Gaya Hidup

Nilai Sebuah Empati

Oleh Noor Afidah Abu Bakar  •  1 Oct 2018  •  3 min baca

Empati adalah keupayaan manusia untuk mengenalpasti, memahami dan menyelami perasaan dan kesusahan orang lain.

Adanya empati ini membantu manusia untuk memiliki tingkah laku prososial yang datangnya dari dalam diri sendiri dan tanpa dipaksa oleh sesiapa. Empati inilah yang menjadikan manusia bertamadun sifatnya.

Sifat ini bermula dari kecil lagi. Banyak kajian menunjukkan ia bermula dari peringkat usia awal kanak-kanak.

Inilah usia kritikal di mana tingkah laku prososial dipupuk sehingga terpateri di jiwa seorang insan sebagai satu nilai. Inilah usia kritikal bila mana sel-sel otak atau jaringan neural terbentuk.

Apabila jaringan neural yang membentuk empati ini dihubungkan dari kecil melalui aktiviti-aktiviti yang menggalakkannya dan berterusan digalakkan oleh ibu bapa dan guru untuk diamalkan oleh anak-anak, sifat empati ini akan kekal sehingga tua.

Tetapi sekiranya dipupuk waktu kecil tetapi tidak diamalkan, jaringan neural ini akan dicantas apabila memasuki usia remaja bila mana otak manusia melalui proses penstrukturan semula.

Menurut kajian psikologi ada banyak sebab empati ini boleh hilang atau tidak pernah ada langsung dalam diri seseorang.

Walau bagaimanapun saya tertarik dengan satu kajian yang dijalankan oleh pengkaji-pengkaji dari University of Cardiff dan dibentangkan di konferens tahunan Society for Endocrinology pada tahun 2016.

Dalam kajian tersebut, mereka menganalisa tingkah laku pesakit-pesakit yang menghidap penyakit yang menyebabkan turunnya paras hormon oksitosin. Hormon oksitosin ini juga dikenali sebagai ‘love hormone’ atau hormon kasih sayang.

Sejurus selepas lahir, kita mendapat bekalan oktison atau hormon kasih sayang ini daripada sentuhan dan belaian ibu kita dan juga melalui susu ibu. Sesungguhnya kasih sayang dan ibu tidak dapat dipisahkan.

Walau bagaimanapun, setelah dikaji, pesakit-pesakit yang mempunyai kadar oksitosin yang rendah ini juga didapati tidak dapat menyempurnakan tugasan yang melibatkan empati atau memahami perasaan orang lain, dengan baik.

Pengkaji mencadangkan agar mereka diberikan penambahan ataupun gantian oktison untuk membantu kesihatan psikologi mereka supaya dapat dikembalikan empati itu dalam diri mereka.

Bila dikaitkan kajian tersebut dengan kejadian di AEON Tebrau yang berlumba-lumba mengambil barang dan akhirnya ditinggalkan begitu sahaja.

Maka marilah kita cukupkan malah limpah ruahkan kasih sayang kepada anak-anak kita supaya mereka membesar sebagai generasi yang mempunyai empati yang tinggi terhadap orang lain.

Anak-anak memerlukan banyak sentuhan, pelukan dan ciuman tidak kiralah lelaki atau perempuan, kecil, remaja atau dewasa. Tidak ada hukum yang mengatakan haram memeluk dan mencium anak sebagai seorang ayah dan ibu yang waras akal fikirannya.

Galakkan anak-anak kita supaya banyak berinteraksi dengan manusia dan bukannya dengan mesin supaya mereka lebih peka dan memahami perasaan dan kesusahan manusia.

Kiranya berlaku lagi kejadian seumpama di AEON Tebrau satu hari nanti, anak kita yang mempunyai empati yang tinggi ini akan berfikir;

“Kasihan dengan pekerja-pekerja di sini. Aku tidak boleh menyusahkan mereka. Mereka juga manusia yang mempunyai hati dan perasaan.”


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Noor Afidah Abu Bakar

Beliau merupakan 'Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)'. Beliau boleh dihubungi melalui FB Parent Connect. Lulusan MA Early Childhood Education di University of Sheffield.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami