Remaja

Perlukah Bekerja Sambil Belajar?

Oleh Rabiatul Adaweeyah  •  19 Mar 2017  •  3 min baca

Isu bekerja sambil belajar bukan lagi isu baru, tetapi telah dihadapi oleh golongan pelajar sejak sekian lama dahulu. Banyak faktor yang mendorong seseorang pelajar itu melakukan kerja sampingan, seperti mahukan pengalaman serta menambah wang saku.

Jadi, adakah bekerja sampingan bagi golongan pelajar ini dinilai sebagai sesuatu yang wajar atau sebaliknya?

Sebenarnya, banyak faedah yang diperoleh oleh golongan pelajar yang bekerja sambil belajar ini, antaranya:

#1 – Mempelajari Perkara Baru

Dalam bidang pekerjaan seseorang pelajar itu akan berhadapan dengan praktikal atau situasi sebenar, tidak seperti dalam kelas yang hanya ada teori.

Pengalaman dan pengetahuan itu sangat penting dalam menangani kehidupan di masa akan datang. Apatah lagi jika seseorang pelajar itu bekerja di bidang yang memerlukannya berhadapan dengan pelanggan, sudah tentu dia dapat memahirkan dirinya dengan cara berkomunikasi yang lebih baik.

Dan golongan inilah yang akan memenuhi syarat kelayakan bidang kerja yang mahukan pengalaman, dan kebolehan berinteraksi dengan cemerlang. Kadang-kadang kelebihan ini tidak ada pada pelajar fresh graduate.

#2 – Tahu Potensi Diri Lebih Awal

Sebelum menamatkan pengajian, sekurang-kurangnya pelajar yang bekerja sudah tahu akan potensi dirinya. Ini membuatkannya lebih bersedia untuk menghadapi bidang kerjaya apabila sudah tamat belajar kelak. Bahkan lebih arif untuk mencari cabang kerjayanya sendiri.

Pelajar yang belajar selok-belok bidang pekerjaan di peringkat awal mempunyai potensi untuk mencapai matlamat cita-citanya dengan lebih awal. Ini membuatkan pelajar itu lebih memahami dunia pekerjaan iaitu kesusahan mendapatkan wang berbanding sebagai seorang pelajar biasa yang hanya menjadi penerima wang sahaja.

Disebabkan itulah golongan pelajar yang bekerja dilihat lebih matang berbanding pelajar yang hanya belajar teori semata-mata.

#3 – Membantu Kewangan Pelajar

Apabila bekerja, seseorang pelajar dapat mengeluarkan diri mereka daripada desakan wang. Ini kerana mereka sudah mempunyai pendapatan sendiri walaupun ianya hanya cukup-cukup untuk membayar yuran pendidikan.

Ini juga mendorong seseorang pelajar itu menguruskan wang dengan lebih efektif, dan membezakan antara membeli barang-barang kehendak atau mengutamakan keperluan pendidikan. Perkara yang lebih membanggakan apabia ianya adalah hasil titik peluh pelajar itu sendiri.

“Rasulullah SAW pernah ditanya, pekerjaan apakah yang paling baik? Baginda menjawab, pekerjaan terbaik adalah usaha seseorang dengan tangannya sendiri dan semua perjualbelian yang dianggap baik.”Hadis Riwayat Ahmad dan Baihaqi

#4 – Mengisi Masa Terluang

Para pelajar boleh menggunakan waktu untuk bekerja pada hari minggu, cuti umum, atau semester mahupun hari-hari yang tidak terdapat kuliah. Daripada terdedah dengan perkara yang membuang masa, bekerja sambilan boleh mendidik pelajar menghargai masa.

Jika seseorang pelajar itu sudah bijak mempraktikkan pengurusan masa yang baik di usia muda, pelajar tersebut akan menjadi insan cemerlang yang serba-boleh. Bekerja sambil belajar adalah satu keadaan yang terbukti positif bagi membentuk insan yang bertanggungjawab dari awal usia muda.

#5 – Menyemai Sikap Berdikari

Dengan bekerja sambil belajar akan mendidik seseorang itu untuk lebih berdikari, iaitu dalam mendapatkan pendapatan sendiri tanpa mengharapkan wang dari ibu-bapa, adik beradik dan pihak-pihak lain.

Sikap berdikari inilah yang menambah nilai tanggungjawab terhadap diri seseorang dalam kehidupannya walaupun masih bergelar pelajar. Nilai upah dari bekerja sampingan tersebut bukanlah faktor utama, kerana yang penting adalah usaha untuk menambah pendapatan untuk diri sendiri.

Secara kesimpulan, Islam sebenarnya sentiasa menggalakkan umatnya berusaha dalam apa jua keadaan. Termasuklah ketika bergelar pelajar, bukanlah satu alasan untuk tidak melakukan apa-apa bagi menyara diri sendiri dan pengajian.

Sebenarnya, ini semua bukanlah halangan yang tidak dapat diselesaikan. Pelajar haruslah pandai membahagikan masa mengikut keutamaan dan komitmen. Pilihlah pekerjaan yang bersesuaian dengan peranan sebagai pelajar, jangan terlalu taksub untuk mendapat upah atau gaji sehingga pelajaran pula diabaikan.
.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Rabiatul Adaweeyah

Rabiatul Adaweeyah

Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dari Universiti Malaya dalam Pengkhususan Pengajian Media Dan Sejarah. Sekarang bertugas sebagai Editor di sebuah syarikat penerbitan buku.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami