Inspirasi

Pegang 5 Perkara Ini Jika Ingin Melawan Perasaan Takut Mencuba

Oleh Natirah Azira  •  27 Dec 2018  •  5 min baca

Jika bercakap tentang ketakutan, saya tidak malu untuk mengaku bahawa saya antara orang yang takut untuk melakukan suatu yang baru. Sebenarnya, bukan takut dengan perkara baru tersebut tetapi takut dengan hasil yang akan saya dapat. Saya takut usaha yang saya lakukan tidak berbaloi. Saya takut saya tidak berjaya mencapai apa yang saya inginkan di akhirnya.

Antara keputusan besar yang saya lakukan dalam hidup ialah dengan menyambung pengajian ke peringkat master. Terlalu banyak yang saya timbang-tarakan seperti masa bersama keluarga, ibu bapa yang sudah semakin tua, bakti yang ingin diberikan kepada mereka, keinginan diri sendiri, bidang psikologi yang baru buat saya (pengajian degree saya dalam bidang yang berlainan), soal perbelanjaan, yuran pengajian dan sebagainya.

Terlalu banyak perkara yang saya risaukan. Terlalu banyak perkara yang saya takutkan. Namun kerana saya sedar bahawa keinginan dan cita-cita saya lebih besar daripada ketakutan, maka saya bulatkan tekad dan teruskan langkah.

Apabila disuruh berani untuk mengambil langkah baru dalam hidup, itu bukan bermakna tindakan tersebut boleh dilakukan semberono sahaja. Saya juga membuat persediaan ketika saya masih lagi di peringkat degree. Berikut beberapa langkah yang juga boleh anda ambil sebelum membuat sesuatu keputusan.

#1- Membuat Kajian Terlebih Dahulu

Sebelum terlibat dalam apa-apa perkara sekalipun, kita perlu tahu paling tidak pun perkara asas tentang perkara tersebut. Cari keserasian antara diri sendiri dengan hal tersebut. Contohnya jika anda ingin memulakan perniagaan, anda perlu tahu sedikit sebanyak perkara asas tentang perniagaan.

Jika anda ingin menceburkan diri dalam bidang pertanian, anda perlu ambil tahu teknik-teknik menanam dengan betul. Terlalu mudah untuk mendapatkan maklumat sekarang. Layari sahaja internet dan dunia berada dalam genggaman anda. Anda juga boleh mempelajarinya daripada pengalaman orang. Kata orang tua-tua, pergi berguru!

#2- Tahu Personaliti Dan Sifat Diri Sendiri

Jika anda tidak tahu kecenderungan dan minat sendiri, apa kata cuba dahulu ambil ujian personaliti di 16personalitytest.com. Ujian ini bukanlah yang paling mutakhir dan bukan seratus peratus tepat (Ujian personaliti yang lebih rasmi biasanya perlu dibayar).

Namun sedikit sebanyak ianya dapat membantu anda untuk memahami kecenderungan dan minat diri sendiri berdasarkan soalan-soalan yang dikemukakan. Hasil ujian ini akan mencadangkan bidang kerjaya dan hobi yang sesuai dengan personaliti diri anda.

#3- Minta Nasihat Daripada Orang Yang Berpengalaman

Keluarga atau orang yang terdekat dengan kita kadang-kadang tidak memahami impian dan keinginan kita. Maka, carilah orang yang boleh anda rujuk dan berbincang. Contohnya orang yang sudah melalui jalan yang anda ingin tempuh, atau orang yang pakar dalam bidang tersebut. Saya pasti mereka tidak akan lokek untuk berkongsi.

#4- Bijak Membaca Keadaan Dan Halangan

Apabila melakukan keputusan yang besar dalam hidup, kita perlu bijak membaca keadaan sama ada bersifat luaran atau dari dalam diri sendiri. Pasti ada halangan yang akan kita tempuh. Jika halangan dan masalah tersebut sudah boleh dijangka lebih awal, maka kita boleh mengatur strategi bagaimana untuk mengatasinya.

Saya berikan contoh yang dekat dengan diri saya iaitu menyambung pelajaran. Jika kita sudah berkeluarga atau mempunyai masalah kewangan, rancang lebih awal jauh sebelum membuat keputusan. Mungkin kita boleh menabung dahulu wang semasa di peringkat degree dengan melakukan kerja-kerja sampingan. Jika sudah berkeluarga pula, rancang masa dan dapatkanlah sokongan dan persetujuan penuh daripada pasangan supaya tidak ada masalah komitmen di kemudian hari.

#5- Percaya Kepada Allah

Setelah anda yakin dengan keputusan yang diambil – persediaan secukupnya juga telah dilakukan maka bertawakkal lah kepada Allah ketika melalui jalan tersebut. Walhal sebenarnya proses tawakkal ini perlu dilakukan sepanjang jalan yang anda lalui – sebelum, semasa dan juga selepas.

Saya percaya bahawa antara tanda yang menunjukkan keputusan tersebut ialah keputusan yang betul apabila Allah memberikan kemudahan sepanjang proses persediaan, kekuatan serta kecekalan pula terbina dalam diri meskipun ada halangan dan masalah yang akan dihadapi sepanjang jalan. Selagi kita berharap pertolongan Allah dalam memandu hati, maka yakinlah Allah berserta kita dalam setiap keputusan yang dilakukan.

#6- Bersabar Kerana Tangga Menuju Kejayaan Tidak Ditaburi Bunga

Proses menuju kejayaan bukanlah perjalanan yang tenang-tenang dan mendatar sahaja. Ia bukan jalan yang ditaburi bunga atau dihujani sorakan semangat. Tidak setiap hari kita bersemangat dengan apa yang kita minat.

Ada hari, celik sahaja mata kita kita sudah tahu apa yang perlu dilakukan. Semangat kita di paras tertinggi. Ada hari untuk bangun dari katil pun terasa tidak ada kudrat. Perkara yang selama ini kita minat tiba-tiba terasa membosanan.

Jika situasi seperti di atas sedang kita alami, adakah itu bermakna pilihan kita silap?

Tidak semestinya. Itu perkara biasa yang dialami oleh semua orang. Apa yang perlu kita lakukan adalah memahami dan menerima dengan hati terbuka apa yang sedang kita rasa. Saya suka melakukan trick kepada diri sendiri apabila berhadapan dengan situasi begini.

Contohnya; saya akan memberitahu diri bahawa saya hanya dibenarkan untuk bermalas-malasan sehingga pukul sekian-sekian, selepas itu saya akan mula melakukan kerja yang perlu dilakukan. Atau ‘hari ini adalah hari untuk saya treat diri sendiri’ contohnya dengan keluar berjalan atau membeli apa-apa barang.

Kadang-kadang kita perlu mencabar diri sendiri untuk keluar daripada zon selesa. Masih banyak perkara menarik dan bermanfaat dalam dunia ini yang belum kita cuba. Siapa tahu, pilihan kecil yang kita buat sekarang bakal menemukan kita dengan ‘harta karun’ berharga?


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Psikologi di universiti yang sama. Seorang yang suka membaca pelbagai genre bahan bacaan terutama sejarah, sastera, motivasi dan psikologi.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami