Sejarah

Peristiwa Jamadil Awal – 3 Panglima Perang Mati Syahid Dalam Perang Mu’tah

Oleh Natirah Azira  •  8 Jan 2020  •  5 min baca

Perang Mu’tah ialah peperangan terbesar yang pernah dihadapi oleh tentera Muslim. Ia adalah peperangan berdarah dan penuh tragis yang berlaku pada Bulan Jamadil Awal antara pasukan Islam dan juga Rom. Dinamakan Perang Mu’tah kerana ia berlaku di sebuah kampung bernama Mu’tah di daerah Balqa’, Syam.

Kebiasaannya sebelum berlaku peperangan, pasukan Islam akan menghantar terlebih dahulu utusan kepada pihak lawan untuk menyampaikan pesanan dan risalah.

Sebelum terjadinya perang ini, Rasulullah SAW turut menghantar seorang utusan yang bernama Al-Harith bin Umar al-Uzdi kepada pembesar di daerah Basra. Tetapi gabenor di bandar daerah tersebut telah menangkap Al-Harith lalu menyerahkannya kepada pihak Rom. Beliau akhirnya dibunuh dengan cara yang tragis apabila lehernya dipancung.

Tindakan membunuh mana-mana utusan atau perwakilan dianggap jenayah yang sangat besar dalam peperangan. Tindakan itu sama seperti mengisytiharkan perang.

Sebaik sahaja berita tersebut sampai kepada Rasulullah SAW, baginda telah memerintahkan seramai 3,000 orang Islam untuk keluar berperang. Ia adalah jumlah yang terbanyak yang belum pernah dikerahkan oleh Rasulullah selain daripada Perang Al-Ahzab.

Rasulullah SAW telah mengamanahkan Zaid bin Harithah untuk mengepalai pasukan Muslim.

“Sekiranya Zaid gugur maka Jaafar bin Abi Thalib mengambil tempatnya, dan seandainya Jaafar turut gugur syahid, maka Abdullah bin Rawahah pula yang menggantikan”

Kaum Muslimin yang menghantar rombongan Islam menyambut dengan gembira pesanan Rasulullah tersebut dan turut mengucap salam kepada mereka saat pasukan mulai berangkat.

Di sebalik rasa hiba dan gembira yang menyelubungi, Abdullah bin Rawahah R.anhu dilihat mengalirkan air mata sehingga orang bertanya kepadanya mengapa beliau menangis. Lalu dijawab Abdullah bin Rawahah:

“Demi sesungguhnya aku menangis ini bukan kerana cintakan dunia, atau sedih untuk meninggalkan kamu, tetapi aku telah mendengar Rasulullah SAW membaca sepotong ayat Al-Quran, yang mengingatkan aku tentang api neraka”.

“Setiap kalian pasti akan melewatinya. Itu adalah ketetapan Allah yang pasti terlaksana”..(Surah Maryam 19:71)

Maka aku tidak tahu, bagaimana aku keluar setelah melewatinya. Kaum Muslimin yang mendengar luahan Abdullah bin Rawahah menjawab dengan doa dan kata-kata semangat.

“Semoga Allah iringi kamu dengan kesejahteraan, mempertahankan kamu, dan dikembalikan kamu ke dalam kalangan kami sebagai golongan solihin dan memperolehi rampasan-rampasan perang.”

Selepas itu, kaum Muslimin terus bergerak daripada Madinah menuju ke arah utara sehingga sampai ke suatu daerah dipanggil Ma’an, dalam jajahan negeri Syam.

Di situ, kaum Muslimin telah mendapat berita bahawa Hercules sudah pun bergerak dengan pasukan tentera Rom seramai 100,000 orang ke tempat bernama Ma’ab di daerah Balqa’. Apa yang mengejutkan lagi, kabilah-kabilah Arab yang memerangi Islam turut bergabung dengan mereka menjadikan jumlahnya seramai 200,000 orang.

Bilangan pasukan Rom yang ramai telah menggusarkan tentera Muslim yang menyedari bilangan mereka terlalu kecil. Dua hari mereka bermalam untuk berbincang tentang tindakan sepatutnya yang perlu dilakukan.

Ada pula yang melontarkan cadangan supaya mengutus surat kepada Baginda Rasulullah SAW – untuk memberitahu tentang ramainya bilangan tentera Rom, atau dihantar tambahan senjata dan bantuan kepada mereka.

Namun akhirnya Abdullah bin Rawahah membangkang cadangan tersebut dan meniupkan semangat kepada kaum Muslimin dengan kata-katanya yang penuh makna.

“Wahai kalian, demi Allah, sesungguhnya yang kamu tidak suka, itulah sebenarnya sebab kamu keluar – mati syahid, kita tidak memerangi manusia dengan bilangan kita yang banyak atau dengan kekuatan dan persenjataan. Kita tidak memerangi mereka kecuali dengan agama ini yang dikurniakan Allah kepada kita sehingga kita menjadi mulia. Ayuh marilah kamu ke hadapan, ambillah salah satu kebaikan: Kemenangan atau mati syahid!”

Setelah mendengar ucapan Abdullah bin Rawahah, kaum Muslimin kembali bersemangat. Mereka terus mara sehingga tiba di sebuah kampung di Balqa bernama Masyarif. Di situ mereka melihat pasukan Rom telah tiba. Pasukan Muslimin bergerak lagi ke sebuah desa bernama Mu’tah dan di ditulah peperangan sengit antara kedua-dua pasukan bermula.

Qutbah bin Qatadah ditugaskan sebagai pemimpin sayap kanan manakala di sayap kiri ditugaskan Ubadah bin Malik Al-Ashaari. Zaid bin Haritsah yang merupakan ketua pasukan telah menyerang ke tengah-tengah barisan musuh sambil menjulang panji Islam, namun akhirnya syahid apabila tertusuk tombak.

Panji tersebut lantas diambil oleh Jaafar bin Abi Thalib, dan beliau kembali menyerang namun turut syahid apabila tidak dapat keluar daripada kepungan musuh.

Ibnu Hisyam, seorang penulis sejarah Islam, telah menceritakan bahawa ketika Jaafar memegang panji dengan tangan kanannya, tangannya telah dicantas sehingga putus. Dia lalu memegang dengan tangan kirinya yang kemudian turut dicantas oleh musuh sehingga putus. Dipegang pula panji tersebut menggunakan pangkal leher hingga akhirnya dia turut dibunuh.

Diceritakan kerana pengorbanannya, Allah menggantikan dengan kedua sayap yang membolehkan beliau berterbangan di dalam syurga, dan bebas terbang ke mana sahaja yang beliau mahu.

Al Bukhari meriwayatkan dari Nafi’ bahawa Ibnu Umar telah menceritakan kepadanya semasa beliau mendapati Jaafar telah syahid, di badannya terdapat kesan-kesan pukulan dan tikaman sebanyak lima puluh liang, dan tidak ada satu pun di sebelah belakang.

Kerana patuh dengan pesanan Rasulullah SAW pada awalnya, panji tersebut dicapai pula oleh Abdullah bin Rawahah lalu beliau kembali menyerang. Abdullah bin Rawahah berperang habis-habisan sehingga beliau juga akhirnya syahid.

Setelah terbunuhnya ketiga-tiga panglima tersebut, pasukan Muslimin dipandu oleh Khalid bin Al-Walid apabila mencapai kata sepakat. Sungguhpun tentera Rom masih ramai, beliau bijak memanipulasi keadaan dengan menukar strategi dan posisi kaum Muslimin sehingga pasukan Rom menyangka bahawa pasukan Islam mendapat bantuan.

Perlahan-lahan Khalid al-Walid membawa pasukan Muslim berundur dalam keadaan masih mengekalkan sistem dan struktur pasukan sehingga akhirnya mereka berjaya terlepas daripada cengkaman bahaya. Tentera Rom pula tidak memburu mereka kerana menyangka bahawa ia adalah satu taktik untuk memerangkap mereka di gurun pasir. Dengan cara ini, kaum Muslimin akhirnya berjaya pulang dengan selamat ke Madinah.

Perang ini dikatakan telah mengorbankan seramai 12 orang tentera Islam, manakala dianggarkan kematian di pihak Rom pula tinggi.

Sekalipun tentera Islam tidak dapat menuntut bela, namun tindakan Islam menentang Rom yang merupakan kuasa besar ketika itu telah menyebabkan nama Islam gah dan masyhur. Peperangan ini merupakan titik mula kepada pertarungan berdarah dengan Rom pada masa-masa hadapan malah merupakan jalan kepada peluasan Islam ke atas negeri Rom selepas itu.

Sumber:
Kitab Sirah An-Nabawiyyah – Al-Raheeq Al-Makhtum


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Psikologi di universiti yang sama. Seorang yang suka membaca pelbagai genre bahan bacaan terutama sejarah, sastera, motivasi dan psikologi.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami