Sejarah

Perang Sawiq – Dinamakan Dengan Maksud Tepung Dan Berlaku Pada Bulan Zulhijah

Oleh Fieyzah Lee  •  8 Aug 2019  •  3 min baca

Dua bulan selepas peristiwa kemenangan umat Islam dalam Perang Badar, mereka diuji lagi dengan peperangan yang dimulakan oleh kaum Quraisy yang berniat untuk membalas dendam kerana tidak berpuas hati dengan kekalahan mereka terhadap umat Islam.

Perang Yang Berlaku Selepas Perang Badar

Pasti kita semua pernah mendengar mengenai hebatnya tentera Islam yang berperang dengan strategi dan tenaga yang cukup tidak terjangkau oleh akal manusia.

Bagaimana umat Islam mampu mempunyai tenaga yang amat dasyat pada bulan Ramadan dan berperang dengan strategi yang mampu menggerunkan musuh dalam Perang Badar.

Kemenangan itu disambut dengan hari raya Aidilfitri yang turut sinonim dengan perayaan menyambut kemenangan sempena melawan hawa nafsu.

Pasti kita semua merasa amat bangga dengan sejarah yang berlaku terhadap umat Islam terdahulu yang sanggup melakukan apa sahaja demi Islam.

Kaum Quraisy yang berdendam dengan kemenangan tersebut kembali mengatur strategi dengan niat jahat mereka untuk menyerang umat Islam.

Perang yang telah diketuai oleh Abu Sufyan ini telah melawan seramai lebih kurang 200 orang umat Islam dengan bilangan tentera mereka yang hampir sama.

Berdasarkan penceritaan lain, ada yang mengatakan bahawa jumlah tentera kaum Quraisy adalah seramai 500 orang. Wallahu a’lam.

Perang ini diriwayatkan telah berlaku pada 5 Zulhijah tahun kedua hijrah.

Menurut beberapa riwayat dan juga penceritaan yang diceritakan oleh para ulama’ seperti Imam Ibn Kathir mengatakan bahawa, pada awalnya perang ini dimulakan terhadap mereka yang berada di pinggir Madinah dengan memerangi golongan miskin serta membakar kebun kurma. Dikatakan juga seramai dua orang umat Islam, iaitu penduduk di situ yang terkorban.

Umat Islam yang mendengar berita tersebut terus mempersiapkan diri untuk melawan musuh. Apabila mereka cuba untuk mendapatkan musuh, tentera berkuda Abu Sufyan merasa gerun dan gentar lalu mereka lari untuk mengelakkan daripada diserang.

Untuk mempercepatkan larian mereka, bahan makanan serta bekalan seperti gandum telah dilempar dan ditinggalkan.

Umat Islam yang akhirnya menjumpai tinggalan kaum Quraisy itu menjadikan ia sebagai tawanan serta makanan yang ada dibawa pulang.

Gandum merupakan antara makanan yang paling banyak yang telah ditinggalkan oleh kaum Quraisy. Disebabkan itulah, perang ini dinamakan dengan Perang as-Sawiq.

Nama Perang Biasanya Ditetapkan Berdasarkan Tempat Dan Peristiwa

Kebanyakan daripada perang yang terjadi pada zaman Rasulullah selalunya akan dinamakan bersempena dengan suatu peristiwa atau tempat kejadian.

Sebagai contoh, Perang Uhud dinamakan kerana ia terjadi di tempat yang dikelilingi Gunung Uhud.

Perang Sawiq pula dinamakan sedemikian kerana terdapat banyak gandum yang ditinggalkan oleh pihak musuh dan ia dikatakan cukup untuk dibahagikan kepada tentera dan penduduk Madinah.

Kesimpulan

Setelah kalah dalam Perang Badar, pihak musuh menyimpan dendam yang sangat besar terhadap umat Islam Namun, akhirnya dendam itu semakin merebak kerana banyak kekalahan lagi yang perlu dihadapi apabila mereka mengisytiharkan perang. Tiada kebaikan yang akan dicapai jika kita memegang dendam yang buruk, malah akhirnya ia akan memakan diri kita sendiri.

Rujukan:
Sirah Nabawiyah
Atlas Rasulullah SAW


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fieyzah Lee

Fieyzah Lee

Merupakan seorang pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami