Keluarga

Pada Dirimu Terletak Syurgaku

Oleh Azian Mohamed Isa  •  20 Oct 2018  •  4 min baca

Di antara nikmat yang paling wajar kita syukuri dalam hidup ini ialah masih mempunyai dua orang ibu, ibu kandung dan ibu mertua.

Pada diri mereka terletaknya syurga. Menyantuni, mengasihi dan menyayangi mereka umpama membina batu-batu asas sebuah mahligai indah di syurga.

Dalam memenuhi taat, ada keberkatan di situ. Dalam memberi khidmat, ada rahmat di situ. Dan siapalah kita tanpa doa dari mereka.

MasyaAllah, doa kedua-dua ibu ini amat hebat. Setiap kali mereka mengaminkan doa, langit terbuka tanpa hijab. Doanya menembus tujuh lapisan langit, begitu mudahnya Allah memakbulkan doa mereka.

Setiap kali saya ucapkan;

“Mak, doakan Yan.”

Setiap kali itulah mulut mereka tidak lekang menyebut;

“Ya, Mak sentiasa mendoakan.”

Nikmat itulah yang saya buru, saya dambakan dan saya tuju. Islam itu amat indah. Dalam Islam taraf ibu kandung dan mertua adalah sama. Ditempatkan paling mulia dan paling tinggi.

Begitu juga dengan kedudukan ibu angkat, ibu susuan dan ibu tiri, yang membezakan ialah kedudukan ibu kandung dari segi warisan harta pusaka. Itu saja. Selebihnya, ada tanggungjawab dan ketaatan yang wajib dipikul oleh seorang yang bernama anak.

Oleh itu, mari kita raikan ibu-ibu kita ini tanpa ada rasa prejudis mahupun diskriminasi. Ada satu kisah yang wajar direnungkan untuk menggambarkan betapa hebatnya nilai kasih seorang ibu.

Ibu muda yang baru bersalin itu bersuara, antara dengar dan tidak, kepada seorang jururawat;

“Nurse, boleh saya tengok bayi saya?”

Sambil tersenyum jururawat membawakan bayi yang masih merah itu. Si ibu menyambut dengan senyum meleret. Dibuka selimut yang menutupi wajah comel itu, diciumnya berkali-kali sebaik bayi tersebut berada di pangkuan.

Jururawat kemudian mengalihkan pandangannya ke luar tingkap. Tidak sanggup dia bertentang mata dengan si ibu yang terperanjat melihat bayinya dilahirkan tanpa kedua-dua cuping telinga.

Namun, gamamnya cuma seketika. Dakapan dan ciuman silih berganti sehingga bayi yang sedang lena itu merengek. Doktor bagaimanapun mengesahkan pendengaran bayi itu normal, sesuatu yang cukup menggembirakan si ibu.

Masa terus berlalu. Pulang dari sekolah suatu tengah hari, anak yang tiada cuping telinga itu yang kini telah memasuki alam persekolahan menangis memberitahu bagaimana dia diejek rakan-rakan. Katanya kepada si ibu;

“Mereka kata saya cacat”

Si ibu menahan sebak. Dipujuknya si anak dengan pelbagai kata semangat. Si anak menerimanya dan dia muncul sebagai pelajar cemerlang dengan menyandang pelbagai jawatan di sekolah.

Bagaimanapun tanpa cuping telinga, si anak tetap merasa rendah diri walaupun si ibu terus memujuk dan memujuk. Lantas, si ayah bertemu seorang doktor. Berkata dengan yakin pakar bedah itu;

“Saya yakin dapat melakukannya jika ada penderma”

Maka bermulalah suatu pencarian. Pencarian bagi mencari penderma yang sanggup berkorban. Akhirnya, setahun berlalu si ayah berkata ;

“Anakku, kita akan menemui doktor hujung minggu ini. Ibu dan ayah telah mendapatkan seorang penderma, tapi dia mahu dirinya dirahsiakan”

Pembedahan berjalan lancar dan akhirnya si anak muncul sebagai manusia baharu, kacak serta bijak. Pelajarannya bertambah cemerlang dan rasa rendah diri yang kerap dialaminya hilang.

Rakan-rakan memuji kecantikan parasnya. Si anak cukup seronok, bagaimanapun dia tidak mengabaikan pelajaran. Pada usianya lewat 20-an, si anak menjawat jawatan tinggi dalam bidang diplomatik. Berkali-kali si anak itu berkata kepada ayahnya ;

“Sebelum saya berangkat ke luar negara, saya ingin tahu siapakah penderma telinga ini, saya ingin membalas jasanya,”

Si ayah membalas pemintaan besar itu;

“Tak mungkin, Perjanjian antara ayah dengan penderma itu masih berjalan. Tunggulah, masanya akan tiba.”

Si anak bertanya;

“Bila ayah?”

Balas si ayah sambil ibunya mengangguk-angguk;

“Akan tiba masanya anakku”

Keadaan terus kekal menjadi rahsia bertahun-tahun lamanya. Hari yang ditunggu-tungu tiba akhirnya. Ketika si anak berdiri di sisi keranda ibunya, perlahan-lahan si ayah menyelak rambut ibunya yang kaku.

Gelap seketika pandangan si anak apabila melihat kedua-dua cuping telinga ibunya tiada. Begitulah hebatnya pengorbanan seorang ibu.

“Mothers give up so much, so that their children can have so much.”Catherine Pulsifier

Sayangi dan kasihani ibu, selagi mereka masih bernyawa kerana di situ letaknya syurga kita.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Azian Mohamed Isa

Azian Mohamed Isa

Pemegang Sarjana dalam bidang Sains Biologi, pernah menyandang jawatan pensyarah. Kini seorang penulis sepenuh masa. Seorang pemikir dan pengembara. Kisah kembaranya di Xi’an, China dan Pulau Mauritius boleh diikuti di dalam majalah E&T yang diterbitkan oleh MySet, myset.org.my. Salah seorang penulis di dalam buku antologi himpunan kisah benar berjudul ‘BLUR’ yang diterbitkan oleh Buku Puris.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami