“Berhenti bercita-cita adalah tragedi terbesar dalam hidup manusia” Andrea Hirata
Begitu mendalam maksud yang ingin disampaikan oleh penulis diatas tentang impian sehinggakan beliau mengganggap ianya suatu tragedi apabila kita berhenti bercita-cita. Cita-cita dan impian akan membuat kita selalu terdorong ke hadapan. Ia akan membuatkan kita hidup sebagai insan yang punya matlamat, dan berjalan diatas bumi dengan harapan.
Sesetengah orang gemar untuk meuar-uarkan impian dan apa yang ingin dibuat kepada orang lain. Wajarkah sebenarnya?
Profesor Gollwitzer telah menjalankan kajian yang menarik tentang hal ini. Beliau meminta dua kelompok pelajar yang bercita-cita untuk menjadi Pakar Psikologi, menulis apa yang ingin dilakukan dalam masa seminggu.
Kelompok pertama menulis apa yang mereka ingin lakukan dan mereka diberitahu bahawa catatan tersebut akan dilihat oleh orang lain. Kelompok kedua pula diberitahu bahawa arahan untuk menulis tersebut tersilap diberikan kepada mereka dan tiada sesiapa pun yang akan melihat.
Seminggu kemudian, apabila mereka ditanya kembali tentang apa yang mereka tulis dan bagaimana progres yang dilakukan, kelompok pertama memperuntukkan hanya sedikit masa untuk melakukannya berbanding dengan kelompok kedua.
Derek Sivers juga bersetuju dengan hal ini. Melalui ucapannya di TedTalk, beliau menerangkan bahawa apabila kita memberitahu orang lain cita-cita kita dan apa yang ingin kita lakukan ia sebenarnya akan mengurangkan usaha kita ke arah impian tersebut. Hal ini terjadi kerana minda kita ‘tertipu’ dengan merasakan bahawa kita seolah-olah semakin hampir dengan impian tersebut. Tindakan ini sebenarnya akan mengurangkan usaha dan momentum untuk melakukan sesuatu.
Bahkan dalam Islam juga kita sentiasa diingatkan supaya tidak berkata atau berjanji untuk melakukan kerja pada esok hari. Allah mengajar kita kalimah yang tepat iaitu “InsyaAllah” yang bermaksud “Jika Allah menghendaki”.
“Dan jangan sekali-kali engkau mengatakan tentang sesuatu, ‘Sesungguhnya aku akan mengerjakan ini esok pagi, kecuali dengan menyebut Insya Allah. Dan segera ingatlah kepada Rabbmu jika engkau lupa, lalu katakanlah, ‘Mudah-mudahan Rabbku akan memberiku petunjuk kepada yang lebih dekat kebenarannya daripada ini”(Surah Al-Kahfi, 18: 23-24)
Eric S Burdon melalui artikelnya pula ada berkongsi tentang pengalamannya sendiri. Katanya dalam tempoh tiga tahun yang lalu, dia terlalu banyak bercerita tentang impian dan apa yang ingin dilakukan. Akhirnya dia mengakui tindakan tersebut ada banyak silapnya. Berikut antara perkara penting yang perlu diambil perhatian:
Yang sebenarnya perlu dikongsikan adalah visi, dan impian yang umum. Contohnya;
“Saya ingin membantu orang lain untuk lebih positif dengan kehidupan”
“Saya ingin melihat orang lebih faham tentang agama”
Bezakan antara impian dan juga tindakan. Yang tidak wajar dikongsikan adalah tindakan yang akan diambil. Biarlah ianya kekal sebagai rahsia untuk diri sendiri.
Apabila kita hanya kerap bercakap tentang apa yang ingin dibuat, kita mungkin akan dilihat sebagai seorang yang hanya tahu bercakap. Hakikatnya tanggungjawab dan tindakan yang perlu diambil masih banyak dan mungkin memakan masa yang lama.
Kata Eric, tabiat suka bercerita tentang apa yang ingin dilakukan akan menjadikan kita orang yang sentiasa ingin memenuhi ‘expectation’ orang lain. Contohnya jika kita suka bercerita di media sosial, kita akan merasakan bahawa segala tindak tanduk kita diperhati. Kita akan hilang jejak dengan diri sendiri.
Boleh jadi target kita akan bertukar dari “Apa yang aku boleh lakukan untuk berkembang” kepada “Apa yang aku boleh lakukan untuk menarik perhatian lebih ramai orang terhadap diri sendiri” Niat dan matlamat sudah berubah tanpa disedari.
Sebarkan impian dan visi kita kepada orang ramai, bukan tindakan atau strategi yang akan diambil. Cerita kita mungkin boleh membantu dan menumbuhkan semangat dalam diri orang lain untuk terus memajukan diri.
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.