Sejarah

Perkahwinan Baginda Dengan Zainab Untuk Membasmi Tradisi Arab Jahiliah

Oleh Fizah Lee  •  19 Dec 2019  •  3 min baca

Masyarakat Arab Jahiliah yang mempunyai anak angkat mempunyai pegangan dan kepercayaan bahawa mereka tidak boleh mengahwini isteri atau suami kepada anak angkat tersebut walaupun setelah mereka bercerai. Hal ini kerana mereka percaya bahawa ia adalah perkahwinan yang dilarang.

Walau bagaimanapun, Islam menghalalkan perkahwinan di antara anak angkat dengan keluarga angkat atau dengan bekas suami dan isteri anak angkat tersebut.

Oleh itu, Allah telah menghantarkan wahyu kepada Baginda SAW untuk membasmi kefahaman dan tradisi lama ini sekali gus agar umat Islam tidak terpengaruh dengan amalan ini berdasarkan sebuah peristiwa di antara Zaid bin Harithah dan isterinya.

Zaid Bin Harithah Yang Tidak Tenang Dengan Perkahwinannya

Zaid bin Harithah merupakan anak angkat Baginda SAW yang paling disayangi. Masyarakat Arab bahkan pernah menggelarnya dengan nama Zaid bin Muhammad, namun setelah turunnya wahyu daripada Allah berkenaan nasab dan hak anak angkat, nama Zaid terus ditukar kembali kepada nama bapa kandungnya.

Zaid bin Harithah telah berkahwin dengan seorang perempuan yang berasal daripada Bani Asad Ibn Khuzaimah, iaitu Zainab binti Jahsy. Beliau merupakan sepupu kepada Rasulullah SAW sendiri.

Walau bagaimanapun, perkahwinan mereka diuji dengan kehidupan yang tidak tenteram dan Zaid sendiri banyak mengadu dan meminta nasihat daripada Nabi Muhammad SAW.

Apabila timbulnya pengaduan tersebut, Baginda telah mendapat wahyu bahawa Zaid akan menceraikan isterinya suatu hari nanti dan Zainab bakal dijadikan isteri Baginda. Namun, berat hati untuk Baginda memberitahu perkara tersebut kepada anak angkatnya itu bagi menjaga hatinya.

Menurut penceritaan para ulama lagi dan telah dibukukan oleh Dr Yusuf Al-Qaradhawiy, Baginda SAW juga takut untuk menghadapi masyarakat dengan perbuatan mengahwini bekas isteri anak angkatnya itu.

Disebabkan itu, turunnya wahyu Allah bagi menegur perbuatan Baginda dan mengingatkannya agar lebih bersedia dan berani menghadapi umatnya kerana ia berlaku untuk menegakkan perkara yang halal.

Peristiwa ini dirakam dalam surah Al-Ahzab sebagai wahyu dan teguran oleh Allah kepada Baginda SAW yang berbunyi:

وَإِذْ تَقُولُ لِلَّذِي أَنْعَمَ اللَّـهُ عَلَيْهِ وَأَنْعَمْتَ عَلَيْهِ أَمْسِكْ عَلَيْكَ زَوْجَكَ وَاتَّقِ اللَّـهَ وَتُخْفِي فِي نَفْسِكَ مَا اللَّـهُ مُبْدِيهِ وَتَخْشَى النَّاسَ وَاللَّـهُ أَحَقُّ أَن تَخْشَاهُ ۖ فَلَمَّا قَضَىٰ زَيْدٌ مِّنْهَا وَطَرًا زَوَّجْنَاكَهَا لِكَيْ لَا يَكُونَ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ حَرَجٌ فِي أَزْوَاجِ أَدْعِيَائِهِمْ إِذَا قَضَوْا مِنْهُنَّ وَطَرًا ۚ وَكَانَ أَمْرُ اللَّـهِ مَفْعُولًا

Mafhum: “Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika engkau berkata kepada orang yang dikurniakan oleh Allah (dengan nikmat Islam) dan yang engkau juga telah berbuat baik kepadanya: “Jangan ceraikan isterimu itu dan bertaqwalah kepada Allah,” sambil engkau menyembunyikan dalam hatimu perkara yang Allah akan menyatakannya; dan engkau pula takut kepada (cacian manusia padahal Allah jualah yang berhak engkau takuti (melanggar perintahNya).

Kemudian setelah Zaid selesai habis kemahuannya terhadap isterinya (dengan menceraikannya), Kami kahwinkan engkau dengannya supaya tidak ada keberatan atas orang-orang yang beriman untuk berkahwin dengan isteri-isteri anak-anak angkat mereka, apabila anak-anak angkat itu telah selesai habis kemahuannya terhadap isterinya (lalu menceraikannya). Dan sememangnya perkara yang dikehendaki Allah itu tetap berlaku.” (Surah Al-Ahzab, 33:37)

Selepas Zainab binti Jahsy diceraikan oleh Zaid bin Harithah, Rasulullah SAW mengahwininya pada bulan Zulkaedah tahun keenam hijrah. (Al-Rahiq Al-Makhtum, 691)

Kesimpulan

Tuntasnya, setiap peristiwa dan kalam Allah yang turun pasti mempunyai asbab dan peristiwanya tersendiri. Malah, Baginda SAW berpoligami dengan sebab bukan sahaja untuk menolong wanita-wanita pada zaman dahulu, tetapi juga untuk memberi pengajaran kepada umat Islam dan masyarakat sebelumnya mengenai sesuatu perkara sama ada ia halal atau haram.

Wallahu a’alam.

Rujukan:
Fiqh Perkahwinan Halal dan Haram oleh Dr Yusuf Al-Qaradhawiy


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami