Wanita

Pengajaran Dari Kisah Saidatina Khadijah Yang Menerima Salam Dari Allah

Oleh Fizah Lee  •  9 Oct 2020  •  3 min baca

Siapa tidak kenal dengan wanita hebat yang sentiasa menjadi bualan kita sehingga ke hari ini, iaitu Saidatina Khadijah.

Beliau adalah seorang tokoh wanita yang sangat ulung dan merupakan tulang belakang kepada perjalanan dakwah Baginda SAW.

Sehinggakan apabila beliau telah wafat, Baginda SAW tetap ingat akan beliau dan sentiasa mengirimkan doa kesejahteraan buatnya. Dan perkara ini menimbulkan kecemburuan dalam kalangan isteri Nabi SAW terutamanya, ‘Aisyah.

Ada sebuah hadis yang telah diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari daripada Hisyam bin Urwah daripada ayahnya, Urwah bin Zubair bahawa ‘Aisyah RA berkata:

Maksud: “Tidaklah aku cemburu pada isteri-isteri Nabi sepertimana cemburunya aku pada Khadijah disebabkan Nabi SAW banyak menyebut namanya dan banyak memujinya. Rasulullah SAW telah diberikan wahyu memberi khabar gembira kepadanya bahawa dia mendapat sebuah rumah di syurga yang diperbuat daripada permata.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 5229)

Bukan Baginda SAW sahaja yang menyanjungi Saidatina Khadijah, bahkan Allah SWT juga amat menyayangi beliau kerana peribadi mulianya yang sanggup berjuang bersama Nabi SAW.

Kita mengetahui bahawa beliau merupakan insan pertama yang percaya kepada Baginda SAW. Apabila wahyu sampai kepada Rasulullah, Khadijah ialah insan pertama yang mengetahuinya dan beliau tidak memilih untuk menolak perkara tersebut sebaliknya menenangkan Baginda yang baru sahaja turun dari Gua Hirak.

Dan diceritakan dalam beberapa kitab oleh ulama menyebut bahawa Khadijah ialah salah seorang dari wanita yang terbaik sepanjang zaman yang disebutkan, iaitu Asiah, Maryam dan Fatimah Az-Zahra.

Disebabkan itu, ada sebuah riwayat yang menyebut bahawa beliau pernah mendapat salam daripada Allah SWT yang disampaikan oleh Jibril AS.

Dari Abu Hurairah RA, Baginda berkata:

Maksud: “Pada suatu ketika, Jibril pernah datang kepada Rasulullah SAW sambil berkata: “Wahai Rasulullah, ini dia Khadijah. Ia datang kepada engkau dengan membawa wadah berisi lauk pauk atau makanan atau minuman. Apabila ia datang kepada engkau, maka sampaikanlah salam dari Allah dan dariku kepadanya. Selain itu, beritahukan pula kepadanya bahawa rumahnya di syurga terbuat dari emas dan perak yang di sana tidak ada kebisingan dan kepayah di dalamnya.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 3820)

Jumhur ulama membahaskan bahawa beliau menerima salam dari Allah kerana beliau ialah wanita mulia yang sentiasa membenarkan ucapan Nabi dan sentiasa ada di sisi Baginda pada saat susah senangnya.

Apa yang kita boleh belajar daripada kisah Saidatina Khadijah ini? Bagi saya, sebagai seorang isteri dan wanita, anda bukanlah sosok tubuh yang biasa bahkan anda merupakan seorang insan yang luar biasa.

Anda boleh menjadi tulang belakang kepada jatuh bangun keluarga anda dan anda juga boleh memilih untuk menjadi sebaliknya.

Semuanya berada di tangan anda. Jika anda sanggup bersusah-senang dengan keluarga anda, maka itu adalah yang terbaik dan Allah tidak akan mensia-siakan perbuatan anda itu.

Wallahu a’alam.

Sumber:
Rumaysho.com


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami