Tokoh

Omar Al-Khayyam: Terus Menyebarkan Ilmunya Tanpa Terjejas Dengan Pergolakan

Oleh Anas  •  22 Jun 2017  •  3 min baca

Omar al-Khayyam atau nama sebenarnya Ghiyath al-Din Abul Fateh Omar bin Ibrahim al-Khayyam dilahirkan di Nishapur, Khurasan sekitar tahun 1044 C.E.

Beliau adalah seorang ahli Matematik, astronomi, ahli falsafah, ahli perubatan dan penyair.

Beliau secara umumnya adalah dari kalangan kaum Parsi. Namun beliau juga dikatakan pada asalnya datang daripada puak Khayyam yang mungkin menetap di Parsi.

Pendidikan awal Omar al-Khayyam bermula di Nishapur. Beliau tinggal di Nishapur dan Samarkand selama hidupnya. Omar Khayyam hidup sezaman dengan Nidham al-Mulk Tusi.

Banyak peluang besar yang boleh diambil oleh Omar Khayyam termasuklah bekerja dengan Raja. Tetapi, Omar Khayyam memilih untuk menjalani hidup yang lebih aman dengan menghambakan dirinya sebagai penuntut ilmu.

Beliau mengembara ke pusat-pusat ilmu terkemuka seperti Samarqand, Bukhara, Balkh, dan Isfahan untuk belajar dan bertukar pandangan dengan ilmuwan di sana.

Kehebatan Khayyam adalah sebagai ahli Matematik dan astronomi. Walaupun berlaku pergolakan politik di tempat kelahirannya yang sedikit sebanyak memberikan kesan kepada dirinya.

Namun, Omar Khayyam berjaya menghasilkan beberapa karya termasuk sebuah buku bertajuk Problems of Arithmetic, sebuah buku mengenai muzik, dan sebuah buku lagi mengenai algebra. Semua itu dihasilkan sebelum usianya mencecah 25 tahun.

Pada tahun 1070, beliau berhijrah ke Samarqand di Uzbekiztan yang merupakan antara kota tertua di Asia Tengah. Di sana, Khayyam disokong oleh Abu Tahir, seorang pakar undang-undang terkenal di Samarqand.

Omar Khayyam kemudiannya menulis karyanya yang terkenal mengenai algebra iaitu Maqalat fi al-Jabr wa al-Muqabila.

Satu jemputan dihantar kepada Omar Khayyam dari Malik Shah dan daripada seorang wazir bernama Nizam al-Mulk. Mereka meminta Omar Khayyam ke Esfahan untuk menubuhkan balai cerap.

Selama 18 tahun, Omar Khayyam mengetuai para ahli sains dan menghasilkan kerja yang amat berkualiti. Ia adalah tempoh aman bagi Khayyam di mana situasi politik pada masa itu memberi peluang kepada beliau untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada kerja-kerja ilmiahnya.

Pada tahun 1092, pergolakan politik telah menamatkan tempoh aman tersebut. Pemerintah, Malik Shah mangkat pada bulan November tahun itu, sebulan selepas wazirnya, Nizam al-Mulk dibunuh dalam perjalanan dari Esfahan ke Baghdad oleh satu pergerakan pengganas.

Omar Khayyam nyata kini telah kehilangan individu yang menyokong kerja ilmiahnya. Keadaan bertambah buruk lagi apabila ada individu-individu yang menyerang cara pemikiran Omar Khayyam yang dikatakan tidak seiring dengan iman.

Walaupun begitu, beliau tetap bertahan di situ. Beliau cuba mendapatkan hati dan sokongan mereka dengan menulis karya yang menjelaskan tentang pemerintah-pemerintah Iran yang dikenali sebagai hebat dalam menyokong kerja awam, sains dan pemberian tajaan atau biasiswa.

Akhirnya Khayyam meninggalkan Esfahan dan mengembara ke Merv di Turkmenistan. Sanjar, iaitu anak ketiga Malik Shah yang kini telah mengambil alih pemerintahan ayahnya, telah menjadikan Merv ibu negara empayar Seljuk.

Sanjar telah membina pusat pengajian Islam yang hebat di Merv di mana Khayyam menulis banyak karya mengenai matematik.

Selain sumbangan besar Khayyam dalam bidang Matematik, Khayyam juga amat hebat sebagai penyair. Kehebatannya itu sehingga ramai terlupa dengan sumbangannya dalam bidang sains yang lebih penting.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Anas

Seorang penulis yang suka bereksperimentasi dengan pelbagai bidang dalam penulisan. Pernah menulis buku kanak-kanak dan juga majalah.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami