Inspirasi

Pohon Yang Tumbuh Di Puncak Bangunan Itu Tidak Beralasan

Oleh Natirah Azira  •  24 Oct 2017  •  4 min baca

Dari jauh saya terpandang sepohon pokok kecil yang tumbuh di corong laluan air, bumbung tingkat lima ini. Hijau dan segar.

Saya pandang ke kawasan sekitar di bawah. Banyak pokok-pokok besar, ada yang sebesar pemeluk dan ada yang sedang-sedang saiznya.

Tapi pohon-pohon itu semua di atas tanah. Jauh, nun di bawah sana. Ini satu-satunya pohon di atas bumbung ini, tiada yang lain. Hati saya kagum.

Ya, saya masih ingat pembelajaran sains waktu darjah 3, untuk tumbuh pohon hanya memerlukan air dan cahaya matahari yang cukup, walaupun tidak ada tanah.

Jadi tidak mustahil sebenarnya. Tapi tetap saya masih ingin menyimpan rasa kagum. Pohon itu tidak mempedulikan persekitaran untuk tumbuh, cukup air dan cahaya matahari, ia tumbuh dengan kuasa Allah! Pohon itu tidak beralasan!

Adakah Kita Sentiasa Beralasan?

“Alah masa tak cukuplah nak siapkan assignment”

“Aku takutlah, tak nak lah masuk pertandingan tu, nanti kalah”

“Aku tak suka la cara bos tu, nak buat kerja pun tak ada mood!”

Kadang-kadang dalam hidup kita, kita kerap kali beralasan. Terlalu banyak perkara yang menyebabkan kita berhenti atau langsung tidak melakukan sesuatu.

Kita jadikan ketakutan sebagai penghalang diri untuk improve atau berubah ke arah yang lebih baik. Dan di akhirnya, kita hanya memandang kejayaan orang lain sambil menggumam;

“Kenapa aku tak boleh buat macam dia”

Tanpa kita sedari orang yang kita lihat itu juga memulakan langkah pertama. Dia mengatasi ketakutannya dengan mencuba, dengan mendiamkan sebentar hatinya yang ketakutan, yang kadang-kadang risau tanpa alasan yang kukuh.

Atau kita boleh kembali bertanya kepada diri kita sendiri, apa sebenarnya yang kita mahukan dalam hidup ini.

Apa, bila dan bagaimana? Kita ketepikan dahulu soal buah yang ranum, dan fokuskan kepada akarnya, pada baja dan airnya.

Kita ketepikan dahulu soal natijah di akhirnya. Kita fokuskan soal persiapan. Jika kita mampu menjawab kesemua soalan ini, pasti perancangan yang rapi juga mampu kita lakukan.

Sebagai contoh, kita mahu menjadi seorang tukang jahit atau pereka pakaian. Bila kita mahu mempunyai kedai atau label sendiri? 5 tahun lagi? 10 tahun lagi?

Jadi sudah pasti kita perlu memulakan langkah dari sekarang. Dengan menjawab persoalan bagaimana pula akan membawa kita kepada langkah dan pelan yang tersusun.

Atau kita mahu mengubah persekitaran kita ke arah yang lebih baik, di tempat kerja contohnya. Jadi dari mana yang boleh kita mulakan? Sudah pasti dari kita sendiri.

Jadilah seperti air yang mengalir, bukan air yang bertakung. Air yang mengalir mampu menjernihkan persekitarannya, tetapi air yang bertakung lama kelamaan akan menjadi kotor dan busuk.

Pohon yang saya nyatakan di atas pasti tidak beralasan tentang tanah yang tidak ada, tentang kawan-kawan pohonnya yang lain di bawah sana, atau tentang dia yang hanya bersendirian di atas bumbung. Pohon itu tidak beralasan!

Peganglah Penyapu Anda Sendiri!

Saya teringat satu video motivasi yang pernah saya tonton di laman Facebook. Tentang seorang jurulatih bola keranjang.

Setiap malam, setelah selesai latihan, pasti dia akan membersihkan gelanggangnya sendiri. Dan apabila ditanya mengapa dia melakukan hal tersebut, lantas dia menjawab;

“Jika kamu mahu memberi impak kepada orang lain, kamu mesti memegang penyapu kamu sendiri!

Dalam erti kata lain, kita mesti bertanggungjawab atas apa yang telah dipertanggungjawabkan kepada kita.

Jika anda seorang pemandu, jadilah pemandu yang berhemah. Jika anda seorang tukang masak, jadilah tukang masak yang paling baik menyediakan masakannya.

Jika anda seorang pelajar, jadilah pelajar yang paling tekun dengan ilmu dan masa! Inilah dia ciri qawiy(kuat) dan amin(amanah dan dipercayai) yang dinyatakan dalam Al-Quran;

Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: “Wahai ayah, ambilah dia memjadi orang upahan (mengembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah”Surah Al-Qasas:26

Seperti penerangan dalam kitab tafsir Fi Zilal Quran karangan Syed Qutb, dalam kisah ini Nabi Musa diambil bekerja kerana dirinya yang kuat bekerja serta amanah.

Baginda amanah dalam menjaga kehormatan dua wanita tersebut, juga amanah dalam menguruskan harta.

Kadang-kadang kita tidak mampu mencapai semua perkara yang kita impikan. Sesetengah orang perlu mengorbankan kehendak diri sendiri demi keluarga dan orang lain.

Realiti hidup seakan mengikat kaki di bumi dan menghalang dari terbang tinggi. Namun hakikatnya kita masih mampu memaknakan setiap pekerjaan seharian yang kita lakukan dengan dua nilai ini.

Lihatlah pohon itu tumbuh sesuai dengan kehendak Rabb-Nya. Di atas bumbung, bukan di atas tanah. Bukan bersama yang lain. Namun, ia tetap tumbuh dengan cemerlang, dengan baik sekali.

Kesimpulan
Terlalu banyak sebenarnya pelajaran yang boleh kita ambil dari alam. Sesekali pandanglah ke atas, ke langit yang terbentang luas. Allah katakan bahawa ia amat kukuh sekalipun tidak bertiang.

Pandang pula ke bumi, tanah yang kita pijak yang berlapis dalamnya. Ada gunung sebagai pasak dan tunjang agar ia tidak tergoncang. Segalanya punya fungsi dan hikmah yang boleh kita teladani.

Pohon yang tumbuh di atas bumbung itu tidak beralasan!


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami