Berita

Penganut Katolik (Sydney) Memberikan Ruang Pengebumian Kepada Orang Islam Yang Ketandusan Tanah Perkuburan

Oleh Tim Tazkirah  •  10 Jun 2018  •  4 min baca

Ketua Komuniti Islam Kazi Ali merasa bimbang melihat sebahagian besar ruang orang Islam di Tanah Perkuburan Rookwood, Australia di sini hampir penuh, di mana beliau telah mengusahakannya sejak 40 tahun dahulu dari sebuah padang ragut kepada sebuah taman yang subur dengan pohon palma.

Kebanyakan mereka yang membantu beliau mengusahakan ruang kubur ini pada tahun 1980-an dahulu telah menjadi antara 6000 penghuni yang disemadikan di situ. Anak perempuan seorang sahabat beliau dikebumikan di belakang sebuah pagar putih di sana. Ali turut menunjukkan kubur seorang guru beliau.

Tradisi kami di sini adalah menanam pohon di kubur kerana kami percaya sewaktu hujan, air itu akan meresap masuk dan mengalir ke hati si mati,” kata beliau.

Ruang orang Islam di Rookwood ini akan penuh dalam masa beberapa tahun, dan Tanah Perkuburan Islam Riverstone pula hanya mempunyai 50 tempat sahaja lagi, kata Ali, yang merupakan Pengerusi Lembaga Tanah Perkuburan Islam Riverstone.

Dalam apa yang disebut sebagai “contoh kerjasama antara agama yang mengagumkan”, sebuah organisasi yang tidak berasaskan keuntungan iaitu Lembaga Amanah Tanah Perkuburan Katolik Metropolitan pada minggu ini telah bersetuju untuk menyediakan 4500 ruang kubur yang baru kepada orang Islam di Tanah Perkuburan Kemps Creek, di barat Sydney, bagi menangani keperluan mendesak untuk tanah perkuburan tersebut.

Di seluruh Sydney, ruang perkuburan sedia ada dijangkakan akan habis dalam masa 20 tahun sekiranya tindakan segera tidak diambil untuk menyediakan tanah perkuburan yang baru. Penganut mana-mana agama yang perlu dikebumikan nanti sedang berdepan dengan masalah kekurangan ini.

Pihak majlis merupakan punca kekurangan ruang perkuburan ini. Kegagalan mereka untuk meluluskan kawasan tanah perkuburan baru adalah tidak dapat diterima, kata ketua eksekutif Tanah Perkuburan Katolik, Peter O’ Meara, yang telah menunggu kelulusan untuk menyediakan 220,000 ruang kubur yang baru untuk warga barat Sydney.

Saya mempunyai tanah yang cukup untuk menyelesaikan masalah orang Yahudi, Islam dan Kristian yang mengamalkan pengebumian jasad. Tetapi kami seolah-olah terperangkap dalam masa dengan pihak berkuasa tempatan atas sebab politik dalaman,” kata beliau pada majlis menandatangani memorandum dengan komuniti Muslim di Rookwood minggu ini.

Saya berasa terganggu untuk menunggu pihak berkuasa tempatan memberikan kebenaran kepada kami untuk meneruskan projek ini. Kami mempunyai tanah sejak 2013, tetapi selepas 5 tahun usaha mendapatkan kelulusan ini masih menemui jalan buntu,”.

Sebagai tambahan kepada tanah perkuburan di Rookwood dan Kemps Creek, pihak Katolik telah bercadang untuk membina dua lagi tanah perkuburan terbuka di Varroville, berdekatan Campbelltown di barat daya Sydney, dan Wallacia, di barat Sydney, yang juga telah disekat oleh pihak majlis.

Pada 2013, pihak Katolik telah membayar A$15 juta (NZ$16 juta) untuk membeli 113 hektar tanah di Varroville, yang boleh memuatkan 136,000 ruang kubur. Usaha ini telah mendapat sokongan baik dari orang awam, tetapi pihak majlis telah berulang kali menolak pelan cadangan ini.

Kemudian mereka juga telah membeli 42 hektar tanah di Wallacia, berdekatan sebuah kelab golf sedia ada, di mana mereka bercadang untuk mewujudkan 88,000 ruang perkuburan dengan mengekalkan padang golf tersebut, untuk menampung peningkatan populasi di wilayah Penrith.

Hampir 30 peratus keluarga di Sydney dijangkakan memilih pengebumian berbanding pembakaran mayat.

O’ Meara menggesa kerajaan New South Wales untuk meluluskan pelan cadangan tanah perkuburan bagi memenuhi permintaan dan keperluan berterusan serta memastikan layanan sama rata kepada semua agama.

Ruang tanah perkuburan Muslim yang baru di Kemps Creek akan dibina dengan kos A$4 juta. Pihak Muslim telah berunding untuk kos pengebumian sebanyak A$6700 untuk satu liang dan A$7441 untuk 2 liang bersekali. Kanak-kanak dan golongan miskin akan dikebumikan secara percuma.

O’ Meara juga telah bersetuju untuk membina sebuah bangunan kecil di Kemps Creek, yang memberi peluang kepada orang Islam untuk berwuduk dan solat sebelum melawat pusara, dan ini benar-benar telah mengejutkan komuniti Islam di sini.

Usaha murni dan bertimbang rasa ini telah menyentuh hati setiap orang Islam di Australia,” kata Ali.

Apabila orang ramai mendengar berita ini, mereka seolah-olah tidak percaya, kata beliau.

Adakah kamu pasti? Adakah beliau benar-benar akan melakukannya?”, mereka bertanya, agak skeptikal bahawa seorang yang berbeza kepercayaan akan berbuat sedemikian.

Ali dan O’ Meara berjanji untuk benar-benar berusaha dan menjadikannya satu kenyataan.

Penulis: Julie Power / Penterjemah: Nordiana Ali / Sumber: Stuff

Kredit Gambar: Stuff


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Tim Tazkirah

Tim Tazkirah

tzkrh.com merupakan wadah untuk komuniti Islam saling berkongsi ilmu pengetahuan, pandangan dan pengalaman mereka sebagai satu peringatan untuk menjadi muslim yang lebih baik.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami