Berita, Sejarah

Penggantungan Sementara Umrah Selari Dengan Kisah Pada Zaman Saidina Umar

Oleh Fizah Lee  •  28 Feb 2020  •  4 min baca

Berikutan dengan sebuah kenyataan daripada pihak Kerajaan Arab Saudi yang telah memutuskan pergantungan sementara waktu terhadap kemasukan para jemaah umrah ke Kota Mekah dan Madinah. Ia diambil sebagai langkah berjaga-jaga berikutan penularan wabak COVID-19 yang telah menyerang sejak penghujung tahun 2019 lepas.

Berdasarkan statistik-statistik yang telah dikeluarkan oleh badan-badan kesihatan menunjukkan bahawa penularan virus tersebut semakin merebak dan berada pada angka berbahaya. Kini, bahagian Timur Tengah dengan Iran merupakan salah satu kawasan yang paling terjejas dengan 95 buah kes dan 16 kematian.

Beberapa penerbangan untuk menunaikan umrah dalam masa terdekat dilihat sudah ditangguhkan jadualnya. Hal ini berikutan daripada penggantungan sementara yang diputuskan oleh Kerajaan Arab Saudi tersebut.

Pagi ini, Mufti Wilayah, Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri telah menulis sebuah kenyataan di laman Twitter beliau yang menyokong tindakan yang telah telah diambil oleh Kerajaan Arab Saudi.

“Isu penggantungan sementara visa umrah oleh Kerajaan Arab Saudi disebabkan oleh COVID-19 adalah selari dengan hadis yang dibacakan oleh Abd al-Rahman bin Auf RA kepada Saidina Umar berkenaan wabak. Tahniah kepada Kerajaan Arab Saudi atas tindakan yang tepat.” – Twitter Mufti Wilayah

Suruhan Menghindari Kawasan Berpenyakit

Islam bukan agama yang menganjurkan umatnya beribadah semata-mata tanpa menjaga hak dan kesihatan diri. Ia mengajar umatnya untuk mencegah dan melindungi diri daripada segala ancaman dan bahaya.

Mafhum: “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.” (surah Al-Baqarah, 2:195)

Hal ini dapat diperlihatkan melalui sebuah kisah yang telah berlaku pada zaman pemerintahan Khalifah Umar Al-Khattab dan dirakamkan melalui hadis yang mengajarkan umat untuk tidak mendekati diri daripada kawasan yang berpenyakit (terutamanya penyakit-berjangkit).

Saidina Umar Al-Khattab pada waktu itu ingin bermusafir ke Syam bagi menyelesaikan beberapa urusan. Terdapat riwayat lain yang menyebut bahawa ia adalah berkaitan dengan urusan negara. Namun, dalam perjalanannya, beliau telah mendapat perkhabaran bahawa Syam telah dilanda wabak penyakit yang berjangkit sehingga menyebabkan kematian.

Beliau telah meminta pendapat daripada beberapa orang sahabat yang lain yang turut serta dalam rombongan tersebut. Sebahagian daripada mereka menyuruh agar Saidina Umar meneruskan perjalanan, manakala separuh lagi menyuruh agar beliau pulang sahaja dan menangguhkan hasrat tersebut.

Maksud: “Dari ‘Abdullah bin ‘Amri RA, Umar melakukan perjalanan ke Syam. Setelah ia sampai di Sargh, datang berita bahawa Syam sedang berjangkit penyakit menular. Lalu, ‘Abdurrahman bin ‘Auf menceritakan kepadanya bahawa Rasulullah SAW berkata: “Kalau kamu mendengar penyakit menular berjangkit di suatu negeri, janganlah kamu pergi ke sana. Tetapi kalau penyakit itu berjangkit di negeri di mana kamu berada, janganlah kamu keluar darinya untuk melarikan diri.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 1667)

Saidina Umar kemudian mengambil keputusan untuk mencegah diri dan rombongannya daripada penyakit tersebut dengan menangguhkan hasratnya untuk bermusafir ke Syam sehingga keadaan tersebut reda.

Walaupun kenyataan beliau tersebut telah mendapat pelbagai tentangan dan ada juga yang mengatakan bahawa beliau takut pada takdir Allah, namun beliau yakin bahawa kata-kata yang pernah diucapkan oleh Baginda SAW itu adalah lebih baik untuk diikuti.

Baginda SAW telah meriwayatkan hadis tersebut apabila berlakunya wabak kolera yang telah diturunkan kepada golongan Bani Israel pada waktu itu.

Bukan takut atau lari daripada ketentuan Allah, namun Allah menganjurkan hambaNya untuk mencegah diri daripada bahaya dan bukan membuka peluang kepada diri untuk tersedah daripada bahaya tersebut.

Maksud: “Bertanya Abu ‘Ubadah bin Jarrah: “Apakah kita hendak lari dari qadar Allah?” Jawab Umar: “Mengapa bukan kamu yang bertanya, hai Abu ‘Ubaidah – Ya, kita lari dari qadar Allah kepada qadar Allah. Bagaimana pendapatmu sekiranya engkau mempunyai seekor unta lalu engkau turun ke lembah yang mempunyai dua sisi. Yang satu subur dan yang satu tandus. Bukankah jika engkau mengembalakannya di tempat yang subur, engkau mengembala dengan qadar Allah dan jika engkau mengembala di tempat yang tandus, engkau mengembala dengan qadar Allah?” (Hadis Riwayat Muslim, no. 2076)

Mencegah Lebih Baik Daripada Merawat

Tuntasnya, dapat kita lihat kebijaksanaan yang telah ditonjolkan oleh Saidina Umar Al-Khattab melalui riwayat yang ditinggalkan oleh Baginda SAW menunjukkan bahawa pencegahan itu adalah lebih baik.

Apabila keluarnya kenyataan yang menghalang kemasukan rakyat untuk menunaikan umrah secara sementara, maka sebagai muslim yang percaya kepada qada dan qadar Allah, kita perlu mengikutinya dan berdoa agar penularan penyakit tersebut segera reda dan sembuh.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami