Berita

Pada Hari Pelarian Sedunia, Keluarga Islam Mengenang Kembali Sambutan Baik Dalam Beberapa Dekad Yang Lalu

Oleh Tim Tazkirah  •  26 Jun 2018  •  5 min baca

DURHAM, N.C. (RNS) – Lama sebelum larangan perjalanan oleh Presiden Trump, sekatan masuk ke A.S. daripada beberapa buah negara Islam, dan sebelum berjuta-juta warga Syria dan Iraq melarikan diri dari perang saudara mula membanjiri Eropah dan mengalir masuk ke A.S., ada lagi gelombang penghijrahan orang Islam ke negara ini.

Almasa Bass merupakan salah seorang daripada mereka.

Beliau dan lebih kurang 130,000 orang Islam Bosnia yang lain, dikenali sebagai Bosniak, menetap di A.S. akibat konflik berdarah di negara belas Yugoslava. Tiba di Washington sebagai remaja bersama-sama ibu bapa dan adik perempuannya, Bass memulakan kehidupan baharu – belajar bahasa baharu, dan budaya baharu dan menyesuaikan diri dengan identiti kebangsaan yang baharu.

Pada Hari Pelarian Sedunia (20 Jun) yang diwujudkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk menarik perhatian dunia mengenai keadaan pahit getir 68.5 juta orang yang terpaksa berpindah (kira-kira 25 juta adalah pelarian), Bass berterima kasih kepada Presiden Clinton dan A.S. kerana menyediakan perlindungan bagi keluarganya dan juga rumah.

Tetapi dia melihat sekeliling dengan perasaan sedih dalam tempoh lebih 20 tahun telah mengalami perubahan.

Bila kami datang ke sini kami merasakan dialu-alukan. Kami tidak pernah merasa sakit hati, dan sehingga hari ini saya tidak pernah merasai dimusuhi hanya disebabkan siapakah saya,” kata Bass, 41, sekarang menetap di Durham, N.C. bersama-sama suami dan anak lelakinya berusia 8 tahun.

Trump telah mengurangkan jumlah pelarian yang akan memasuki ke A.S. daripada 110,000 dalam fiskal 2017 – pembahagian yang telah ditetapkan oleh bekas Presiden Obama – kepada 45,000 dalam fiskal 2018, akan bermula pada bulan Oktober.

Dia telah memulakan tekanan untuk tindakan keras terhadap pencari suaka, pengurangan visa imigran dan pembinaan tembok sempadan. Dasar “toleransi sifarnya” mengenakan dakwaan jenayah kepada sesiapa yang ditangkap melintasi sempadan secara haram. Dan dalam beberapa minggu kebelakangan ini, dia telah memisahkan ibu bapa dan anak di sempadan.

Ini merupakan sebahagian besar pemikiran semula selepas Perang Dunia II mengenai pelarian dan imigran yang berlaku tidak hanya di Amerika Syarikat tetapi juga di seluruh Eropah, kata Nikalus Steiner, pengarah Pusat Inisiatif Global di Universiti North Carolina du Chapel Hill.

Selepas perang, pemimpin Barat sanggup menawarkan kelegaan kepada penduduk di zon konflik dunia yang bosan dengan peperangan. Kebangkitan semangat nasionalisme telah mengubah semuanya. Kini pelarian tersepit di tengah-tengah.

Ini akhirnya mengenai identiti,” kata Steiner. Dasar pelarian negara adalah mengenai bagaimana ia dilihat dan mahu dilihat oleh orang lain.

Tambahan pula, A.S. tidak mahu dilihat sebagai penerima imigran, sama ada mereka merentasi sempadan Amerika Latin atau pelarian perang dan penindasan di negara lain, kata Steiner. Bass berhati-hati untuk menyatakan bahawa imigran berbeza daripada pelarian. Yang pertama mahu berpindah; manakala yang kedua kerana terpaksa.

Keluarga saya tidak pernah menyangka mereka terbuang dan berpindah,” katanya lagi. Mereka tidak mempunyai pilihan.

Dalam tahun 1992, Bosnia-Herzegovina mengisytiharkan kemerdekaan dari Yugoslavia. Selepas beberapa tahun, orang Bosnia berbangsa Serb memulakan kempen pembersihan etnik ke atas orang Islam, mengakibatkan kematian kira-kira 100,000 orang. Ini dianggap sebagai penghapusan bangsa yang paling teruk sejak pembunuhan rejim Nazi ke atas sekitar 6 juta orang Yahudi semasa Perang Dunia II.

Keluarga Bass, Hadziahmetovic merupakan antara yang menjadi pelarian. Mereka tinggal di bandar Donji Vakurf, kira-kira 80 batu daripada Sarajevo, ketika perang bermula. Sebaik sahaja tentera Serb mula memusnahkan harta benda dan mengasari Bosniak, Almasa, ibu dan adiknya dapat melarikan diri ke Croatia, di mana mereka terpaksa berasak-asak di dalam rumah rehat musim panas milik rakannya dan kemudian di hotel yang diambil alih oleh orang lain yang turt melarikan diri dari Bosnia.

Bapanya menyertai mereka tiga bulan kemudian, berjalan kaki melalui gunung-ganang bersama-sama sekumpulan orang Islam lain yang turut melarikan diri. Nenek Bass kurang bernasib baik. Dia dipukul sehingga mati oleh tentera Serbia.

Terima kasih kepada dasar pelarian A.S., keluarga itu dapat datang ke Amerika. Mereka tiba di Washington pada Disember, 1993, dan dibawa masuk oleh Kathlene dan Randy Carville dari Benton City. Keluarga Carville merupakan Kristian evangelis, dan pada masa itu dalam sembahyang di gereja Forusquare menggalakkan ahli-ahlinya untuk menaja pelarian.

Hakikatnya bahawa keluarga Hadziahmetovic merupakan orang Islam yang tidak pernah menimbulkan masalah.

Tuhan berkata untuk membantu pelarian,” kata Carville. “Kalau awak boleh, awak lakukan. Maka saya lakukannya.

Beberapa bulan kemudian, keluarganya menemui sebuah apartmen dengan bantuan masjid tempatan. Namun akhirnya mereka berpindah ke Toledo, Ohio, di mana ibu bapa Bass dapat mencari beberapa pekerjaan di kilang melalui rangkaian ekspatriat Bosnia.

Bass dan adiknya mula mempelajari bahasa Inggeris di sekolah seperti mana di Bosnia. Kni mereka menjadi remaja Amerika, menaiki bas sekolah dan menonton sitkom TV seperti “Saved by the Bell.”

Kedua-dua gadis ini bertekad untuk berjaya di sekolah. Almasa lulus sekolah tinggi dan akhirnya memperolehi ijazah kedoktoran farmasi. Adik perempuannya, Mersiha, menjadi ahli onkologi.

Kini Bass bekerja di syarikat farmaseutikal sebagai pegawai perhubungan sains perubatan dalam penyakit berjangkit. Beliau merupakan salah seorang pengasas Akademi Sastera dan Sains Amerika-Bosnia Herzegovinia.

Beliau mencatat bagaimana seorang saintis pelarian, Albert Einstein, melarikan diri dari penindasan Nazi menetap di A.S.

Pelarian telah menyumbang sedikit sebanyak kepada kemajuan sains dan teknologi di A.S.,” katanya.

Bass berkata beliau bermimpi untuk membantu semua orang kumpulan etnik di Balkan melakukan ujian genetik bagi mengakses genom peribadi mereka dan mempelajari mengenai keturunan mereka. Beliau menjangkakan bahawa keputusan akan menunjukkan “kita lebih banyak persamaan berbanding perbezaan.

Beberapa tahun yang lalu, ibu bapanya kembali ke Bosnia dan membaiki rumah mereka, yang mengalami kerosakan teruk semasa perang. Kini mereka telah bersara dan hanya berminat untuk berkebun dan menjaga anjing mereka.

Namun Bass tetap berbangga menjadi warga A.S. dan mahu legasinya digambarkan melebihi daripada keadaannya semasa remaja.

Penulis: Yonat Shimron / Penterjemah: Mohd Khairil Hisham / Sumber: Religion News Service

Kredit Gambar: Darko Bandic


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Tim Tazkirah

Tim Tazkirah

tzkrh.com merupakan wadah untuk komuniti Islam saling berkongsi ilmu pengetahuan, pandangan dan pengalaman mereka sebagai satu peringatan untuk menjadi muslim yang lebih baik.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami