Keluarga

Perkahwinan, Perjudian Atau Qada’ Qadar Yang Ditetapkan Tuhan?

Oleh Fizah Lee  •  9 Jul 2019  •  6 min baca

يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُم مِّن نَّفْسٍ وَاحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَبَثَّ مِنْهُمَا رِجَالًا كَثِيرًا وَنِسَاءً ۚ وَاتَّقُوا اللَّـهَ الَّذِي تَسَاءَلُونَ بِهِ وَالْأَرْحَامَ ۚ إِنَّ اللَّـهَ كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيبًا

“Wahai manusia sekalian bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya – Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya – zuriat keturunan – lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.”
(Surah An-Nisa, 4:1)

Pernahkah terdetik di hati kita apabila berfikir mengenai tujuan dan niat untuk membina masjid, kadang-kadang hadir perasaan takut dan tidak yakin dengan diri sendiri.

“Adakah mahligai yang bakal dibina ini akan berkekalan sehingga ke akhirnya?”

“Adakah pasangan yang aku pilih ini benar-benar jodoh aku?”

“Bagaimana kalau suatu hari nanti masing-masing berubah dan sudah tak saling mencintai, adakah berdosa untuk membubarkan sesebuah perkahwinan?”

Dan macam-macam lagi persoalan yang bermain di benak fikiran kita. Dengan membina sebuah mahligai, kita merasakan bahawa kita sedang bertaruh dengan diri kita sendiri, bertaruh dengan kehidupan dan masa hadapan masing-masing.

Jadi, benarkah kata-kata yang sering diutarakan oleh sesetengah golongan yang berpendapat bahawa perkahwinan itu sebuah perjudian?

“Berjudi kan haram, jadi bagaimana dengan situasi aku ini yang sedang berjudi dengan kehidupan dan perkahwinan aku?”

“Takutlah nak kahwin, sebab dah macam mempertaruhkan masa depan sendiri.”

Wahai pembaca, berhentilah menidakkan yang halal dan membenarkan yang haram. Perkahwinan itu sendiri bermaksud sebuah ikatan yang suci dan halal hukumnya malah perkahwinan digalakkan dalam Islam apabila seseorang itu yakin dengan dirinya untuk membina masjid. Malah, Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa sesiapa yang berkahwin maka dia telah mengikuti sunnahnya melalui sebuah riwayat yang telah diriwayatkan oleh Anas RA yang berbunyi:

عَنْ أَنَسٍ أَنَّ نَفَرًا مِنْ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَسَأَلُوا أَزْوَاجَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَعَنْ عَمَلِهِ فِي السِّرِّ فَقَالَ بَعْضُهُمْ لاَ أَتَزَوَّجُ النِّسَاءَوَقَالَ بَعْضُهُمْ لاَ آكُلُ اللَّحْمَوَقَالَ بَعْضُهُمْ لاَ أَنَامُ عَلَى فِرَاشٍ فَحَمِدَ اللَّهَ وَأَثْنَى عَلَيْهِفَقَالَ مَا بَالُ أَقْوَامٍ قَالُوا كَذَا وَكَذَا لَكِنِّي أُصَلِّيوَأَنَامُ وَأَصُومُ وَأُفْطِرُ وَأَتَزَوَّجُ النِّسَاءَفَمَنْ رَغِبَ عَنْ سُنَّتِي فَلَيْسَ مِنِّي

“Bahawa beberapa orang dari sahabat Nabi SAW menanyakan dengan rahsia kepada isteri-isteri nabi tentang amal (ibadat) nabi, kemudian di antara sahabat itu ada yang mengatakan: “Saya tidak akan mengahwini perempuan.” Yang lain mengatakan: “Saya tidak akan memakan daging.” Yang lain mengatakan lagi: “Saya tidak akan tidur di atas hamparan (tikar). Setelah diberitakan kepada Nabi SAW, baginda mengucapkan: “Mengapa ada beberapa orang mengatakan begini dan begini? Tetapi aku sembahyang dan tidur, puasa dan berbuka dan mengahwini perempuan. Sebab itu siapa yang tidak menyukai sunnahku, maka orang itu tidak termasuk golonganku.”
(Hadis Riwayat Muslim)

Berdasarkan sebuah hadis yang lain, Rasulullah SAW telah bersabda bahawa, sesiapa yang telah menikah, maka dia telah menyempurnakan sebahagian daripada agamanya dengan hadis berikut:

إِذَا تَزَوَّجَ الْعَبْدُ فَقَدِ اسْتَكْمَلَ نِصْفَ دِينِهِ؛ فَلْيَتَّقِ اللهَ فِي النِّصْفِ الْبَاقِي

Maksud: “Apabila seseorang hamba itu berkahwin, maka sesungguhnya dia telah berusaha menyempurnakan sebahagian agamanya, oleh itu hendaklah dia bertaqwa kepada Allah pada sebahagian lagi yang berbaki.” (Hadis Riwayat Al-Baihaqi)

Oleh itu, janganlah kita menetapkan niat untuk tidak berkahwin sehingga ke hari tua kerana perkahwinan itu dianjur dalam Islam malah Allah menyukai hamba-hambaNya yang membina masjid.

Perkahwinan sebuah perjudian itu hanyalah sekadar perumpamaan. Kita melihat banyak perkahwinan yang berlaku di sekeliling kita, malah kita juga melihat ramai yang menghadapi penceraian setelah merasakan bahawa rumahtangga itu tidak mampu dipertahankan lagi.

Malah, sebuah penceraian itu juga merupakan takdir terhadap seseorang yang perlu dilalui. Jangan salahkan apa yang terjadi, namun, muhasabahlah dengan setiap yang berlaku, mungkin akan jumpa hikmahnya. Jangan berputus asa dan terus melabel perkahwinan itu sebagai sesuatu yang merugikan seperti perjudian kerana hakikatnya tidak.

Dengan berkahwin sahaja kita sudah mendapat pahala apatah lagi berusaha untuk menjadi pasangan yang baik. Berbeza dengan perjudian yang betul-betul merugikan diri sendiri malah berdosa jika dilakukan.

Perkahwinan Itu Qada’ Dan Qadar

Perkahwinan itu sebenarnya sebuah qada’ dan qadar yang telah Allah tetapkan untuk kita. Setelah Allah meniupkan roh kepada kita, Allah telah menulis jodoh, rezeki serta ajal sejak kita empat bulan di dalam kandungan lagi. Malah, Allah juga ada menyebutkan bahawa perempuan yang baik adalah untuk lelaki yang baik serta sebaliknya.

Mafhum: “(Lazimnya) perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan yang jahat; dan (sebaliknya).” (Surah An- Nur 24:26)

Bagaimana pula dengan kehidupan seorang yang baik dan solehah, contohnya ustazah yang telah jatuh ke tangan lelaki yang buruk akhlaknya seperti drama Ustaz Hamadi dan Aisyah dalam Nur? Dan ada juga nasib lelaki yang malang dapat isteri mata duitan atau tidak bersyukur dengan suami sendiri. Adakah itu juga takdir yang Allah tetapkan terhadap seseorang?

Ya, kerana itu semua adalah ujian yang telah ditimpakan oleh Allah terhadap seseorang. Sayangnya Dia terhadap hambaNya sehingga ingin mengangkat darjat seseorang dengan memberikan ujian yang begitu hebat.

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا يُصِيبُ الْمُؤْمِنَ مِنْ شَوْكَةٍ فَمَا فَوْقَهَا إِلَّا رَفَعَهُ اللَّهُ بِهَا دَرَجَةً أَوْ حَطَّ عَنْهُ بِهَا خَطِيئَةً

Maksud: “Dari ‘Aisyah dia berkata; Rasulullah SAW bersabda: “Tidak ada satu pun musibah yang menimpa seseorang muslim berupa duri atau yang seumpamanya melainkan dengannya Allah akan mengangkat darjat atau menghapus kesalahannya.” (Hadis Riwayat Muslim)

Perumpamaan perkahwinan itu suatu perjudian kerana kita tidak mengetahui nasib yang bakal terjadi terhadap rumahtangga tersebut, kita tidak tahu adakah anak yang bakal dilahirkan itu akan menjadi anak yang baik akhlaknya atau sebaliknya, kita tidak tahu adakah kita mampu melaksanakan tanggungjawab sebagai suami atau isteri dengan baik atau tidak.

Sedarkah anda, jika anda berpendapat bahawa perkahwinan itu sebuah perjudian, kehidupan anda juga boleh jadi sebuah perjudian. Dalam tidak sedar, kita meletakkan diri kita di lembah yang tidak tahu sejauh mana curamnya boleh membunuh kita.

Contohnya, kita tidak tahu harta yang dikumpul ini sempat digunakan sampai bila. Kita tidak tahu adakah pekerjaan yang kita lakukan ini bersesuaian dengan diri atau tidak. Semuanya bergantung kepada nasib yang kita pertaruhkan.

Sebenarnya, ia juga merupakan qada’ dan qadar yang telah Allah tetapkan kepada kita dengan usaha yang kita lakukan. Semuanya adalah berdasarkan pergantungan dan doa kita terhadap Allah. Allah telah menyuruh hambaNya supaya tidak mudah berputus asa dengan kehidupan dan menyalahkan takdir yang telah terjadi. Doa, usaha dan tawakkal merupakan salah satu kunci dalam kehidupan yang boleh dijadikan panduan. Allah sendiri menetapkan supaya berdoalah hanya kepadaNya untuk kehidupan yang sejahtera.

Mafhum: “Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.” (Surah Ghafir, 40:60)

Dalam ayat lain, Allah ada menyebut mengenai perlunya setiap hamba itu berusaha untuk sesuatu:

Mafhum: “Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya. Dan bahawa sesungguhnya usahanya itu akan diperlihatkan (kepadanya, pada hari kiamat kelak); Kemudian usahanya itu akan dibalas dengan balasan yang sempurna.” (Surah An-Najm, 53:39)

Dalam ayat di atas sudah cukup untuk menjelaskan bahawa kita perlukan usaha untuk melalui kehidupan ini. Allah tidak pernah merendahkan usaha seseorang malah ia akan diberikan ganjaran dan pahala yang setimpal. Tidak ada satu pun yang dilakukan dalam dunia ini secara sia-sia.

Oleh disebabkan itu, manusia disyaratkan untuk beristikharah dan beristisyarah sebelum membuat sesuatu keputusan. Ia juga merupakan salah satu usaha kita dengan kehidupan ini. Dengan meletakkan pergantungan terhadap Allah, itu membuktikan bahawa kita sebenarnya hanyalah hamba yang lemah yang mengharapkan bantuan daripada sang Pencipta.

Kesimpulan

Perkahwinan dan kehidupan sebagai suatu perjudian hanyalah sebuah perumpamaan yang dicipta supaya kita lebih berhati-hati dengan setiap keputusan yang bakal dilakukan. Perkahwinan dan penceraian yang berlaku adalah salah satu usaha kita untuk mentaati perintahNya dan menyempurnakan sifat kita sebagai manusia yang dicipta secara berpasang-pasangan.

Jangan takut dengan perkahwinan, tetapi berusahalah untuk menjadi pasangan yang baik dengan melaksanakan tanggungjawab dalam sesebuah perkahwinan.

الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا ۚ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ

Mafhum: Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakan di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat) (Surah Al-Mulk, 67:2)

Mufti Wilayah


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami