Gaya Hidup

Palingkanlah Hati Ini KepadaMu

Oleh Natirah Azira  •  26 Dec 2018  •  3 min baca

Sesungguhnya al-qalb (hati) itu berasal daripada perkataan ‘taqallub’ yang bermaksud kerap bertukar (berbolak-balik). Hati diumpamakan seperti bulu di atas pokok yang berubah-ubah ketika ditiup angin. Ia juga berbolak balik diumpamakan lebih cepat daripada air yang mendidih dalam periuk.

عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عَمْرِو بْنِ الْعَاصِ يَقُولُا أَنَّهُ سَمِعَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِنَّ قُلُوبَ بَنِي آدَمَ كُلَّهَا بَيْنَ إِصْبَعَيْنِ مِنْ أَصَابِعِ الرَّحْمَنِ كَقَلْبٍ وَاحِدٍ يُصَرِّفُهُ حَيْثُ يَشَاءُ ثُمَّ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اللَّهُمَّ مُصَرِّفَ الْقُلُوبِ صَرِّفْ قُلُوبَنَا عَلَى طَاعَتِكَ

Abdullah bin ‘Amru bin Al ‘Ash berkata, bahawasanya ia pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya hati semua manusia itu berada di antara dua jari dari sekian jari Allah Yang Maha Pemurah. Allah SWT akan memalingkan hati manusia menurut kehendak-Nya.” Setelah itu, Rasulullah SAW berdoa; “Ya Allah, Zat yang membolak-balikkan hati, palingkanlah hati kami kepada ketaatan beribadah kepadaMu!” (Hadis Sahih – HR Muslim No: 4798)

Demikianlah sifat hati yang sentiasa berubah antara kebaikan dan kejahatan. Kita tidak menjadi baik hanya kerana kita baik. Kita juga tidak menjadi jahat kerana sejak azali lagi kita jahat. Allah memberi pilihan kepada kita untuk memilih antara kedua-duanya.

Ustaz Khalid Basalamah dalam ceramahnya ada menerangkan bahawa hati manusia itu menerima bisikan serta pengaruh dari syaitan dan juga malaikat.

Jika seseorang itu selalu membiasakan hati dengan perkara kebaikan, maka hatinya akan cenderung untuk menurut bisikan baik daripada malaikat. Jika hati telah dibiasakan melakukan perkara yang dilarang Allah , maka hati juga cenderung untuk terus-terusan mengikut bisikan buruk daripada syaitan.

Kerana itu, hubungan antara hati dan juga amalan itu saling berkait. Perbuatan baik yang diulang berkali-kali (meski masih belum hadir rasa ikhlas) lama kelamaan akan turut memberi kesan yang baik pada hati. Begitu juga hati, jika hati itu sentiasa diperbaharui niat dan azam, maka ia pun dapat memandu anggota tubuh kita untuk melakukan perkara yang baik.

Saya teringat sebuah cerita tentang seorang guru yang menyuruh anak muridnya mengangkat air menggunakan bekas yang sudah berlubang. Tidak sempat pun bekas dibawa pulang, air sudah tiris sepanjang jalan.

Namun si guru terus menyuruh anak muridnya mengisi bekas tersebut dengan air untuk dibawa pulang. Perkara tersebut berlaku beberapa kali. Akhirnya anak murid itu bertanya mengapa dia disuruh melakukan perbuatan yang dilihat sia-sia.

“Lihatlah bekas yang dahulunya kotor akhirnya menjadi bersih kerana berkali-kali terkena air. Manakala air yang jatuh pula telah menumbuhkan pokok-pokok bunga yang cantik sepanjang jalan.”

Begitulah jawapan yang diterima. Perbuatan yang baik jika dibiasakan akan turut menyebarkan kebaikan kepada diri sendiri dan juga orang lain.

Setiap manusia mempunyai sudut-sudut keburukan di dalam dirinya. Tidak ada manusia yang sempurna. Namun jangan kerana kita memiliki kelemahan dan keburukan, kita terus menyimpulkan bahawa diri kita ini jahat dan jauh daripada Allah.

Jika kita mahu menghampiri Allah, maka Allah lebih lagi menyukai dan mahu menghampiri hamba-hambaNya. Jika kita mendekati Allah dengan berjalan, bahkan Allah mendekati kita dengan berlari!

Berdoalah sentiasa agar hati kita sentiasa cenderung kepada kebaikan. Jika kita hanya ingin bergantung kepada kemampuan diri sendiri, sesungguhnya kita tidak mampu.

اللَّهُمَّ مُصَرِّفَ الْقُلُوبِ صَرِّفْ قُلُوبَنَا عَلَى طَاعَتِكَ

“Ya Allah, Engkau yang membolak-balikkan hati, palingkanlah hati kami kepada ketaatan beribadah kepadaMu.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Psikologi di universiti yang sama. Seorang yang suka membaca pelbagai genre bahan bacaan terutama sejarah, sastera, motivasi dan psikologi.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami