Inspirasi

Perkara Yang Dilihat Allah Ke Atas HambaNya Yang Memohon Doa

Oleh Natirah Azira  •  15 Oct 2019  •  3 min baca

Allah mempunyai pelbagai nama yang menggambarkan kebesaranNya. Antara 99 nama yang kita ketahui, salah satu namaNya adalah Al-Wahhab yang membawa maksud Yang Maha Pemberi.

Sesungguhnya tidak ada yang lebih baik dalam memberikan sesuatu dan mengetahui apa yang diperlukan oleh seseorang hamba melainkan Dia. Allah bahkan sangat sudi untuk memakbulkan doa hamba-hambanya, namun dalam masa yang sama ada beberapa perkara yang perlu dijaga sebagai seorang peminta.

Di dalam riwayat di bawah, disebutkan beberapa hal yang perlu diberi perhatian.

Daripada Abu Hurairah RA beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda: “Sesungguhnya Allah Taala baik, Dia tidak menerima kecuali perkara yang baik. Dan sesungguhnya Allah telah memerintahkan orang-orang mukmin dengan apa yang telah diperintahkan kepada para Rasul di mana Allah Taala berfirman: (Wahai para Rasul! Makan minumlah kamu makanan yang baik-baik dan hendaklah kamu beramal soleh). (Surah al-Mukminun 23:51)

Dan Allah Taala berfirman: (Wahai orang-orang yang beriman! Makan minumlah kamu makanan yang baik-baik yang Kami rezekikan kepada kamu). (Surah al-Baqarah 2:172). Kemudian Baginda menyebut perihal seorang lelaki yang bermusafir jauh, yang berambut kusut masai dan berdebu, yang menadah tangan ke langit (iaitu berdoa): Wahai Tuhanku! Wahai Tuhanku! Bagaimanakah doanya akan dimakbulkan sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan dia dikenyangkan dengan makanan yang haram?” – (Riwayat Ahmad no. 8348, Muslim no. 1015 dan al-Tirmizi no. 2922)

Di antara pengajaran yang boleh diambil perhatian daripada hadis di atas ialah:

#1- Amal Soleh Dalam Kehidupan

Dalam hadis di atas, ditegaskan bahawa Allah itu baik dan hanya akan menerima perkara yang baik. Allah tidak menyebutkan bahawa Allah mahukan ibadah yang paling sempurna tanpa secalit kesilapan dan dosa, tetapi Allah mahukan hal-hal yang baik, memenuhi syarat paling minima yang boleh dilakukan oleh manusia biasa.

#2- Hal Yang Diperintahkan Ke Atas Orang Mukmin Dan Rasul Sama Sahaja

Dalam erti kata lain, perintah untuk beriman kepada Allah Yang Maha Satu sama sahaja sejak dahulu walaupun ada sedikit hal yang berbeza. Contohnya puasa Nabi Daud (puasa selang sehari) berbanding perintah puasa bagi umat Nabi Muhammad SAW. Bahkan, sesetengah ibadah kepada golongan umat lebih ringan berbanding yang diperintahkan kepada para Rasul. Contohnya, solat malam tahajud diwajibkan ke atas Nabi SAW sedangkan hanya ibadat sunat bagi umat baginda.

#3- Makanan, Minuman, Dan Pakaian Dari Sumber Yang Baik

Perintah ke atas umat Islam bukan hanya makan makanan yang halal tetapi makanan yang ‘toyyiban iaitu makanan yang baik. Ia akan menjadi darah daging, serta anggota tubuh badan yang kemudiannya akan diguna pula untuk melakukan ibadat dan urusan yang lain. Bahkan Abu Bakar R.anhu ada meriwayatkan tentang bahana anggota badan yang tumbuh dari sumber yang haram.

“Siapa yang dagingnya tumbuh dari pekerjaan yang tidak halal, maka neraka pantas untuknya.” (HR. Ibnu Hibban 11/315, Al Hakim dalam Mustadroknya, 4/141. Hadis ini sahih kata Syaikh Al Albani dalam Sahihul Jaami’, no. 4519)

Demikian perkara yang akan turut dilihat oleh Allah kepada hambaNya yang memohon doa. Kita tahu bahawa doa yang dipohon oleh seseorang dalam perjalanan musafir adalah doa yang mustajab namun hakikatnya tetap tidak diterima jika dia tidak menjaga hal yang asas seperti soal halal haram barang-barang yang digunakan, termasuk pakaian, kenderaan dan juga makan minum.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami