Berita, Sejarah

Pameran Artifak Rasulullah SAW 2019 – Khazanah Peninggalan Baginda Dan Para Sahabat

Oleh Fieyzah Lee  •  2 Aug 2019  •  5 min baca

Saya tertarik untuk membuat perkongsian mengenai kunjungan kami baru-baru ini ke sebuah Pameran Artifak Rasulullah SAW yang telah diadakan di PWTC sejak 22 Julai dan akan berakhir pada 4 Ogos ini.

Pameran yang telah dianjurkan oleh Manhaj Brothers dengan kerjasama Dragon Heart Sdn Bhd, JopanaMY, Denaihati Network, ADP Studios dan Putra World Trade Centre, Malaysia ini telah mendapat sambutan hangat rata-ratanya memberi maklum balas yang positif.

Salah satu komen yang dinyatakan ialah – mereka dapat belajar dan melihat dengan lebih dekat barang-barang tinggalan Rasulullah SAW, artifak dan hal-hal berkaitan peribadi dan sejarah Rasulullah serta para sahabat.

Antara barangan yang dipamerkan ialah kain kiswah Kaabah yang ditenun dengan kalimah dan nama Muhammad dengan sangat kemas dan mampu memukau sesiapa sahaja yang melihat, kain penutup makan Baginda yang berwarna hijau, mengingatkan kita akan warna kegemaran Baginda serta ayat Al-Quran yang telah diukir di atas kepingan emas.

Banyak juga dipamerkan barangan peribadi Rasulullah dan para pejuang terdahulu seperti pedang perang, baju besi yang digunakan untuk berperang ketika zaman Sultan Muhammad Al-Fateh serta cincin Saidina Hasan dan Husin.

Bukan itu sahaja, di samping dapat melihat semua barangan tersebut, anda juga boleh membaca nota dan hadis yang terpampang di sisi barangan itu sebagai menjawab kepada persoalan-persoalan anda mengenainya.

Tidak cukup dengan itu juga, anda akan dibantu oleh beberapa orang petugas yang telah ditugaskan di beberapa sudut untuk memberi penerangan dan bagi menjawab persoalan yang anda kemukakan.

Walau bagaimanapun, yang paling menarik minat dan mata saya untuk melihat dengan lebih lanjut ialah mengenai darah bekam Rasulullah SAW yang masih disimpan sehingga kini.

Menurut penerangan yang diberikan, darah bekam Rasulullah telah disimpan oleh beberapa orang sahabat walaupun Baginda telah memerintahkan mereka untuk membuangnya kerana bimbang akan mendatangkan mudarat.

Walau bagaimanapun, atas dasar cinta kepada Baginda, ada beberapa para sahabat yang menyimpan darah tersebut dan dengan itu, kita dapat menatapnya sehingga kini.

Sebenarnya, terdapat beberapa hadis dan dalil penceritaan mengenai darah bekam Baginda yang telah diambil dan disimpan, iaitu:

#1 – Kisah Abdullah Bin Az-Zubair

Kisah Abdullah Az-Zubair ada diceritakan di dalam kitab Sunan Ad-Daruquthuni dan juga kitab Al-Mustadrak dan diriwayatkan oleh Al-Hakim.

أنه أتى النبي صلى الله عليه وسلم وهو يحتجم فلما فرغ قال: “يا عبد الله اذهب بهذا الدم فأهرقه حيث لا يراه أحد فلما برزت عن رسول الله صلى الله عليه وسلم عمدت إلى الدم فحسوته فلما رجعت إلى النبي صلى الله عليه وسلم قال : “ما صنعت يا عبد الله؟” قال: جعلته في مكان ظننت أنه خافٍ على الناس ، قال:” فلعلك شربته؟” قال : نعم ، قال: ” ومن أمرك أن تشرب الدم

Maksud: “Nabi SAW berbekam, lantas Baginda memberikannya kepada aku dan berkata: “Pergilah dan sembunyikan (darah ini) dari manusia.” Maka, aku pergi dan meminum darah itu. Lalu, aku mendatangi Baginda dan ditanya: “Apa yang kamu lakukan?” Lalu aku berkata: “Aku sudah sembunyikan darah itu.” Nabi kemudian berkata: “Jangan-jangan engkau sudah meminumnya?” Aku menjawab: “Ya, aku telah meminumnya?” (Hadis Riwayat Ad-Daruquthuni dan Al-Hakim – Hadis Hasan)

#2 – Kisah Malik Bin Sinan

Kisah Malik yang menyertai perang Uhud dan telah menelan darah Rasulullah SAW ada diriwayatkan dan telah dibukukan oleh Ibnu Qayyim dalam Kitab Zadul Ma’ad, jilid 3 (halaman 94).

Kisah ini juga telah diceritakan dan dibenarkan oleh Shafiyurrahman Al-Mubarakfuri dalam kitabnya, Al-Rahiqul Makhtum (halaman 219).

وامتص مالك بن سنان والد أبي سعيد الخدري الدم من وجنته صلى الله عليه وسلم حتى أنقاه، فقال: (مُجَّه)، فقال: والله لا أمجه، ثم أدبر يقاتل، فقال النبي صلى الله عليه وسلم: (من أراد أن ينظر إلى رجل من أهل الجنة فلينظر إلى هذا)، فقتل شهيداً.

Maksud: “Malik bin Sinan, ayah kepada Abu Said Al-Khudri telah menyedut darah dari pipi Rasulullah SAW sehingga menelannya. Lantas Baginda bersabda: “Ludahkanlah ia!” Malik bin Sinan menjawab: “Demi Allah, aku tidak akan meludahkannya.” Kemudian dia terus keluar dan menyambung perangnya. Baginda berkata: “Barangsiapa ingin melihat seseorang dari penduduk syurga, hendaklah ia melihat orang ini.” Malik bin Sinan akhirnya telah meninggal syahid.” (Hadis Riwayat Bukhari, no 6670)

Banyak lagi kisah yang dinyatakan mengenai perbuatan para sahabat yang meminum darah Baginda. Walau bagaimanapun, jika diamati periwayatan tersebut, mereka meminum darah Baginda tanpa suruhan dan bukan dalam pengetahuan Baginda.

Sebagai contoh, dalam Kisah Abdullah bin Zubair di atas, Rasulullah telah menyuruh beliau untuk membuang darah tersebut, namun ternyata beliau meminumnya tanpa pengetahuan Baginda.

Begitu juga dengan kisah Malik bin Sunan yang telah disuruh untuk meludahkan semula darah yang diminum, namun beliau enggan malah kembali berperang dan akhirnya syahid.

Oleh itu, tiada dalil yang sahih mengenai suruhan Baginda meminum darahnya malah ia adalah atas kerelaan dan keinginan para sahabat sendiri.

Jadi, bagi menjawab persoalan kedua yang masih menari-nari di benak minda kita semua ialah, bukankah darah itu tergolong dalam golongan najis mutawasstiah dan diharamkan untuk minum atau makan.

Lantas, bagaimana dengan perbuatan para sahabat yang meminum darah Baginda?

Hal ini sebenarnya telah dijawab oleh beberapa perbahasan para ulama’ dengan dua pendapat, iaitu:

#1 – Darah Baginda Suci

Menurut pandangan Imam al-Suyuthi di dalam kitabnya al-Khasais al-Kubra dan Imam al-Qadhi serta Imam al-Khatib al-Syarbini bahawa darah Rasulullah adalah termasuk dalam pengkhususan Nabi, iaitu hanya Baginda yang ada kelebihan dan keutamaan tersebut.

Ini bermaksud, hanya darah Baginda sahaja yang suci dan tidak pada orang lain. Kita ambil satu contoh, iaitu poligami. Hanya Baginda sahaja yang boleh berkahwin lebih daripada empat kerana umum mengetahui niatnya adalah untuk membantu golongan yang tertindas serta penyebaran Islam.

Contoh lain yang dapat dibawakan ialah, hanya Baginda sahaja yang mewajibkan Qiamullail ke atas dirinya dan ia sunat buat umatnya. Hal ini kerana, amalan tersebut merupakan antara amalan utama yang tidak boleh ditinggalkan Baginda.

#2 – Darah Baginda Najis

Ada sebahagian ulama’ yang membahaskan bahawa darah Baginda adalah sama seperti darah manusia dan makhluk lain kerana Baginda tidak pernah menyuruh sesiapa pun meminum darah Baginda, malah Baginda menyuruh mereka untuk membuangnya.

Oleh itu, berdasarkan dua pendapat yang telah dinyatakan di atas ialah, kita boleh menilai sendiri adakah darahnya suci atau tidak. Ia tidak menjadi permasalahan yang besar kerana yang paling penting ialah lubuk hati kita sendiri, dengan cara bagaimana kita akan menunjukkan kecintaan kita kepadanya?

Konklusi

Bagi anda yang berminat untuk melihat dan mempelajari dengan lebih lanjut berkenaan Pameran Artifak Rasulullah ini, anda boleh terus ke Dewan Tun Razak, Tingkat 4, PWTC. Pameran ini dibuka kepada orang awam dari pukul 10 pagi sehingga 10 malam.

Bagi tiket masuk, anda boleh dapatkannya terus di kaunter dengan bayaran:
– RM20 untuk kategori dewasa
– RM10 untuk kategori pelajar
– RM5 bagi kanak-kanak.

Anda juga berpeluang untuk membawa pulang pelbagai hadiah menarik seperti Yamaha Y15ZR, Silver Bar 1kg, Samsung Galaxy Tab S5E, Samsung Smartphone A50 dan 100 helai baju T yang akan diberikan dengan setiap aktiviti yang dilakukan seperti kuiz dan soalan-soalan berkaitan Baginda dan para sahabat.

Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari secara terus laman Facebook Pameran Artifak Rasulullah SAW atau ke laman web Tamadun Islam.

Rujukan:
Pameran Artifak Rasulullah 2019
Mufti Wilayah


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fieyzah Lee

Fieyzah Lee

Merupakan seorang pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami