Ibadah

Apa Yang Perlu Anda Tahu Tentang Iktikaf Di 10 Akhir Ramadan

Oleh Natirah Azira  •  27 May 2019  •  3 min baca

Antara amalan yang sangat dianjurkan menjelang 10 hari terakhir daripada bulan Ramadan ialah i’tikaf. Dari segi bahasa ia bermakna tetap dan tenteram dengan sesuatu. Menurut istilah syara’ pula, i’tikaf ialah berada di dalam masjid dengan niat tertentu. Ia sunnah yang boleh dilakukan pada keseluruhan waktu namun lebih diutamakan pada 10 terakhir Ramadan.

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا زَوْجِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَعْتَكِفُ الْعَشْرَ الْأَوَاخِرَ مِنْ رَمَضَانَ حَتَّى تَوَفَّاهُ اللَّهُ ثُمَّ اعْتَكَفَ أَزْوَاجُهُ مِنْ بَعْدِهِ

Daripada Aisyah Radhiyallahuanha, bahawa Nabi SAW beri’tikaf pada sepuluh hari terakhir dari bulan Ramadan sampai Allah mewafatkan baginda, kemudian isteri-isteri baginda (tetap) beri’tikaf sepeninggalan baginda. (Sahih Bukhari no.1922, Dar Ibn Kathir – Status Hadis Sahih)

Syarat Beri’tikaf

Amalan i’tikaf ini dikira sah sekiranya memenuhi dua syarat:

1. Niat

Mereka yang ingin beri’tikaf perlu berniat untuk berada di dalam masjid dalam tempoh tertentu dengan tujuan beribadat kerana melaksanakan sunnah.

Jika masuk ke masjid dengan niat keduniaan atau tanpa sebarang tujuan, maka perbuatan tersebut tidak dianggap sebagai i’tikaf dari segi syara’.

2. Berada Di Dalam Masjid Dalam Tempoh Yang Dikira I’tikaf Pada Anggapan Umum

Antara syarat lain iaitu suci daripada janabah, haidh, nifas dan tidak terdapat sebarang najis pada pakaian dan badan yang boleh mengotori masjid.

I’tikaf seseorang dikira batal apabila keluar daripada masjid tanpa sebab. Namun, i’tikaf tidak batal sekiranya dia keluar dengan bersebab dan masuk semula ke dalam masjid. Ia dianggap sama hukumnya dengan i’tikaf yang berterusan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/119-120)

Tempoh Masa Yang Dikira Sebagai I’tikaf

1. Menurut Imam Syafie, i’tikaf boleh dilakukan dalam tempoh masa lebih sedikit daripada tomakninah dalam solat sehingga boleh dikira sebagai ‘menetap’ mengikut ‘uruf.

2. Imam Maliki pula meletakkan syarat tempoh i’tikaf sekurang-kurangnya sehari semalam dan yang paling baik ialah tidak kurang daripada 10 hari.

I’tikaf tidak dikira jika seseorang itu hanya sekadar lalu sahaja contohnya masuk melalui satu pintu masjid untuk keluar melalui satu pintu yang lain.

Cara Baginda Beri’tikaf

Rasulullah SAW beri’tikaf pada sepuluh hari terakhir pada bulan Ramadan. Baginda melaksanakan amalan tersebut sejak berpindah ke Madinah sehingga baginda wafat.

Kata Imam al-Nawawi: Sesiapa yang ingin mengikut petunjuk Nabi SAW dalam beriktikaf pada sepuluh hari yang terakhir bulan Ramadan maka hendaklah dia masuk ke dalam masjid sebelum terbenamnya matahari pada malam 21 Ramadan dan dia keluar setelah terbenamnya matahari pada malam raya.

Bermakna Rasulullah SAW beriktikaf secara berturutan selama sepuluh hari.

Kata-kata daripada Dr Wahbah Zuhaili di bawah pula menunjukkan bahawa betapa amalan i’tikaf sangat perlu diutamakan kerana Nabi SAW juga melakukan hal yang sama:

“Sungguh pelik manusia, bagaimana mereka boleh meninggalkan i’tikaf. Rasulullah SAW melakukan sesuatu dan meninggalkan sesuatu tetapi baginda tidak meninggalkan i’tikaf sehinggalah baginda wafat”.

Perkara-Perkara Yang Boleh Dilakukan Oleh Orang Yang Beriktikaf

1. Berwangi-wangi di dalam masjid (bagi lelaki).

2. Bersungguh dalam membaca Al-Quran dan mengulang kaji ilmu.

3. Berbuka puasa di dalam masjid lebih elok lagi jika makan di atas Safrah (kain lapik).

4. Berpakaian kemas dan bersih.

5. Memperbanyakkan amalan mengingati Allah seperti menyertai majlis ilmu yang diadakan.

Ambil lah peluang untuk mengimarahkan masjid pada bulan Ramadan. Sesungguhnya Allah meletakkan taraf istimewa buat mereka yang memakmurkan masjid antaranya akan ditinggikan darjat, dihapuskan kesalahan serta didoakan para malaikat selama berada di dalam masjid melakukan ibadah.

“Ya Allah, rahmatilah dia, Ya Allah, ampunilah dia, Ya Allah maafkanlah dia,” selama ia tidak melakukan gangguan dan belum berhadas” (HR. Muslim, no. 1059 – status hadis sahih)


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Psikologi di universiti yang sama. Seorang yang suka membaca pelbagai genre bahan bacaan terutama sejarah, sastera, motivasi dan psikologi.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami