Inspirasi

Perbanyakkan Selawat Di Hari Jumaat

Oleh Natirah Azira  •  12 Jun 2020  •  3 min baca

Jika doa adalah penghubung antara seorang hamba dengan Tuhannya, maka selawat boleh diibaratkan sebagai penghubung antara kita dengan Rasulullah SAW, insan mulia yang berjasa menyampaikan Islam kepada kita semua.

Menurut Al-Mubarrid, makna asal selawat secara umumnya adalah limpahan rasa kasih sayang. Secara lebih khusus, makna selawat sedikit berbeza dalam konteks tertentu.

1. Selawat daripada Allah kepada Nabi SAW adalah satu bentuk kemuliaan dan tambahan pangkat kepada baginda.

2. Selawat daripada Allah kepada selain Nabi, contohnya kepada kita semua maka ia bermakna rahmat.

3. Selawat daripada para malaikat kepada baginda merupakan suatu bentuk doa.

Bentuk-bentuk Ucapan Selawat

#1– Dari Zaid bin Abdullah berkata bahawa sesungguhnya mereka dianjurkan mengucapkan,

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ النَّبِيِّ الأُمِّيِّ

“Allahumma solli ‘ala Muhammadin nabiyyil ummiyyi.”
(Ya Allah, berilah selawat kepada Muhammad Nabi yang Ummi)

#2– Dari Ka’ab bin ‘Ujroh, beliau mengatakan,

“Wahai Rasulullah, kami sudah mengetahui bagaimana kami mengucapkan salam padamu. Lalu bagaimana kami berselawat padamu?” Nabi SAW bersabda, “Ucapkanlah,

اللَّهُمَّ صّلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيْمَ اِنَّكَ حَمِيْدٌ مَجِيْدٌ

“Allahumma solli ‘ala Muhammad wa ‘ala ali Muhammad kama sollaita ‘ala ali Ibrahim, innaka hamidun majid”
(Ya Allah, berilah selawat kepada Muhammad dan kerabatnya kerana engkau memberi selawat kepada kerabat Ibrahim. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Mulia) (Fadhlu As Solah ‘alan Nabi SAW, no.56 – Syaikh Al Albani mengulas bahawa hadis ini sahih)

#3– Lafaz Selawat Dalam Riwayat Bukhari, nombor 3370 sebagaimana berikut:

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ ، وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ ، إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ ، اللَّهُمَّ بَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ ، وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ ، وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ ، إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ

“Allahumma solli ‘ala Muhammad wa ‘ala ali Muhammad kama sollaita ‘ala Ibrahim wa ‘ala ali Ibrahim, innaka hamidun majid. Allahumma barik ‘ala Muhammad wa ‘ala ali Muhammad kama barokta ‘ala Ibrahim wa ‘ala ali Ibrahim, innaka hamidun majid.”
(Ya Allah, berilah selawat kepada Muhammad dan kerabatnya kerana engkau memberi selawat kepada Ibrahim dan kerabatnya. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Mulia. Ya Allah, berilah keberkahan kepada Muhammad dan kerabatnya kerana engkau memberi keberkahan kepada Ibrahim dan kerabatnya. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Mulia)

Ini adalah bentuk selawat yang kita ucapkan dalam tahiyyat akhir di dalam solat.

Ganjaran Selawat

Perintah dan anjuran Allah dalam beramal bukan suatu yang sia-sia kerana selalu akan diiringi dengan ganjaran. Maka dalam hal selawat ini juga ada pemberian menarik daripada Allah iaitu berupa rahmat serta balasan kebaikan 10 kali ganda.

Daripada Abdullah bin ‘Amr RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

فَإِنَّهُ مَنْ صَلَّى عَلَيَّ صَلَاةً صَلَّى الله عَلَيْهِ بِهَا عَشْرًا

Maksudnya: “Sesungguhnya barangsiapa yang berselawat ke atasku dengan satu selawat, maka Allah SWT akan berselawat ke atasnya dengan sepuluh selawat.” (Riwayat Muslim, no.384)

Perbanyakkan Selawat Di Hari Jumaat

Amalan berselawat kepada baginda tidak dikhususkan pada masa atau tempat tertentu sahaja. Namun, ada anjuran agar lebih memperbanyakkan selawat di hari Jumaat kerana selawat tersebut akan dibentangkan kepada baginda pada hari tersebut.

Daripada Abu Umamah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

أَكْثِرُوا عَلَيَّ مِنَ الصَّلَاةِ فِي كُلِّ يَوْمِ جُمُعَةٍ؛ فَإِنَّ صَلَاةَ أُمَّتِي تُعْرَضُ عَلَيَّ فِي كُلِّ يَوْمِ جُمُعَةٍ، فَمَنْ كَانَ أَكْثَرَهُمْ عَلَيَّ صَلَاةً كَانَ أَقْرَبَهُمْ مِنِّي مَنْزِلَةً

Maksudnya: “Perbanyakkanlah berselawat ke atasku pada setiap hari Jumaat. Sesungguhnya selawat yang dibaca oleh umatku akan dibentangkan kepadaku pada setiap hari Jumaat. Barangsiapa yang paling banyak berselawat ke atasku, maka dia akan berada paling hampir denganku (di dalam Syurga).” (Riwayat al-Baihaqi, no.5995)

Para ulama mempunyai pendapat yang berbeza-beza mengenai hadis ini. Ada yang mengatakan ia bertaraf hasan, baik seperti Imam Al-Suyuti, Imam Al-Ajlouni dan Imam Al-Syaukani, walaubagaimanapun Syeikh Al-Albani menghukum hadis ini dhaif.

Manakala, pihak Mufti Wilayah Persekutuan cenderung kepada pendapat bahawa hadis ini hasan seperti yang dinilai ulama-ulama di atas.

Kesimpulan

Jika Allah serta para malaikatNya sendiri turut mengucapkan selawat kepada Nabi SAW, maka kita sebagai umat perlu lebih berganda lagi melazimi selawat kepada baginda.

Ditambah lagi dengan kehadiran hari Jumaat yang mulia, marilah kita sama-sama memuliakan baginda dengan memperbanyakkan selawat, mengamalkan sunnah serta ajaran baginda. Moga-moga kita tergolong dalam golongan yang dekat dengan baginda kelak di hari akhirat.

Rujukan:
1. Mufti Wilayah Persekutuan
2. Rumaysho.com


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami