Gaya Hidup

Perangkap ‘Mesti’ Dan ‘Sepatutnya’ Yang Buat Kita Tidak Gembira

Oleh Natirah Azira  •  15 Mar 2021  •  4 min baca

“Dia sepatutnya terima cara aku dengan baik, hormat dan layan aku dengan baik”

“Aku mesti dapat apa yang aku nak bila-bila masa je aku nak”

Pernahkah pemikiran-pemikiran begini menghantui anda? Saya yakin anda pasti pernah mengalaminya. Dan perasaan yang timbul selepas itu adalah rasa tidak puas hati, rasa dipersalahkan, rasa tidak dilayan dengan sepatutnya dan bermacam lagi.

Kesannya, emosi kita jadi tidak stabil, marah, lantas komunikasi dan hubungan dengan orang sekeliling menjadi bermasalah. Jika perkara ini terjadi berlarutan pula, kemungkinan besar kesihatan mental akan terjejas.

Dalam ilmu kaunseling, perkara ini dipanggil dogma kepercayaan yang tidak fleksibel dan tidak rasional yang telah kita tanamkan dalam diri. Ia dikenali dengan nama “The Three Basic Musts” atau 3 Jenis Kemestian yang terkandung dalam terapi Rational Emotive Behavior Therapy (REBT).

Apabila kepercayaan ini ada maka sebab itulah emosi menjadi tidak stabil dan tingkah laku menjadi tidak sihat. Tiga jenis kemestian tidak rasional itu adalah seperti berikut:

1.Saya Perlu Melakukan Sesuatu Perkara Dengan Baik Dan Memperoleh Pujian Atau Penerimaan

Kepercayaan pertama adalah berkaitan penerimaan dan pujian. Seseorang yang tergolong di bawah kelompok pemikiran tidak rasional ini beranggapan bahawa dia MESTI dipuji dan dan diterima. Jika tidak, dia beranggapan bahawa dia bukanlah seorang yang baik.

Kesan kepercayaan ini, ia dapat menjadikan seseorang individu sering rasa bimbang, murung, malu dan rasa bersalah.

2. Orang Lain Mesti Menerima Saya Dengan Cara Yang Baik Dan Adil

Kelompok ini pula percaya bahawa mereka MESTI dilayan dengan baik dan sewajarnya oleh orang lain. Mereka mesti dihormati. Jika orang lain tidak menghormati mereka, orang tersebut adalah jahat dan layak dikutuk dan dihukum.

Kesan kepercayaan ini, ia dapat menjadikan seseorang individu cepat marah, berang, bertindak secara pasif, agresif atau ganas.

3. Saya Perlu Mendapatkan Apa Yang Saya Ingini

Seterusnya, bagi kepercayaan tidak rasional yang ketiga, seseorang itu beranggapan bahawa dia mesti mendapatkan apa yang dia ingini pada waktu yang diinginkan dan tidak perlu mendapatkannya pada waktu yang dia tidak inginkan. Jika ia tidak berjalan seperti apa yang diinginkan ini, maka sesuatu itu menjadi teruk dan dahsyat.

Kepercayaan ini dapat menyebabkan seseorang sentiasa rasa kasihan pada diri, tidak mempedulikan orang lain dan menyebabkannya bertindak secara berlengah-lengah.

Menurut pendekatan REBT yang diasaskan oleh Albert Ellis ini, seseorang itu menjadi bermasalah apabila dia rigid dan tidak fleksibel kerana inginkan semua kepercayaannya ini dipenuhi. Daripada penjelasan ini, dapat kita fahami bahawa seseorang manusia tidak bertindak begitu sahaja melainkan ada sistem kepercayaan tersembunyi dalam diri sama ada ia disedari oleh diri atau tidak.

Mungkin ada yang tertanya-tanya; Salahkah jika kita inginkan penerimaan dan pujian daripada orang? Bukankah itu perkara yang normal? Salahkah jika kita berprinsip dan inginkan sesuatu yang kita mahu sahaja?

Saya secara peribadinya berpendapat bahawa ia tidak salah jika keinginan itu masih pada tahap yang minimal dan tidak mengganggu orang lain. Ia tidak menjadi masalah seandainya jika kepercayaan ini tidak dipenuhi sekalipun, ia tidak menjadikan kita seorang yang lemah, cepat marah dan agresif.

Ini kerana, kebanyakan manusia telah terbiasa dengan pujian dan ‘reward’ sejak dari kecil. Contohnya apabila kita menang dalam pertandingan, kita dipuji oleh emak dan ayah. Jika mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan pula, kita akan dipuji guru dan diberikan hadiah.

Walau bagaimanapun, kita perlu sedar, semakin kita dewasa, kehidupan tidak lagi semudah dan seringkas itu. Dunia kita bukan lagi di rumah dan orang yang berada di sekeliling kita bukan hanya ibu bapa, guru dan rakan-rakan sekolah.

Kita berhadapan dengan pelbagai orang yang bermacam ragam. Tidak semua orang memegang prinsip dan cara hidup yang sama dengan kita. Kita tidak dapat mengharapkan penerimaan dan pujian daripada semua orang. Yang perlu kita terima adalah diri sendiri yang telah berubah menjadi seorang manusia dewasa, yang ada kelemahan dan kelebihan.

Namun, bagaimana pula dengan orang yang melayan kita dengan kasar, bahkan mungkin sehingga memukul dan mencederakan? Adakah kita masih perlu menerima sahaja?

Baik, jangan silap paham dengan point kedua yang diterangkan di atas. Mengasari dan mencederakan ini adalah hal serius yang mesti diambil tindakan kerana ia sudah menyalahi undang-undang dan hak manusia lain. Sedangkan penerangan di atas adalah tentang SISTEM KEPERCAYAAN yang terdapat dalam diri seseorang. Ia adalah dua perkara berbeza. Kita tidak dapat memaksa orang lain untuk sentiasa menghormati atau melayan kita dengan baik. Namun, jika ia telah melanggar hak dan undang-undang, maka tindakan sewajarnya tetap perlu diambil.

Di akhirnya, kita perlu menerima bahawa ada perkara yang boleh kita kawal dan tidak dapat kita kawal. Apa yang boleh kita kawal contohnya perasaan sendiri, tingkah laku sendiri dan apa yang kita fikirkan. Sedangkan apa yang tidak dapat dikawal biasanya melibatkan pemikiran dan tingkah laku orang lain.

Justeru, berlapang dadalah dalam menghadapi kehidupan. Usah terkurung dalam perangkap ‘Mesti’ dan ‘Sepatutnya’ yang buat kita tidak gembira.

Rujukan:
Buku Aplikasi Teknik Kaunseling Dan Psikoterapi oleh Nor Shafrin Ahmad dan Rohany Nasir


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami