Keluarga

‘Pink’ Untuk Anak Perempuan, Biru Untuk Anak Lelaki?

Oleh Noor Afidah Abu Bakar  •  18 Jun 2019  •  5 min baca

Wajarkah ‘trend’ ini menjadi ikutan ibu bapa?

Tahukah anda sejarah warna ‘pink’ untuk kanak-kanak perempuan dan biru untuk kanak-kanak lelaki bermula di Amerika Syarikat pada pertengahan abad ke 20 dahulu? 

Penggunaan warna khusus mengikut jantina ini telah melalui pelbagai fasa dan perkembangan dalam jangka masa lebih seabad sehinggalah sampai ke tahap sekarang.

Sejarahnya tidak ada kena mengena dengan agenda Yahudi ataupun Iluminati dan tidak ada kena mengena dengan psikologi ataupun perkembangan otak. Ia didorong oleh agenda wang. Berikut adalah fasa perkembangannya:

Fasa #1- Putih Untuk Semua Kanak-Kanak

Berdasarkan gambar-gambar pada penghujung abad ke 19, bayi dan kanak-kanak dipakaikan dengan pakaian yang berwarna putih sahaja.

Malah kedua-dua bayi lelaki dan juga bayi perempuan dipakaikan dengan ‘dress’ yang berwarna putih. Pemakaian dress pada masa itu bukannya seperti sekarang di mana ia dikhususkan untuk kanak-kanak perempuan.

Kenapa begitu? Pemakaian ‘dress’ berwarna putih untuk bayi lelaki dan perempuan didapati lebih praktikal kerana ibu bapa dan penjaga hanya perlu menyelak dress untuk menukar lampin bayi.

Ini sudah semestinya lebih mudah dan tidak memakan masa berbanding menanggalkan seluar yang boleh mengakibatkan ‘protes’ oleh bayi yang rasa tidak selesa ‘diproses’.

Warna putih pula dipilih kerana sebarang kekotoran terutamanya akibat ‘kebocoran’ lebih mudah dilunturkan dengan peluntur untuk dikembalikan ke warna putih asal.

Tambahan lagi keadaan sosio ekonomi pada masa itu menyebabkan pemakaian dress warna putih oleh semua bayi dan kanak-kanak kecil tidak kira jantina memudahkan lagi pakaian untuk diturunkan dari abang, kakak kepada adik beradik lain kerana kelihatan tiada bezanya.

Fasa #2- Pink Untuk Lelaki, Biru Untuk Perempuan. Surprise!

Sebenarnya penggunaan warna pink dan biru pada awal abad ke 20 dahulu bukanlah sepertimana sekarang.

Untuk pengetahuan anda, pada masa itu pink dikhususkan untuk lelaki dan biru pula untuk perempuan. Terbalik.

Sebuah artikel yang ditulis pada tahun 1918 dalam Ladies Home Journal memetik bahawa pink yang merupakan satu warna yang padu dan terang melambangkan kekuatan, lebih sesuai untuk lelaki manakala biru yang halus dan lembut pula lebih sesuai untuk perempuan. begitulah yang telah diputuskan.

Pada tahun 1927 Times Magazine mula mencetak panduan warna pakaian yang sesuai mengikut jantina sepertimana yang disarankan oleh gedung-gedung terkemuka di Amerika Syarikat seperti Filene’s di Boston, Best & Co. di New York, Halle’s di Cleveland dan Marshall Field di Chicago.

Gedung-gedung ini mempromosikan pakaian pink untuk lelaki dan biru untuk perempuan.

Fasa 3: Pink Untuk Perempuan, Biru Untuk Lelaki

Kemudian bila pula pink dikhususkan untuk kanak-kanak perempuan seperti sekarang?

Semuanya bermula pada tahun 1940an selepas Perang Dunia ke-2. Pada masa ini pengusaha dan pengilang tiba-tiba mendapat idea bernas untuk menukar warna pakaian mengikut jantina tidak seperti sebelum ini.

Mereka mengambil keputusan bahawa pada kali ini pink adalah untuk perempuan dan biru pula untuk lelaki. 

Generasi ‘Baby Boomers’ di Amerika Syarikat iaitu generasi bayi yang lahir sejurus selepas Perang Dunia Ke-2 seperti generasi ayah ibu kita ataupun mungkin datuk nenek kita, mula dipakaikan baju mengikut warna yang telah diputuskan oleh pengusaha-pengusaha. ‘Trend’ ini berterusan sehinggalah ke tahun 1970an.

Fasa #4: Pelbagai Warna – Unisex

Kekuatan pergerakan liberasi wanita pada tahun 1960-70an telah memberi desakan supaya tidak ada lagi warna-warna khusus yang dinisbahkan kepada lelaki atau perempuan.

Pengusaha pakaian mula beralih kepada warna-warna ‘unisex’ atau tidak kisah warna apa sekalipun untuk dipakaikan kepada kanak-kanak lelaki ataupun perempuan.

Pengkhususan warna PINK mendapat bantahan pergerakan liberasi wanita ini kerana menurut mereka ia seakan memaksa perempuan untuk patuh kepada pemakaian pakaian yang bersyarat.

Mungkin anda yang lahir pada tahun 1970an seperti saya boleh menyelak kembali album gambar lama ketika zaman kanak-kanak dahulu. Jika gambar itu bukan gambar hitam putih tentu dapat dilihat bagaimana warna pink dan biru bukanlah sesuatu yang biasa dan khusus untuk mana-mana jantina.

Generasi X yang melalui zaman kanak-kanak pada ketika ini dipakaikan dengan pakaian pelbagai warna ‘neutral’ terutamanya.

Fasa #5: Pink Untuk Perempuan, Biru Untuk Lelaki. Kini Kembali

Tahun 1980an adalah tahun bermulanya teknologi mengenalpasti jantina bayi dalam kandungan. Sekali lagi pengusaha pakaian kanak-kanak mendapat idea bernas untuk mengaut keuntungan dari perkembangan ini.

Mereka mengambil kesempatan atas keghairahan ibu bapa yang mengetahui jantina kandungan dari awal supaya berbelanja untuk bayi mengikut jantina.

Mereka kembali menetapkan bahawa PINK adalah untuk perempuan dan BIRU adalah untuk lelaki sepertimana sekarang.

Ayah dan ibu yang teruja mula mendapatkan baju pink, lampin pink, ‘headband’ pink untuk bayi perempuan kerana ‘pressure’ dari industri. Begitu juga segala kelengkapan berwarna biru untuk bayi lelaki.

Pengusaha ini berfikir panjang. Dengan penetapan warna yang khusus, ini bermakna jika anak pertama adalah anak lelaki dan anak kedua adalah perempuan, ibu bapa tidak boleh memperturunkan pakaian anak pertama kepada anak kedua.

Ibu bapa perlu membeli kelengkapan yang serba baru dengan warna yang berbeza. Sekali lagi ibu bapa perlu berbelanja besar untuk bayi mereka, terutamanya ibu bapa yang berkemampuan. 

Bukankah tekanan ini menguntungkan pengusaha industri pakaian dan kelengkapan bayi?
Tambahan lagi, mereka yang menjadi ibu bapa pada tahun 1980an adalah terdiri daripada mereka yang melalui zaman kanak-kanak ketika tahun 1960an bilamana warna pakaian adalah unisex bagi kanak-kanak.

Ibu bapa muda ini sudah tentunya teruja untuk memakaikan pakaian warna pink dan biru yang berbeza daripada mereka ketika kanak-kanak dahulu. Pengusaha sungguh bijak memanipulasikan emosi ibubapa muda pada ketika itu untuk meraih keuntungan.

Mungkin anda yang lahir dari pertengahan 80an boleh melihat gambar anda beraksi dengan pakaian berwarna pink ataupun biru yang mula menjadi trend pakaian kanak-kanak ketika itu.

Kesimpulannya, menurut Philip Cohen, seorang Pakar Sosiologi dari University of Maryland Amerika Syarikat, ‘trend’ warna PINK untuk kanak-kanak perempuan dan BIRU untuk kanak-kanak lelaki yang kekal sehingga sekarang adalah hasil dari helah pemasaran ataupun ‘marketing ploy’ oleh pengusaha-pengusaha industri yang inginkan keuntungan sejak beberapa dekad yang lalu.

Oleh itu terpulanglah kepada ibu bapa sekalian untuk menentukan warna baju anak-anak anda. Walau bagaimanapun saya dapati kanak-kanak sekarang lebih suka untuk memilih dan menentukan warna dan jenis pakaian mereka sendiri, bukan? 

Kanak-kanak sekarang melalui zaman yang berbeza dan pemikiran mereka juga sudah tentunya berbeza daripada kita pada zaman kanak-kanak dahulu.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Noor Afidah Abu Bakar

Beliau merupakan 'Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)'. Beliau boleh dihubungi melalui FB Parent Connect. Lulusan MA Early Childhood Education di University of Sheffield.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami