Inspirasi

Perjuangan Diri Kita Pada Ramadan Ini

Oleh Suhana Amiril  •  11 May 2021  •  6 min baca

Bulan Ramadan 1442H, atau bulan bulan Ramadan pada tahun 2021.

Entah mengapa, bulan Ramadan tahun ini sangat saya nanti-nantikan. Satu tahun yang lepas, saya menjalani puasa sendirian bersama dua ekor kucing di dalam bilik saya, yang saya sudah tidak tahu bagaimana khabar kucing-kucing tersebut. Semoga Allah Azza Wa Jalla menjaga mereka selalu.

Yakin benar saya, mereka itu dihantar oleh Tuan Punya Dunia untuk menemani diri ini yang tinggal seorang diri di aras yang mempunyai puluhan bilik kosong kerana semua orang sudah balik sebaik PKP pada tahun lepas diumumkan.

Seiring waktu, fikiran saya mengumpul perkara-perkara yang ingin saya capai dan ubah bermula ramadan ini. Agak kelakar kedengaran, bukan? Untuk mengubah sesuatu, kita tidak perlu menunggu bulan ramadan sebenarnya. Paling terbaik adalah, apabila sudah terfikirkan, buatlah secepat yang mungkin.

Tetapi bagi sesiapa yang baru hendak memulakan larian (perubahan) pada penghujung bulan ramadan ini, maka jadikanlah bulan ramadan tahun ini sebagai bulan yang kita keluar dan tinggalkan dengan penuh kebahagiaan serta pengetahuan bahawa kita sudah buat sehabis baik.

Apa yang ingin kita ubah, yang ingin kita bajai, dan apa yang ingin kita mulakan dalam hidup semasa bulan puasa kali ini? Kita lebih tahu. Dan Allah Azza Wa Jalla Maha Mengetahui. Tipu benar jika tidak ada sekelumit perkara yang ingin kita semai pada bulan mulia ini.

Ketika semua orang sedang berlumba memperbanyak ibadah dan berusaha meletakkan seri kepada hubungannya dengan Tuan Punya Dunia, adakah kita hanya akan berpeluk tubuh sahaja? Sekalipun Ramadan sudah sampai ke penghujungnya, tidak ada istilah terlambat. Sudah pasti, kita pun ada sesuatu.

Sesuatu; yang kita mahu Allah ’Azza Wa Jalla pandang kita dengan pandangan rahmat. Yang kita mahu menjadi versi terbaik diri sendiri dan memiliki ketenangan jiwa yang walau digoncang kiri dan kanan, bukan untuk diketahui atau dimaklumi oleh manusia lain tentang setiap hubungan kita dengan Tuan Punya Dunia.

Yang kita mahu, mempunyai keyakinan bahawa kita tidak bersendirian dan kita mempunyai kekuatan – Allah tidak akan membiarkan diriku!

Perihal Diri Kita Sendiri Sebenarnya

Tahun kebelakangan ini, saya percaya sangat mencabar bagi semua orang. Pukulan pandemik kerana virus Covid-19 meninggalkan kesan yang besar bagi sesetengah daripada kita. Malah, tidak keterlaluan untuk dikatakan sehingga kini masih ramai yang terkesan dari segi ekonomi dan aspek kehidupan amnya.

Emosi tercalar di sana-sini.

Mahu mengaku atau tidak, kita mempunyai beban yang masing-masing kita bawa di bahu kita untuk ditanggung. Mungkin tidak kelihatan atau tidak diketahui oleh orang lain. Tapi kita tahu, Allah lebih tahu. Kita mempunyai kerisauan terhadap tanggungjawab kita pada setiap bulan.

Kita mempunyai sisi kelemahan dan kekurangan yang perlu kita hidup dengannya atas dasar hakikat kita hanyalah seorang manusia. Kita berdepan dengan perkara yang berkaitan hubungan kita sesama manusia, pendeknya.

Jadi ingin saya tanya anda. Ya, anda yang sedang membaca ini. Apa khabar dirimu? Apa khabar hatimu? Apa khabar imanmu, kawan? Apa khabar ibadahmu? Adakah kamu dalam keadaan yang baik-baik sahaja? Ataukah kamu selalu berteman pilu dijiwa yang terlindung dengan keceriaan diwajahmu? Atau kamu sedang bertahan dalam situasi yang mencederakan peribadimu?

Kamu tahu, kamu itu kuat sebenarnya. Kerana sehingga kini, kamu masih bertahan. Kamu masih memikirkan hal-hal yang baik dan buruk untuk dirimu. Kamu masih memikirkan mengenai iman dan amalmu. Paling penting, kamu masih menyedari bahawa kamu adalah seorang Muslim yang mencintai Tuhan dan agama-Nya.

Allah ’Azza Wa Jalla berfirman,

والذين جاهدوا فينا لنهدينهم سُبُلنا

Dan orang-orang yang bersungguh-sungguh untuk (mencari keridhaan) Kami, maka benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. (Surah al-Ankabut: 69)

Bangunlah. Senyumlah. Allah tidak pernah tidak tahu tentang keadaan kita. Setiap yang kita telan dalam-dalam, dan tangiskan dalam senyuman, Allah nampak dan hitung. Kamu tahu, kawan.. Bulan ramadan ini untuk kita. Hidupkan diri kita dibulan ramadan ini dengan mengambil setiap peluang. Hatta sekecil-kecil perkara yang sebelum ini kita hanya pandang remeh semata. Ramadan ini, adalah latihan untuk kita lihat semua perkara dengan pandangan seorang hamba.

Lisan Kita Itu Cerminan Hati

Kita selalu terlupa. Terlupa apa?

Terlupa bahawa salah satu ketenangan hati di dalam hidup itu adalah terbit daripada bagaimana perjuangan keras kita dalam menjaga lisan. Percaya tidak, bahawa menjaga lisan dan melatih lisan kita ini untuk tidak membiasakan perkataan yang buruk-buruk dan membiasakan perkataan yang baik-baik, adalah satu perjuangan?

Ada kaitan rapat antara lidah, mulut dengan jiwa kita untuk menjadi seorang Muslim – seorang hamba yang percaya dan yakin bahawa Allah ’Azza Wa Jalla menyukai seseorang yang sentiasa menjaga lidahnya atau lisannya.

Kita ini sebagai manusia jika hanya ikutkan sedap lidah, semakin kita menuturkan atau mengeluarkan kata-kata yang kurang elok atau kesat. Sebenarnya semakin jiwa kita tidak keruan.

Ramai dari kita menyangka bahawa, apabila kita memaki dengan perkataan yang paling keji, maka kita akan berpuas hati. Namun hakikatnya, kita tidaklah tenang walaupun sejuta makian yang keluar dari mulut kita. Lama kelamaan, panas baran akan menjadi tabiat kita. Malah makian atau carutan, menjadi perkataan yang sikit-sikit kita akan ungkapkan.

Tenangkah sedemikian? Apa pentingnya dengan perjuangan kita dibulan ramadan?

Hadis yang diriwayatkan dari Abu Hurairah radiallahu anhu,

لَيْسَ الصِّيَامُ مِنَ الأَكْلِ وَالشَّرَبِ، إِنَّمَا الصِّيَامُ مِنَ اللَّغْوِ وَالرَّفَثِ

“Puasa bukanlah hanya menahan diri dari makan dan minum sahaja, akan tetapi puasa adalah dengan menahan diri dari perkataan yang melalaikan dan lucah”. [Lihat: al-Targhib wa al-Tarhib, 2/154]

Bagaimana mungkin kita bakal mempunyai jiwa yang tenang, jika bibir kita selalu menuturkan perkataan-perkataan yang kurang menyenangkan? Atau adakah kita berharap bahawa bibir yang kita gunakan untuk memaki, mengumpat, mencela dan membicarakan mengenai keburukan orang, bibir yang sama kita gunakan untuk memohon keampunan dan meminta kasih-sayang kepada Allah ‘Azza Wa Jalla?

Bukankah itu adalah suatu yang tidak menyenangkan, kawan?

Kesimpulan

Ramadan ini, adalah ramadan tentang kita sendiri. Tentang kita untuk melatih dan memperbaiki peribadi. Tentang kita yang memikirkan dengan lebih mereka yang kurang daripada kita. Tentang kita yang jiwanya berlatih untuk mencintai diri sendiri seterusnya mencintai perkara-perkara kebaikan yang Allah ’Azza Wa Jalla suka.

Ramadan ini, adalah ramadan untuk kita membersihkan mulut dan lisan. Mulut yang sebelum ini terlalu ringan berbicara mengenai orang lain. Lisan yang sebelumnya tidak mengenal penat untuk mencaci, namun kali ini berusaha untuk menggantikannya dengan sesuatu yang lebih baik untuk didengari.

Artikel ini pertama-tama sekali untuk diri saya sendiri yang terlalu banyak kekurangan dan kelemahan di sana sini. Semoga kita semua bertemu kemanisan dalam diri dalam menjalani kehidupan di bulan ramadan yang hanya singgah sebentar cuma. Semoga kita dapat bertemu lagi Ramadan pada tahun hadapan.

Rujukan:
1. Al-Quran Al-Karim.
2. Al-Hafidz al-Mundziri. Terjemahan Kitab At-Targhib wa At-Tarhib.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Suhana Amiril

Merupakan graduan Syariah dan Undang-Undang. Mempunyai azam dan kesungguhan yang mendalam dalam bidang penulisan untuk mengunci dan menarik jiwa-jiwa manusia untuk sama-sama kembali kepada Yang Esa.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami