Gaya Hidup

Padang Mahsyar Diterangi Cahaya Tuhan?

Oleh Abdullah Bukhari  •  4 Oct 2019  •  4 min baca

Dunia adalah negeri ujian. Bukan semua yang baik diganjari dengan setimpal, begitu juga bukan semua yang jahat dihukum setara.

Tambah malang jika yang jahat memegang kuasa lalu “disihirnya” amal si baik menjadi dosa penjahat yang dipandang hina oleh manusia. Sudahnya, si baik mengakhiri hidupnya dalam cela.

Memang di dunia ada mahkamah keadilan, namun keadilan mahkamah dunia banyak kekangannya. Cahaya keadilan mahkamah dunia tidak seterang cahaya keadilan mahkamah akhirat.

Bertitik tolak dari prinsip ini, fitrah manusia sangat memerlukan wujudnya satu hari atau tempat yang mana semua makhluk diadili seadilnya agar yang teraniaya berasa puas melihat penzalimnya dihukum Allah. Hari itu adalah hari kiamat yang diterangi cahaya Allah yang terang benderang:

Dan sudah tentu akan ditiup sangkakala, maka pada waktu itu matilah semua makhluk yang ada di langit dan yang ada di bumi, kecuali sesiapa yang dikehendaki Allah (terkemudian matinya); kemudian ditiup sangkakala sekali lagi, maka dengan serta merta mereka bangun berdiri menunggu (kesudahan masing-masing). dan akan bersinar dengan terang benderanglah bumi (hari akhirat) dengan cahaya Tuhannya; dan akan diberikan Kitab suratan amal (untuk dibicarakan); dan akan dibawa para nabi serta saksi; dan akan dihakimi antara mereka dengan adil, sedang mereka tidak dikurangkan balasannya sedikitpun. Dan akan disempurnakan bagi setiap diri – balasan apa yang telah dikerjakannya, dan Allah lebih mengetahui akan apa yang mereka telah lakukan. Surah al-Zumar 39:68-70


Cahaya Allah pada hari kiamat adalah kiasan kepada “keadilan mutlak.” Cahaya diibaratkan kebenaran, manakala kegelapan diibaratkan kezaliman dan kejahatan. Banyak ayat al-Quran menyentuh perihal cahaya dan kegelapan. Islam dan al-Quran sendiri dikenali sebagai cahaya. Firman Allah:

كِتَابٌ أَنْزَلْنَاهُ إِلَيْكَ لِتُخْرِجَ النَّاسَ مِنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ بِإِذْنِ رَبِّهِمْ إِلَى صِرَاطِ الْعَزِيزِ الْحَمِيدِ
Ini adalah Kitab (Al-Quran) Kami turunkan dia kepadamu (wahai Muhammad), supaya engkau mengeluarkan umat manusia seluruhnya dari gelap-gelita kufur kepada cahaya iman – dengan izin Tuhan mereka – ke jalan Allah Yang Maha Kuasa lagi Maha Terpuji Surah Ibrahim 14:1


Juga firmanNya:

هُوَ الَّذِي يُنَزِّلُ عَلَى عَبْدِهِ آيَاتٍ بَيِّنَاتٍ لِيُخْرِجَكُمْ مِنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ وَإِنَّ اللَّهَ بِكُمْ لَرَءُوفٌ رَحِيمٌ
Dia lah yang menurunkan kepada hambaNya (Nabi Muhammad) keterangan Al-Quran yang terang nyata, kerana Dia hendak mengeluarkan kamu dari gelap-gelita (kekufuran) kepada cahaya (iman) yang terang-benderang. Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah Maha Belas, lagi Maha Mengasihani, terhadap kamu Surah al-Hadid 57:9


Ketika gelap biasanya banyak yang indah tidak dapat dilihat. Langkah kaki pun sukar diatur kerana kanta mata tak dibantu oleh pantulan cahaya.

Pada hari kiamat kelak, cahaya keadilan Allah akan menerangi seluruh ceruk pelusuk padang mahsyar sehingga tiada satu titik pun terlepas dari cahaya keadilan itu. Akibatnya, yang jahat akan menerima balasan seadilnya, manakala yang baik menerima ganjaran selayaknya.

Berdasarkan ayat al-Zumar terdahulu, Allah menyatakan penyebab utama cahaya keadilan Allah di akhirat kelak adalah kitab amalan yang sangat lengkap.

Isi rekod amalan yang sangat terperinci meresahkan orang yang bersalah. Allah menjelaskan dalam firmanNya yang lain:

وَوُضِعَ الْكِتَابُ فَتَرَى الْمُجْرِمِينَ مُشْفِقِينَ مِمَّا فِيهِ وَيَقُولُونَ يَاوَيْلَتَنَا مَالِ هَذَا الْكِتَابِ لَا يُغَادِرُ صَغِيرَةً وَلَا كَبِيرَةً إِلَّا أَحْصَاهَا وَوَجَدُوا مَا عَمِلُوا حَاضِرًا وَلَا يَظْلِمُ رَبُّكَ أَحَدًا
Dan “Kitab (rekod) Amalan” juga tetap akan dibentangkan, maka engkau akan melihat orang yang berdosa itu, berasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya; dan mereka akan berkata:” Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau yang besar, melainkan semua dihitungnya!” Dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu sedia (tertulis di dalamnya); dan (ingatlah) Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorangpunSurah al-Kahfi18:49


Setelah mengetahui betapa cahaya keadilan Allah akan bersinar terang di padang mahsyar kelak, marilah kita berdoa dan berusaha agar diberikan cahaya tersebut sebagaimana kisah ahli syurga dalam ayat ini:

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا تُوبُوا إِلَى اللَّهِ تَوْبَةً نَصُوحًا عَسَى رَبُّكُمْ أَنْ يُكَفِّرَ عَنْكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَيُدْخِلَكُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ يَوْمَ لَا يُخْزِي اللَّهُ النَّبِيَّ وَالَّذِينَ آمَنُوا مَعَهُ نُورُهُمْ يَسْعَى بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَبِأَيْمَانِهِمْ يَقُولُونَ رَبَّنَا أَتْمِمْ لَنَا نُورَنَا وَاغْفِرْ لَنَا إِنَّكَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
Wahai orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan ” Taubat Nasuha”, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, pada hari Allah tidak akan menghina Nabi dan orang yang beriman bersamanya; cahaya (iman dan amal soleh) mereka, bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka (semasa mereka berjalan); mereka berkata (ketika orang munafik meraba-raba dalam gelap-gelita): “Wahai Tuhan kami! sempurnakanlah bagi kami cahaya kami, dan limpahkanlah keampunan kepada kami; sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu” Surah al-Tahrim 66:8


Semoga dengan usaha kita bertaubat kepada Allah, mematuhi segala arahanNya serta menjauhi segala laranganNya di dunia akan menjadi sebab kita disirami cahaya keadilan Allah di padang mahsyar kelak.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Abdullah Bukhari

Beliau merupakan seorang Sarjana Usuluddin (Tafsir Al-Quran) dan kini menjadi seorang pensyarah di Jabatan Tilawah Al-Quran, Pusat Bahasa, UIAM. Beliau juga merupakan pemikir dan penulis Nota Tafsir Wartawan al-Quran yang kerap dikongsikan bersama pembaca, lebih-lebih lagi pengguna Facebook. Selain daripada itu, penulisan beliau juga kerap tersiar di akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami