Sejarah

Pengkhianatan Hatib Bin Abi Balta’ah Semasa Pembukaan Kota Mekah

Oleh Fieyzah Lee  •  2 Dec 2019  •  3 min baca

Kisah pembukaan Kota Mekah atau lebih dikenali sebagai Fathul Mekah sangat terkenal dalam kalangan umat Islam kerana pada waktu ini Baginda bersama tenteranya mencuba untuk memasuki kembali kota yang telah ditinggalkan sejak penghijrahan mereka ke Kota Madinah.

Tahukah anda, banyak ujian dan cabaran yang berlaku dalam usaha mereka untuk menawan kembali Kota Mekah bermula dari perancangan strategi yang mantap sehinggalah apabila telah berjaya memasukinya.

Peristiwa yang paling menyayat hati ialah apabila Baginda SAW dikhianati oleh salah seorang sahabatnya sendiri yang pernah turut serta dalam beberapa peperangan seperti Perang Badar.

Namun, disebabkan oleh keadaan yang memaksa dan iman manusia yang turun naik, dan rasa kasihnya kepada ahli keluarga yang masih berada di Mekah, beliau telah membocorkan rahsia tersebut dengan cubaan untuk menyampaikan surat kepada wakil Quraisy Mekah.

Beliau ialah Hatib bin Abi Balta’ah bin Amr’ bin ‘Umair bin Salamah al-Lakhmi al-Makki. Beliau berasal daripada Bani Mudahij, iaitu sekutu kepada Bani Asad bin Abdul Uzza.

Diceritakan bahawa beliau mempunyai fizikal dan tubuh badan yang sangat sesuai untuk menyertai peperangan, tidak terlalu tinggi namun mempunyai tangan yang kasar.

Beliau merupakan sahabat nabi yang pernah menjadi utusan rasmi kepada Muqauqis, iaitu Raja Mesir yang diajak untuk mengikuti ajaran Islam.

Allah Tetap Menggelarnya Sebagai Orang Yang Beriman

Strategi pembukaan Kota Mekah ini dirahsiakan oleh Baginda kepada pengetahuan luar bagi memberi kejutan kepada Kaum Quraisy. Hanya beberapa orang sahabat sahaja yang diberitahu maklumat tersebut secara lanjut.

Hal ini bagi mengelakkan berlakunya peperangan besar dan kejadian yang tidak diingini. Walau bagaimanapun, tindakan Hatib bin Abi Balta’ah yang cuba untuk membocorkan rahsia tersebut kepada mereka sungguh mengejutkan Baginda.

Hatib telah mengirimkan sepucuk surat kepada pemimpin Quraisy melalui seorang wanita yang dikenalinya. Dalam beberapa riwayat diceritakan bahawa wanita tersebut ialah perempuan suruhannya atau juga seorang hamba.

Walau bagaimanapun, tindakan tersebut berjaya diketahui oleh Baginda berdasarkan wahyu yang disampaikan oleh Allah SWT. Baginda menghantar Ali bin Abi Talib dan Miqdad RA untuk menghalang perjalanan perempuan tersebut.

Wanita tersebut berjaya ditangkap dan kandungan surat tersebut berjaya diketahui. Maka, Umar Al-Khattab telah meminta izin untuk memancung Hatib sebagai hukuman ke atasnya.

Walau bagaimanapun, Rasulullah SAW menghalang tindakan tersebut dan memaafkan perbuatan beliau kerana beliau telah bersungguh-sungguh meminta maaf dan bertaubat seraya mengaku masih beriman dan belum murtad.

Kisah beliau ada dinyatakan di dalam Al-Quran dan Allah masih menggelar beliau sebagai seorang manusia yang beriman.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا عَدُوِّي وَعَدُوَّكُمْ أَوْلِيَاءَ تُلْقُونَ إِلَيْهِم بِالْمَوَدَّةِ وَقَدْ كَفَرُوا بِمَا جَاءَكُم مِّنَ الْحَقِّ يُخْرِجُونَ الرَّسُولَ وَإِيَّاكُمْ ۙ أَن تُؤْمِنُوا بِاللَّـهِ رَبِّكُمْ إِن كُنتُمْ خَرَجْتُمْ جِهَادًا فِي سَبِيلِي وَابْتِغَاءَ مَرْضَاتِي ۚ تُسِرُّونَ إِلَيْهِم بِالْمَوَدَّةِ وَأَنَا أَعْلَمُ بِمَا أَخْفَيْتُمْ وَمَا أَعْلَنتُمْ ۚ وَمَن يَفْعَلْهُ مِنكُمْ فَقَدْ ضَلَّ سَوَاءَ السَّبِيلِ

Mafhum: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil musuhKu dan musuh kamu menjadi teman rapat, dengan cara kamu sampaikan kepada mereka (berita-berita rahsia orang-orang mukmin) dengan sebab hubungan baik dan kasih mesra yang ada di antara kamu dengan mereka, sedang mereka telah kufur ingkar terhadap kebenaran (Islam) yang sampai kepada kamu; mereka pula telah mengeluarkan Rasulullah dan juga mengeluarkan kamu (dari tanah suci Mekah) disebabkan kamu beriman kepada Allah Tuhan kamu. (Janganlah kamu berbuat demikian) jika betul kamu keluar untuk berjihad pada jalanKu dan untuk mencari keredaanKu. (Tidak ada sebarang faedahnya) kamu mengadakan hubungan kasih mesra dengan mereka secara rahsia, sedang Aku amat mengetahui akan apa yang kamu rahsiakan dan apa yang kamu zahirkan. Dan (ingatlah), sesiapa di antara kamu yang melakukan perkara yang demikian, maka sesungguhnya telah sesatlah ia dari jalan yang betul.” (Surah Al-Mumtahanah, 60:1)

Rahsia perjalanan kaum Muslimin dalam pembukaan Kota Mekah berjaya dijaga daripada diketahui oleh kaum Musyrikin dan Hatib telah dimaafkan oleh Baginda SAW.

Beliau telah meninggal ketika berusia 65 tahun pada tahun 30 Hijrah di Kota Madinah dan jenazahnya telah disembahyangkan oleh Saidina Uthman RA.

Rujukan:
Mufti Wilayah


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fieyzah Lee

Fieyzah Lee

Merupakan seorang pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami