Gaya Hidup

Pemimpin Yang Adil, Antara Yang Mendapat Naungan Allah Pada Hari Kiamat

Oleh Fizah Lee  •  23 Oct 2020  •  3 min baca

Ada sebuah hadis sahih yang disebut oleh Baginda SAW berkenaan tujuh golongan yang mendapat naungan Allah di hari kiamat kelak.

Naungan Allah itu amat penting kerana ia yang akan membantu melindungi kita daripada kepanasan dan azab di hari akhirat kelak.

Yang dimaksudkan dengan naungan Allah ialah mendapat perlindungan ‘Arsy Allah sebagaimana yang telah ditafsirkan oleh Ibnu Hajar.

Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda;

Maksud: “Tujuh golongan yang dinaungi Allah dalam naunganNya pada hari di mana tidak ada naungan kecuali naunganNya; pemimpin yang adil, pemuda yang tumbuh dewasa dalam beribadah kepada Allah, seorang yang hatinya bergantung kepada masjid, dia orang yang saling mencintai di jalan Allah, keduanya berkumpul keranaNya dan berpisah keranaNya, lelaki yang diajak berzina oleh seorang wanita yang mempunyai pangkat dan kecantikan, lalu ia berkata; “aku benar-benar takut kepada Allah”, seseorang yang bersedekah dengan satu sedekah kemudian ia menyembunyikannya sehingga tangan kirinya tidak tahu apa yang diinfakkan oleh tangan kanannya serta seseorang yang berzikir kepada Allah dalam keadaan sepi lalu air matanya jatuh mengalir.” (Hadis Riwayat Bukhari no. 1423)

Hadis ini diriwayatkan sahih oleh jumhur ulama dan disebutkan dalam kitab-kitab hadis. Ulama berpendapat bahawa nilai tujuh yang disebut bukanlah bermaksud hanya tujuh golongan ini sahaja, namun tidak berbatas.

Ada lagi yang bakal mendapat naungan Allah mahupun syafaat daripada Baginda SAW sebagaimana disebutkan dalam hadis-hadis lain, namun ia tidak termasuk dalam kategori tujuh di atas.

Namun, bukan itu yang ingin dibahaskan untuk entri kali ini tetapi untuk melihat maksud imam (pemimpin) yang adil yang disebutkan sebagai golongan pertama yang disebutkan dalam hadis di atas.

Maksud Pemimpin Yang Adil

Pemimpin yang adil di sini membawa maksud seseorang yang mempunyai kekuasaan seperti raja, presiden, Perdana Menteri atau apa sahaja jawatan yang dipegang.

Adil pula ialah mereka ikut dan patuh syariat. Setiap jawatan yang dipegang itu akan dilaksanakan dengan baik dan tidak berat sebelah. Adil itu apabila sesuatu perkara diletakkan pada tempatnya, tidak melanggar atau melampaui batas dalam setiap perkara.

Keadilannya juga termasuk dengan menegakkan hukum yang telah Allah tetapkan, menjalankan setiap peraturan dan hukuman yang dicipta dengan baik dan saksama serta tidak zalim terhadap rakyat.

Jika ada hukum atau undang-undang yang tidak dilaksana dengan baik, itu tidak termasuk dengan adil. Jika ada kesalahan yang sengaja dibutakan, itu juga tidak termasuk dengan keadilan.

Adil itu apabila setiap perkara diletakkan di tempatnya tidak kiralah siapa yang terlibat. Untuk berlaku adil itu susah tetapi tidak mustahil.

Menjadi pemimpin itu ialah apabila mereka bersedia menggalas tanggungjawab dan amanah dengan baik tanpa memandang atau menutup sebelah mata.

Kesimpulan

Bagi penulis, ada sebab mengapa Allah menyebut pemimpin yang adil sebagai yang pertama dalam hadis tersebut.

Amanah yang perlu digalas sangat besar. Tidak kiralah insan tersebut merupakan pemimpin keluarga, ketua pentadbiran mahupun ketua negara, semuanya dinilai sebagai pemimpin.

Dan dengan amanah yang dijalankan itulah yang akan menentukan bagaimana tampuk pimpinannya mampu membentuk organisasi yang baik dan berjaya.

Dalam masa yang sama, ia juga akan menjadikan sama ada seseorang pemimpin itu akan mendapat naungan Allah mahupun tidak, nauzubillahi mindzalik.

Setiap dari kita adalah pemimpin dan semoga kita mampu menjadi pemimpin yang diredai Allah.

Rujukan:
Rumaysho.com


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami