Gaya Hidup

Pegang Erat Tali Ukhuwah Persahabatan Kita Hingga Hujung Nyawa

Oleh Wan Zuriati Wan Jusoh  •  17 Apr 2019  •  4 min baca

Siapa itu sahabat? Sahabat ialah seseorang yang bersama-sama dengan kita dalam merangka ketaatan kepada Allah S.W.T.

Sahabat juga ialah seseorang yang akan mendorong sahabatnya ke arah ketaqwaan dan kebersamaan dengan Allah S.W.T. Islam begitu mementingkan umatnya untuk menjalinkan persahabatan dengan sahabat yang baik.

Sahabat yang baik akan memimpin sahabatnya ke arah kebaikan dan begitulah sebaliknya jika sahabat itu buruk maka dia juga akan memimpin kita ke arah kecelakaan dan kebinasaan. Dari Abu Musa R.A, Nabi Muhammad S.A.W bersabda:

“Perumpamaan bersahabat dengan orang baik atau orang jahat itu seperti berkawan dengan seorang yang membawa wangian kasturi atau berkawan dengan seorang tukang besi. Pembawa wangian kasturi sama ada ia memberikannya kepadamu atau kamu membeli wangian tersebut darinya atau paling tidak kamu akan dapat menghidu wangian harum tersebut. Manakala tukang besi pula, sama ada ia membakar pakaianmu, atau kamu hanya akan mendapat bau yang busuk darinya”

Hadis di atas menjelaskan kepada kita bahawa jika kita berkawan dengan orang yang baik maka kita akan mendapat segala sumber kebaikan daripadanya.

Sahabat yang baik akan mendorong kita ke arah perkara-perkara yang memberi manfaat positif ke dalam diri.

Manakala jika kita bersahabat dengan sahabat yang buruk maka walaupun kita tidak melakukan perbuatan buruk tersebut namun kita tetap juga akan mendapat tempiasnya.

Setiap dari kita sudah punya sahabat, lalu bagaimana kita mahu mengarahkan persahabatan kita ke arah ketaqwaan kepada Allah, persis persahabatan baginda Nabi Muhammad S.A.W dengan para sahabatnya? Maka dikongsikan 6 tips ke arah membina tali persahabatan yang utuh;

#1- Persahabatan Atas Dasar Taqwa Dan Iman

Tiada persahabatan yang lebih baik kecuali apabila persahabatan tersebut didasari oleh ketaqwaan dan keimanan kepada Allah.

Persahabatan di atas dasar taqwa dan iman akan sentiasa mengajak ke arah kebaikan dan menegur dari segala kemaksiatan.

Sudah berapa ramai yang mengenali kita? Sudah berapa ramai yang melihat salah dan kesilapan kita? Namun sudah berapa banyak yang berani untuk menegur?

Sahabat yang baik ialah sahabat yang berani menegur kesilapan sahabatnya. Sahabat yang membawa sahabatnya ke arah kebaikan dengan menegur dan menasihati kesalahan dan kesilapan yang dilakukan oleh sahabatnya.

Jika benar sayang, mengapa tidak membawanya ke syurga bersama? Dan ingatlah ketika Allah S.W.T berfirman yang bermaksud:

“Pada hari itu sahabat-sahabat karib setengahnya akan menjadi musuh kepada sesetengah yang lain, kecuali orang-orang yang persahabatannya berdasarkan taqwa (iman dan amal soleh)” Surah al Zukhruf : 67

#2- Saling Memberi Pertolongan Dan Bantuan

Sebagai manusia yang lemah, kita sentiasa memerlukan pertolongan mahupun bantuan daripada orang lain. Maka sahabat adalah seseorang yang seharusnya sentiasa memberikan pertolongan dan bantuan.

Saidina Abu Bakar A.S Siddiq adalah seorang sahabat yang sentiasa berada di sisi baginda, ketika susah mahupun senang dan juga seseorang yang rela memberikan sepenuh pertolongan dan bantuan kepada Rasulullah S.A.W pada bila-bila masa.

Beliau bahkan menginfakkan seluruh harta dan kekayaannya untuk memberikan khidmat di dalam perjalanan dakwah Rasulullah S.A.W.

Sekiranya kita mempunyai sahabat yang memerlukan bantuan dan pertolongan, maka berikanlah bantuan dan pertolongan tersebut seikhlas mungkin mengikut kemampuan dan keterbatasan kita. Rasulullah S.A.W bersabda di dalam hadis yang bermaksud:

“Sesiapa yang melepaskan kesusahan seorang muslim, pasti Allah akan melepaskan darinya satu kesusahan pada hari kiamat. Sesiapa yang menjadikan mudah urusan orang lain, pasti Allah akan memudahkannya di dunia dan di akhirat. Allah sentiasa menolong hambaNya selama hambaNya suka menolong saudaranya”Riwayat al Tirmizi

#3- Menerima Segala Kelebihan Sahabat

Sahabat yang ikhlas di dalam persahabatan akan sentiasa meraikan segala kelebihan dan kejayaan yang diterima oleh sahabatnya.

Tunjukkanlah rasa kegembiraan di atas pencapaian yang diterimanya. Jangan didik hati kita untuk timbul rasa hasad dengki di atas kelebihan yang dikurniakan oleh Allah S.W.T kepadanya kerana setiap seseorang hamba di muka bumi ini telah pun ditetapkan rezekinya masing-masing oleh Allah secara adil dan saksama.

Rasulullah S.A.W turut memberi peringatan tentang bahaya hasad dengki di dalam sabda baginda yang bermaksud:

“Waspadalah kamu terhadap hasad. Sesungguhnya hasad itu memakan kebaikan kalian sebagaimana api memakan kamu”Abu Dawud

Bersambung – Pegang Erat Tali Ukhuwah Persahabatan Kita Hingga Hujung Nyawa (Siri 2)


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Wan Zuriati Wan Jusoh

Wan Zuriati Wan Jusoh

Seorang yang minat dalam bidang penulisan. Bercita-cita untuk menjadi seorang penulis dan sekarang sedang melanjutkan pelajaran di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA, Terengganu dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial Antropologi Dan Dakwah.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami