Ibadah

Nilai Hati Dengan 4 Perkara Ini

Oleh Natirah Azira  •  30 Sep 2018  •  3 min baca

Imam al-Ghazali ada membincangkan tentang hati dalam karya agungnya iaitu Ihya’ Ulumuddin. Beliau membahagikan hati kepada dua definisi.

Pertama, definisi hati sebagai hati fizikal iaitu daging yang berbentuk seperti buah shanaubar (bentuk bundar memanjang) yang terletak di bahagian kiri dada. Di dalamnya terdapat rongga-rongga yang menyalurkan darah hitam dan berperanan sebagai sumber nyawa manusia.

Kedua ialah hati spiritual iaitu sesuatu yang bersifat halus (lathifah) dan bersifat ketuhanan (rabbaniyyah). Hati dalam definisi kedua ini menggambarkan hakikat diri manusia yang mana hati berfungsi untuk merasai, mengenali dan mengetahui sesuatu perkara atau ilmu.

Imam al-Ghazali menyebutkan bahawa qalb itu bukan semata-mata organ jantung namun ia merupakan sifat yang terkandung dalam diri manusia yang dapat membuat dan mempertimbangkan keputusan baik atau buruk.

Apa yang Dimaksudkan Dengan Baiknya Hati?

Dari Abdullah bin ‘Amru dia berkata; Ditanyakan kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam; “Manusia bagaimanakah yang paling mulia?”

Beliau menjawab:
“Sebaik-baik manusia adalah manusia yang bersih hatinya dan selalu benar atau jujur lisannya.”

Kemudian mereka para sahabat berkata; “Mengenai jujur atau benar lisannya, kami sudah mengetahuinya, tetapi apakah yang dimaksud dengan orang yang bersih hatinya?”

Beliau menjawab, “Iaitu seseorang yang bertakwa dan bersih, yang tidak terdapat kedurhakaan dan kezaliman padanya, tidak iri hati (hasad), dan juga tidak dengki.”(HR. Ibnu Majah 4206 dan Ibnu ‘Asakir (17/29/2) Syaikh Albani berkata, “Hadits ini memiliki sanad yang shahih dan rijal yang tsiqat (terpercaya)”

Maka kita tahu sekarang bahawa nilaian baik dan bersihnya hati di sisi Allah itu adalah;

1. Orang yang hatinya dalam ketaqwaan kepada Allah (hatinya sentiasa tunduk kepada Allah).

2. Orang yang jujur dalam percakapan, dia bercakap perkara yang benar.

3. Orang yang tidak ada kezaliman dalam dirinya, dia meletakkan sesuatu perkara di tempatnya yang sesuai.

4. Orang yang tidak ada rasa iri hati dan dengki kepada orang lain. Iri hati dibenarkan hanya dalam dua keadaan iaitu, iri hati kepada orang yang dikurnia ilmu (Al-Quran dan As-Sunnah), dan juga iri hati kepada orang yang dikurniakan harta lalu diinfakkan ke jalan yang diredhai Allah.

Hati yang baik dan bersih adalah hati yang merasa kasih sayang Allah, hati yang sentiasa lunak dan terpandu ke arah kebaikan. Hati orang beriman, adalah hati yang sedar apa yang sedang dilakukan. Jika dia ada melakukan kesilapan, maka dia sedar dan tidak membiarkan, kerana hakikat iman bukan semata-mata tentang pengakuan beriman dengan lidah tetapi diikuti dengan amal perbuatan. Wallahua’lam.

Rujukan:
Jurnal bertajuk “Konsep Al-Qalb Dan Pembangunannya Menurut Al-Quran dan Hadis” oleh Ahmad A‘toa’ Mokhtar, Dr. Zikmal Fuad, Prof. Madya Dr. Che Zarrina Sa`ari, Dr. Zulkefli Aini
Jurnal bertajuk “Konsep Hati Menurut Al-Ghazali” oleh Muhammad Hilmi Jalil, Zakaria, Raudhah Abu Samah


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Psikologi di universiti yang sama. Seorang yang suka membaca pelbagai genre bahan bacaan terutama sejarah, sastera, motivasi dan psikologi.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami