Remaja

Perhubungan Di Era Digital

Oleh Bahauddin Hamizan  •  9 Dec 2018  •  7 min baca

Seperti yang kita maklum dunia semakin lama semakin berubah kerana sifat perubahan bukan berlaku pada sudut perkembangan proses biologi tubuh manusia semata.

Tema zaman juga akan turut terpalit sama. Sekarang ini kita berada di dunia yang mana temanya ialah ‘digital economic’.

Segalanya kini beralih tumpuan dari tenaga manusia kepada mesin dan alat pintar. Teringat saya pada kenyataan seorang tokoh usahawan pengasas syarikat gergasi Alibaba iaitu Jack Ma.

Ketika beliau menerima anugerah khas dari Universiti Hong Kong iaitu Doktor Kehormat sebagai seorang yang mengharumkan nama Negara China dan masyarakat bangsanya, beliau ada berkata;

“Era masa kini yang mana mesin sudah semakin ke hadapan meninggalkan manusia dalam pelbagai industri. Terutamanya kerja-kerja separa mahir semuanya sudah diambil peranan oleh mesin dan robot.”

Dunia Digital Dan Percintaan Maya

Semasa saya baca perkongsian orang bisnes yang duduk di China sendiri akui bahawa suasana di sana hampir kesemua premis perniagaan gunakan robot dan sistem operasi untuk kendalikan perkhidmatan sebagai ganti pekerja manusia.

Contohnya gimnasium tidak lagi dijaga oleh penjaga manusia, hanya perlukan kad untuk akses maka kesemuanya berjalan secara automatik.

Peratus penggunaan wang kertas pun semakin menyusut dan menuju ke arah ‘cashless’ (duit digital) seperti paywave, transfer online bank dan crypto currency yang pelbagai itu.

Dunia semakin berubah menghala ke era manusia berhubung dengan mesin atau internet sebagai tempat bersosial, menjalinkan ‘networking’ dan pelbagai urusan perniagaan serta perkhidmatan sama ada secara formal mahupun bukan formal.

Ketika kita berada dalam era yang seperti ini kita diuji dengan manusia yang memiliki dua personaliti iaitu alam realiti (face to face) dan dunia media sosial yang ada pelbagai tabir yang perlu diperhalusi.

Mengapa saya cuba mengaitkan era digital dengan perhubungan pula? Ya, kaitannya ialah bagaimana kita mahu mengatasi cabaran yang semakin hebat ini, iaitu berhadapan dengan seorang manusia namun memilik dua wajah personaliti yang berbeza.

Dua keadaan komunikasi yang berbeza dan kita semakin terdedah pula dengan kepalsuan identiti yang sukar ditapis jika tiada pengetahuan yang mendalam tentang cara mengesan identiti seseorang yang kita sedang jalinkan hubungan bersamanya.

Mencari jodoh kini tidak perlu lagi risau, kalau kita lihat lagu-lagu 80’an kebanyakannya lirik cinta mereka separuh mati jika dihayati.

Lagu mereka kebanyakannya mengandungi sejuta ayat keikhlasan dan sepenuh jujur sebab mereka punya kenalan tidak seluas macam kita pada hari ini.

Kita pada hari ini begitu terdedah dengan dunia lain sebab dunia sudah tiada batasnya lagi. Kalau contohnya kita di Johor Bahru, bila-bila masa sahaja kita boleh mesej sahabat kita di San Fransisco, Amerika Syarikat.

Hanya satu saat mesej kita boleh sampaikan pesanan seperti aplikasi Whatsapp dan lainnya.

Maka dengan dunia yang serba global sebegini tidak hairanlah cinta yang bertebaran dalam kalangan kita kebanyakannya banyak kelompongan dari aspek nilai budi yang luhur.

Dunia bergerak laju, dunia hari ini sangat pantas. Manusia banyak pilihan sama ada menerusi online atau dunia nyata.

مَا تَرَكْتُ بَعْدِي فِتْنَةً أَضَرَّ عَلَى الرِّجَالِ مِنَ النِّسَاءِ
“Tidak aku tinggalkan selepas daripadaku yang lebih berbahaya ke atas kaum lelaki daripada wanita.”Riwayat Bukhâri dan Muslim


لاَ تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يَتَقَارَبَ الزَّمَانُ فَتَكُونَ السَّنَةُ كَالشَّهْرِ، وَيَكُونَ الشَّهْرُ كَالْجُمُعَةِ، وَتَكُونَ الْجُمُعَةُ كَالْيَوْمِ، وَيَكُونَ الْيَوْمُ كَالسَّاعَةِ، وَتَكُونَ السَّاعَةُ كَاحْتِرَاقِ السَّعَفَةِ.
“Tidak akan tiba hari Kiamat hingga zaman berdekatan, setahun bagaikan sebulan, sebulan bagaikan seminggu, seminggu bagaikan sehari, sehari bagaikan sejam dan sejam bagaikan terbakarnya pelepah pohon kurma.”Musnad Imam Ahmad


Hadis di atas menjelaskan pada kita bahawa perjalanan hidup kita sebagai umat akhir zaman hari ini seakan-akan semakin cepat dan tidak berkualiti.

Di Zaman era digital ini kita semua turut terasa dengan waktu yang laju. Manusia pula semakin rakus mengejar perkara-perkara yang melibatkan nafsu masing-masing.

Terlalu Banyak Pilihan

Berada di zaman era digital ini sungguh mencabar untuk membina hubungan yang berkualiti. Seperti yang saya sebutkan tadi dan saya kaitkan satu persatu berkenaan peralihan zaman yang semakin canggih dan cepat. Sudah tentu benda yang segera ini banyak yang tidak asli.

Dalam bidang psikologi ada dibahaskan tentang bab yang dinamakan sebagai Paradox of Choice iaitu semakin banyak pilihan yang terbentang depan mata kita semakin sukar untuk membuat keputusan memilih.

Ada seorang ahli psikologi bernama Barry Schwartz membuat kajian khusus pasal perkara ini, Didapati hasil dari kajiannya itu mendapati semakin kita kurangkan pilihan semakin mudah untuk bina keputusan dengan yakin dan cepat.

Atas faktor itu mungkin kita pada hari ini agak sukar membina hubungan yang serius dengan seseorang.

Kita ada sahaja kenalan di Facebook, Wechat, Instagram, dan pelbagai lagi medium perkenalan. Ditambah dengan kenalan-kenalan luar kalau pergi majlis keramaian atau bercuti yang akan menambahkan lagi calon pilihan hati.

Gangguan Dalam Perhubungan Di Era Digital

Aplikasi tambahan media sosial seperti Whatsapp, Instagram, Wechat dan seumpamanya banyak menganggu perhubungan pada hari ini sama ada sebelum atau selepas kahwin.

Lagi pula yang jenis ‘gamer’ tegar yang mana boleh cipta rangkaian sosial sesama mereka di aplikasi game dan di situlah mereka meluangkan masa bermain sambil chatting online. Hal-hal seperti ini banyak mengakis kualiti perhubungan kita dari aspek komunikasi.

Seperti kita tahu komunikasi ini salah satu alat kawalan dalam sesebuah perhubungan. Kalau komunikasi antara kita dan pasangan lemah dan lembap, maka banyak reaksi salah faham mula terbina perlahan-lahan.

Jurang salah faham antara pasangan sentiasa wujud sampai bila-bila namun kita boleh dekatkan dengan perbaiki cara kita berkomunikasi.

Namun sekiranya aplikasi online itu tadi banyak mencuri waktu kita dan pasangan, bagaimana hendak mencapai hubungan yang berkualiti?

Mustahil berlaku. Bagi saya sendiri inilah dadah untuk hari ini, kita ketagih untuk habiskan masa dengan telefon pintar yang tiada roh dan jiwa. Entah siapalah kita berhubung.

Sepatutnya kita tambahkan tenaga emosi kita dengan membina hubungan secara realiti dengan orang sekeliling kita. Tapi kita lebih memilih alat-alat tersebut yang semakin membina tembok besar kita dari orang lain.

Nabi Muhammad seperti yang pernah direkodkan dalam buku Syamail Muhammadiyah oleh Imam Tirmidzi. Baginda setiap kali apabila bercakap dengan seseorang beliau akan menghalakan wajah baginda, bahu serta seluruh tubuh ke arah orang yang sedang bercakap dengan baginda.

Dalam hadis tentang Islam, Iman dan Ihsan yang terkenal diletakkan oleh Imam al-Nawawi dalam kitabnya Hadis al-Arbain pun ada menunjukkan gaya bahasa tubuh badan Nabi ketika bersoal jawab dengan malaikat Jibril (menyamar sebagai manusia) yang sedang bertanya pada Nabi.

Iaitu keadaan lutut Nabi betul-betul bertemu lutut orang yang bertanya itu (Jibril). Ini menunjukkan keperibadian baginda betul-betul menunjukkan contoh yang bagus pada kita dalam soal etika pergaulan dan gaya badan.

Nabi benar-benar seorang pendengar yang baik maka tidak hairanlah ramai para sahabatnya sangat menyayangi baginda dan baginda dimasukkan sebagai seorang pemimpin yang tersohor dunia dan paling cepat membina negara Islam di kota Madinah.

Kunci Kepercayaan Ialah Komunikasi

Walaupun kita berada di era komunikasi canggih seperti wujudnya telefon pintar namun kita masih tidak berkomunikasi secara betul.

Ada pasangan ini pernah luahkan pada saya pasal perhubungan mereka berdua, katanya dia selalu Whatsapp tunang beliau untuk wujudkan keserasian antara mereka namun jawapan tunangnya selalu menjengkelkan dan mengecewakan.

Banyak faktornya, antaranya ialah gaya bahasa chatting menggunakan aplikasi tidak menunjukkan reaksi emosi kita yang sebenar pada orang yang sedang kita menghantar mesej.

Sebab itulah pencipta aplikasi chatting memasukkan sekali emoticon yang bertujuan untuk mengekspresikan mood masing-masing tapi bagi mereka yang lemah memahami penggunaan aplikasi dan tujuannya memang tidak akan faham.

Mesej dicipta untuk meringkaskan ucapan, bukannya sebenar-benar alat penghubung yang efisyen untuk selesaikan sesuatu masalah menerusi komunikasi.

Ramai menganggap dengan mesej sudah cukup. Mereka ini pada saya tidak membaca asal usul kewujudan messenger atas muka bumi. Komunikasi yang berkesan ialah dengan bercakap, berdepan dan sama-sama tunjukkan sifat tanggungjawab untuk faham satu sama lain.

Aplikasi mesej atau email yang diwujudkan sekitar tahun 1961 tujuan utamanya ialah untuk menghantar maklumat ringkas dan padat serta bertulis yang mana boleh dirujuk kembali di kemudian waktu.

Komunikasi berkesan bukanlah melalui Whatsapp atau seumpamanya. Lagi-lagi bila melibatkan hal ehwal yang berat dan besar yang memerlukan konsentrasi komunikasi dua hala yang baik.

Saya juga ada teringat semasa saya belajar di peringkat pengajian tinggi saya ada terbaca satu buah buku yang ditulis oleh John C Maxwell berjudul Everyone Communicates Few Connect di mana beliau ada mengatakan;

“Ada dua perkara yang penting dalam dunia kerjaya selepas graduan iaitu pertamanya komunikasi dan keduanya penulisan.”

Bila saya sendiri masuk ke alam kerjaya saya sedar hakikat ini memang penting. Komunikasi yang berkesan boleh buatkan proses kerja kita seharian berjalan dengan baik sama ada sesama kakitangan kerja mahupun pelanggan.

Begitu juga dengan perhubungan, komunikasi dua hala amat penting dititik beratkan. Komunikasi yang tidak jelas seperti guna aplikasi whatsapp tidak sesuai dengan setiap situasi.

Belajarlah ilmu komunikasi dengan membaca buku-buku barat yang baik, disana banyak memuatkan kemahiran yang lebih teknikal.

Semoga dengan tulisan ini dapat membantu para pembaca sekalian untuk mengambil kebaikan-kebaikan pada hidup kita.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Bahauddin Hamizan

Bahauddin Hamizan

Graduan Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, UiTM. Meminati aktiviti sukarelawan dan sukan . Penulis buku Pematah Hati Yang Dirindukan.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami