Disebut Oleh Dato’ Dr Musa Dalam Debat Vaksin

Oleh Natirah Azira  •  16 Feb 2019  •  4 min baca

Perdebatan tentang pengambilan vaksin semakin hangat dibicarakan di Malaysia. Sebahagian pihak berhujah bahawa pengambilan vaksin merupakan langkah yang sangat penting bagi memastikan tidak ada penularan wabak penyakit yang berbahaya. Golongan anti-vaksin atau dipanggi pro choice pula bertegas bahawa penggunaan vaksin dapat memberi kesan sampingan yang berbahaya terutamanya kepada kanak-kanak yang menerimanya.

TV Al-Hijrah telah mengambil inisiatif untuk membawa isu penting ini ke tengah masyarakat menerusi rancangan Analisis semalam dibawah tajuk Vaksin: Perlindungan Atau Kemudaratan.

Sesi soal jawab tersebut telah menampilkan Dato’ Dr Musa Mohd Nordin, Pakar Perunding Pediatrik dan juga Dr Huda yang merupakan seorang doktor lokum. Dato’ Dr Musa yang tampil dengan hujah serta fakta yang jelas telah memetik prinsip kajian saintifik yang telah digagaskan oleh sarjana Islam yang tidak asing lagi dalam dunia perubatan silam iaitu Ibnu Sina.

Ramai yang pernah mendengar tentang karya agung beliau yang bertajuk ‘Al-Qanoon fi al-Tibb’ (The Canon of Medicine) atau dalam bahasa Melayunya boleh difahami sebagai prinsip dan undang-undang dalam perubatan.

Bab kedua dalam buku tersebut yang bertajuk “the recognition of strengths of the characteristics of medicines through experimentation” telah menggariskan tujuh prinsip utama dalam kajian ubat-ubatan.

Ibnu Sina berkata, “Eksperimen akan berjaya memahamkan kita tentang kekuatan (keberkesanan) penggunaan ubat-ubatan, jika syarat yang dinyatakan seperti di bawah diikuti”

1. Ubatan yang dikaji mestilah asli, tidak dipengaruhi oleh suhu panas atau sejuk, bahan asing jika wujud sekalipun mestilah tidak memberi apa-apa kesan sampingan atau mencemarkan bahan asli tersebut.

2. Ubat tersebut mestilah dikaji untuk satu situasi sahaja – dalam erti kata lain, satu ubat untuk pesakit yang mempunyai satu kondisi penyakit sahaja; supaya pengkaji boleh mengetahui tentang bahan dan kesan yang spesifik yang terhasil daripada penggunaanya.

3. Ubat mestilah diuji pada penyakit yang berbeza. Jika ia berkesan kepada kedua-duanya (atau lebih), maka tidak boleh dikatakan bahawa ubat tersebut berkesan untuk satu jenis penyakit sahaja.

4. Dos ubat yang diuji ke atas pesakit mestilah sesuai dengan tahap penyakit yang dialami oleh pesakit tersebut. Lebih baik jika ia dimulakan dengan dos yang rendah kemudian ditingkatkan sedikit demi sedikit bagi melihat kesan yang terhasil daripada penggunaan dos yang berbeza.

5. Tempoh untuk sesuatu ubat bertindak balas mestilah diambil kira. Jika tindak balas ditunjukkan sebaik sahaja pengambilan ubat, maka jelas bahawa ubat tersebut mempengaruhi tindak balas tersebut. Jika kesannya lambat, atau setelah satu kali percubaan ia menunjukkan tindak balas, manakala percubaan kedua pula tidak, maka hal ini perlu diambil perhatian.

Dalam prinsip kelima ini, Ibnu Sina menekankan tentang ‘long-term observation’ atau pemerhatian jangka masa panjang yang diperlukan ke atas ujikaji sesuatu ubat. Tempoh reaksi, tempoh pemerhatian atau faktor-faktor luaran yang boleh mempengaruhi perlu diambil perhatian.

6. Ubat-ubatan mestilah diuji dalam tempoh yang panjang, bagi memastikan tindak balas yang terhasil adalah benar-benar tulen.

Pada prinsip keenam inilah yang dinamakan ‘reproducibility of the finding’ seperti yang disebutkan oleh Dato Dr Musa semalam dalam hujahnya tentang penggunaan vaksin. Bagi memastikan suatu ubat itu benar-benar berkesan, maka hasil yang diperoleh pada kali pertama percubaan kajian mestilah boleh dihasilkan berulang kali oleh para pengkaji lain.

Dalam hujah yang ditampilkan oleh Dr Huda berkenaan kajian Andrew Wakefield tentang ‘vaksin dan kesannya kepada penyakit autism’ tidak pernah dapat dibuktikan semula oleh mana-mana pengkaji.

7. Bagi memahami tentang keberkesanan dan kekuatan sesuatu ubat, ia mestilah diuji ke atas manusia.

Ketujuh-tujuh prinsip ini langsung tidak bertentangan dengan kajian perubatan moden pada masa sekarang. Ujar Dr Musa lagi dalam sesi perbincangan tersebut, vaksin telah melalui kajian yang sangat lama sekurang-kurangnya 10-15 tahun sebelum dikeluarkan untuk kegunaan umum.

Ia juga melalui empat fasa klinikal – iaitu pertama sekali diuji ke atas binatang, kemudian kepada 10 hingga 20 subjek, seterusnya diuji ke atas 10,000 orang (randomized control trial), dan terakhirnya barulah diguna pakai secara meluas. Vaksin terbukti berkesan mampu membendung wabak penyakit.

Rujukan:
Jurnal bertajuk “Ibnu Sina and The Clinical Trial” oleh Davood Mansouri


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Psikologi di universiti yang sama. Seorang yang suka membaca pelbagai genre bahan bacaan terutama sejarah, sastera, motivasi dan psikologi.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami