Inspirasi, Ulasan Buku

Padanya Ada Cinta – Belajar Daripada Analogi Jarum Jam

Oleh Fieyzah Lee  •  26 Jul 2019  •  4 min baca

Jika diperhatikan jarum pada bulatan jam, kita akan mendapati sama ada ia akan ada dua atau tiga jarum, iaitu jarum saat, jarum minit dan jarum jam.

Jarum yang paling bising ialah jarum saat. Ia akan berdetak dan membuatkan sesiapa sahaja yang sedang dalam kerungsingan atau mengejar masa akan bertambah resah.

Bayangkan anda sedang dalam dewan peperiksaan. Masa yang berbaki hanya tinggal lagi lima belas minit dan anda mempunyai tiga soalan utama yang berbaki.

Pada awalnya anda menjawab soalan-soalan tersebut dengan tenang tanpa menghiraukan sekeliling, namun apabila masa semakin singkat, jantung anda semakin berdebar dan bunyi jam saat menambah lagi perasa debaran tersebut.

Itulah fungsi jarum saat, panjang dan mampu membuatkan sesiapa sahaja resah. Begitu juga dengan jarum minit. Panjang, namun jarang dilihat manusia.

Ia akan dipandang tatkala manusia sedang mengejar masa, mengharapkan agar ia tidak bergerak terlalu pantas dan manusia boleh mempunyai cukup waktu untuk menyiapkan sisa-sisa tugas.

Jarum yang paling pendek ialah jarum jam. Tidak berbunyi, hanya bergerak dengan senyap dan tanpa sedar ia sudah menunjukkan ke nombor yang lain menandakan masuknya waktu tertentu.

Jika anda diberi pilihan, jarum jaram yang manakah yang anda ingin jadi? Mengapa? Adakah dengan memilih jarum saat supaya anda boleh sentiasa menjadi perhatian manusia lain atau jarum minit supaya anda tetap menyerlah walau dalam hanya waktu-waktu tertentu atau jarum jam supaya anda tidak dipandang manusia lain dan boleh hidup dengan tenang?

Jika soalan ini diajukan kepada penulis, maka penulis akan memilih untuk menjadi seperti jarum jam dan akan mengelakkan diri daripada menjadi seperti jarum saat.

Di sini dapat kita lihat analogi jarum jam untuk membaiki pemikiran kita yang mungkin kadang-kadang tersasar daripada niat sebenar untuk menjadi khalifah di muka bumi.

Jika dilihat jarum jam yang pendek itu, mungkin kita akan merasakan – “Sudahlah pendek, tidak dipandang orang pula. Lantas apa yang indahnya?”

Cuba anda perhatikan kehidupan anda sehari-hari tatkala anda melihat jam. Adakah anda lebih mementingkan waktu atau minit dan saat yang bergerak?

Nah, di sini dapat kita telusuri jawapan yang mudah dan ringkas sahaja, iaitu jarum jam walau ia pendek dan jarang dilihat namun ia memberi fungsi yang cukup besar kepada setiap orang.

Jarang-jarang sekali kita melihat kepada jarum saat walaupun ia sentiasa berdetak dan mengeluarkan bunyi yang kadang-kadang merimaskan tanda jam tersebut masih hidup.

Namun, apabila jarum jam berhenti menunjukkan waktu yang tepat atau telah mati, pasti kita akan mencari punca – adakah ia mati kerana jamnya masuk air atau kehabisan bateri dan berbagai tanda tanya yang timbul.

Risau jika kita hilang punca atau terlewat dengan sesuatu janji temu dan sebagainya. Pada akhirnya, kita akan menghantar ia ke kedai untuk dibaiki atau menukarnya dengan jam yang baru.

Itulah fungsi hidup kita, tidak terlalu dipandang, tidak mencari perhatian namun mempunyai fungsi yang besar kepada sekeliling.

Belajar untuk menjadi rendah diri seperti jarum jam yang pendek, bukan mencari perhatian seeprti jarum saat yang bising dan panjang namun fungsinya kurang malah, kadang-kadang ia tidak wujud pun dalam sesetengah jenama jam yang lain.

Melalui ini juga kita dapat belajar bahawa, pandangan dan perhatian daripada manusia itu sebenarnya akan ada apabila kita mempunyai fungsi atau kekuatan yang diperlukan, bukannya setiap masa.

Kadang-kadang kita merasakan bahawa kita sentiasa menjadi sumber perhatian atau pujian daripada orang lain, namun ketahuilah saat kita tidak punya apa-apa, ia akan hilang juga suatu saat nanti malah akan segera dicari ganti melainkan nilai dan taraf kita adalah seperti jenama jam yang mahal, kita akan diabadikan.

Oleh itu, belajarlah merendah diri, tidak mengharapkan pujian dan penghargaan dari manusia sekeliling, kalau ada pun pujian, cukuplah sekadar kita bersyukur dan beringat ia adalah hadiah dari tuhan, bukan untuk menjadikan kita manusia riak dan meninggi diri seperti jarum saat.

Simpan kebaikan yang kita lakukan hanya untuk pengetahuan kita supaya hati kita sentiasa bersih, tidak mempengaruhi otak dan minda kita untuk menukar niat baik kita suatu hari nanti kepada niat terhadap sesuatu atau makhluk dan bukan untuk Allah lagi.

Jadi, anda jarum yang bagaimana?

وَاخْفِضْ جَنَاحَكَ لِلْمُؤْمِنِينَ

“Dan sebaliknya hendaklah engkau merendah diri kepada orang-orang yang beriman (sekalipun mereka dari golongan fakir miskin).” (Surah Al-Hijr, 15:88)

Sumber:
Ulasan berdasarkan buku Padanya Ada Cinta, tulisan oleh Bahruddin Bekri, terbitan PTS 2014.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fieyzah Lee

Fieyzah Lee

Merupakan seorang pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami