Ibadah

Persoalan Tentang Makmum Muafik Yang Perlu Difahami

Oleh Natirah Azira  •  20 Mar 2019  •  3 min baca

Umum mengetahui bahawa solat jemaah sangat ditekankan dalam Islam dan ganjaran yang akan diperoleh adalah lebih banyak daripada solat secara bersendirian iaitu sebanyak 27 darjat. Maka, penting untuk setiap umat Islam mempelajari dan memahami permasalahan berkaitan solat jemaah khususnya berkaitan makmum muafik.

Apa Maksud Makmum Muafik

Muafik bermaksud bersama-sama dengan imam. Bermakna seorang makmum itu sempat berdiri bersama imam dalam kadar masa bacaan Al-Fatihah selepas takbiratul ihramnya. Apa yang dimaksudkan adalah kadar berdiri makmum. Contohnya, jika kadar bacaan Fatihah seorang imam ialah seminit, maka makmum sempat berdiri sekurang-kurangnya dalam tempoh masa tersebut.

Jika makmum itu tidak membaca apa-apa selepas takbiratul ihramnya tetapi cukup kadar berdirinya dengan imam, maka ia juga dikira sebagai muafik. Maksud muafik bukanlah jika makmum sempat membaca surah Al-Fatihah atau tidak, tetapi maksud muafik apabila sempat berdiri di belakang imam dalam tempoh bacaan Al-Fatihah . Jika sempat barulah dikira muafik.

1. Seorang makmum yang datang dan bertakbiratul ihram ketika imam memulai membaca surah Ad Dhuha (kadar surah ini lebih panjang daripada surah Al Fatihah).

Bermakna kadar berdiri makmum bersama imam melebihi kadar bacaan surah Al Fatihah, maka makmum ini adalah muafik.

2. Seorang makmum yang bertakbiratul ihram sebaik sahaja imam bertakbiratul ihram dan makmum ini mendengar imam membaca surah al Fatihah daripada awal hingga akhir, maka makmum ini adalah muafik.

3. Seorang makmum yang bertakbiratul ihram sebaik sahaja imam bertakbiratul ihram dalam solat yang dibaca perlahan dan makmum itu sempat menghabiskan bacaan doa iftitah atau, surah al Fatihah, atau dapat menghabiskan bacaan kedua-duanya sekali, maka makmum ini adalah muafik.

Hukum Makmum Muafik

1. Makmum muafik wajib membaca surah Al Fatihah sehingga selesai.

2. Makmum muafik dimaafkan ketinggalan daripada imam dengan ‘tiga rukun yang panjang’ untuk menghabiskan surah Al Fatihah jika berlaku masalah-masalah tertentu di dalam solat.

3. Tiga rukun yang panjang ialah Ruku’, Sujud Pertama, Sujud Kedua dan Duduk Tahiyyat Akhir (persoalan tentang rukun panjang bagi tahiyyat akhir akan terjawab pada contoh situasi bagi rakaat keempat pada penjelasan seterusnya).

4. Tidak termasuk rukun yang panjang iaitu Iktidal dan Duduk Antara Dua Sujud.

5. Manakala Duduk Tahiyyat Awal dan Duduk Istirohah juga tidak termasuk rukun yang panjang kerana kedua-duanya adalah sunat.

Contoh Situasi

Pada Rakaat Pertama

1. Seorang makmum yang terlupa membaca Al-Fatihah pada rakaat pertama wajib membaca dan menghabiskan bacaan Al-Fatihah meskipun imam telah rukuk. Jika makmum sempat rukuk sebelum imam berdiri semula untuk rakaat kedua, maka makmum dikira mendapat rakaat pertama tersebut. Jika imam telah berdiri untuk rakaat kedua sebelum makmum sempat rukuk, maka solat dikira terbatal kerana imam sudah masuk rukun yang keempat.

Pada Rakaat Kedua

2. Seorang makmum yang terlupa membaca Al-Fatihah pada rakaat kedua, wajib membaca dan menghabiskan bacaan Al-Fatihah meskipun imam telah rukuk. Jika makmum sempat menghabiskan bacaan Al-Fatihah dan rukuk ketika imam masih dalam tahiyyat awal, maka makmum dikira mendapat rakaat tersebut. Hal ini kerana imam belum berdiri (memasuki rukun panjang yang keempat), dan tahiyyat awal pula bukanlah dikira rukun yang panjang .

(Rakaat ketiga sama situasinya seperti rakaat kedua).

3. Rakaat Keempat

Seorang makmum yang terlupa membaca Al-Fatihah pada rakaat ketiga, wajib membaca dan menghabiskan bacaan Al-Fatihah meskipun imam telah rukuk. Jika makmum sempat menghabiskan bacaan Al-Fatihah dan rukuk sebelum imam duduk tahiyyat akhir, maka makmum dikira mendapat rakaat tersebut. Sekiranya imam duduk tahiyyat akhir dan makmum tidak sempat rukuk, maka solat makmum terbatal kerana imam telah masuk ke rukun yang panjang.

Sesungguhnya ilmu diperlukan dalam apa juga perkara yang dilakukan apatah lagi dalam ibadah khusus seperti solat.Semoga dengan penjelasan ringkas ini mampu merungkai kekeliruan yang dialami oleh anda di luar sana berkenaan solat muafik.

Rujukan: Diambil daripada jurnal bertajuk Muafik dan Masbuk: Satu Analisis Fiqh dan Maqasid Syariah


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami