Inspirasi

Nikmat Yang Disyukuri Ahli Syurga Dan Disesali Ahli Neraka

Oleh Abdullah Bukhari  •  22 Dec 2017  •  4 min baca

Nikmat Islam dan iman sangat besar nilainya. Ia akan “Disyukuri Atau Disesali” sepenuhnya oleh manusia tatkala roh mereka sudah bercerai dari badan.

Ahli syurga bersyukur dengan nikmat iman, manakala ahli neraka seakan menangis air mata darah menyesali kebodohan mereka menolak iman semasa di dunia dahulu. Akan tetapi apa gunanya menyesal pada saat itu?

Sungguh! Beruntunglah orang yang sudah tahu bersyukur semasa di dunia lagi. Lalu manifestasi syukur itu diterjemahkan dalam pengabdian serta kesempurnaan ibadat.

Merekalah manusia yang paling bijak kerana senantiasa bersedia untuk hidup selepas mati;

Si cerdik (bijaksana) adalah orang yang menjaga (mengawal) diri (dari melanggar arahan Allah) dan bersedia untuk kehidupan selepas mati. Si lemah (bodoh) adalah orang yang mengikut nafsunya dan berangan-angan agar Allah (mengampunkannya)Sunan al-Tirmidhi, Sunan Ibn Majah

Dalam syurga kelak para penghuninya tidak kesepian. Mereka bertemu dan saling sapa menyapa antara satu sama lain.

Bukan setakat itu, mereka juga berpeluang memuaskan geram di hati dengan menjengok serta menempelak ahli neraka yang dahulunya memandang lekeh iman mereka kepada Allah.

Rupanya salah satu nikmat syurga adalah nikmat emosi ketika menempelak manusia jahat yang pernah berlagak sombong dengan mereka dahulu semasa di dunia;

(Setelah menceritakan perihal rakannya itu) ia berkata lagi: ” Adakah kamu hendak melihat (keadaan rakanku yang ingkar itu)?” Maka ia pun memandang (ke arah neraka), lalu dilihatnya rakannya itu berada ditengah-tengah neraka yang menjulang-julang. Dia pun (menempelaknya dengan) berkata:” Demi Allah! Nyaris-nyaris engkau menceburkan daku dalam kebinasaan. “dan kalaulah tidak disebabkan nikmat pemberian tuhanku (dengan hidayah petunjuk), nescaya akan menjadilah daku dari orang-orang yang dibawa hadir (untuk menerima balasan azab) “ Surah al Saffat 37:54-57

Dalam ayat lain Allah menggambarkan rasa syukur para penghuni syurga dengan nikmat islam dan iman yang mereka perolehi dari Allah;

Dan Kami cabutkan segala dendam dan hasad dengki dari hati mereka, (di dalam Syurga) yang mengalir beberapa sungai di bawah (tempat) masing-masing, “Dan mereka pula bersyukur dengan berkata: “segala puji tertentu bagi Allah yang telah memberi hidayah petunjuk untuk (mendapat nikmat-nikmat) ini, padahal kami tidak sekali-kali akan memperoleh petunjuk kalau allah tidak memimpin kami (dengan taufiqnya)”; sesungguhnya telah datang Rasul-rasul Tuhan kami dengan membawa kebenaran”. Dan mereka diseru: “Itulah Syurga yang diberikan kamu mewarisinya dengan sebab apa yang kamu telah kerjakan” Surah al A’raf 7:43

Nikmat iman serta Islam yang dianugerahi Allah kepada mereka memang disyukuri sepanjang masa. Bahkan ia seakan menjadi nafas, oksigen dan zikir para penghuni syurga;

Doa ucapan mereka di dalam Syurga itu ialah Maha Suci Engkau dari segala kekurangan wahai Tuhan! Dan ucapan penghormatan mereka padanya ialah: Selamat sejahtera! Dan akhir doa mereka ialah segala puji dipersembahkan kepada Allah yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam! Surah Yunus 10:10

Jika di dunia dahulu mereka ditertawa dan diejek, maka di akhirat mereka pula memulang paku bauh keras mentertawakan ahli neraka yang mengelepar sakit diseksa:

Maka pada hari ini, orang-orang yang beriman pula tertawakan orang yang kafir itu. Sambil mereka berehat di atas pelamin-pelamin (yang berhias), serta melihat (hal yang berlaku kepada musuhnya). (Untuk menambahkan kegembiraan mereka, mereka ditanya): “Bukankah orang-orang yang kafir itu telah dibalas akan apa yang mereka telah kerjakan dahulu?” Surah al Mutaffifin 83:34-36

Pada waktu ini, ahli neraka terhina dan menyesal. Mereka tercari-cari di manakah orang beriman yang mereka pandang lekeh dahulu:

Dan penduduk neraka itu tetap akan bertanya sesama sendiri: “Mengapa kita tidak melihat orang-orang yang dahulu kita kirakan mereka sebagai orang-orang jahat (lagi hina)?” Adakah kita sahaja jadikan mereka ejek-ejekan (sedang mereka orang-orang yang benar)? Atau mata kita tidak dapat melihat mereka? Surah Sad 38:62-63

Pada saat ini, penyesalan ahli neraka naik berganda kerana sedar betapa bodoh dan dungunya mereka melepaskan peluang iman semasa pernah hidup di dunia dahulu. Gambaran terbaik menjelaskan penyesalan mereka adalah sabda Rasulullah S.A.W ini:

Pada hari kiamat, dibawakan orang kafir yang paling hebat Nikmatnya di dunia (kaya) lalu dicelupnya dalam dengan celupan neraka sahaja, kemudian dikatakan padanya: Wahai anak Adam, adakah kamu melihat satu kebaikan dan merasa kesenangan (segala kemewahanmu di dunia dahulu)? Lalu si kafir menjawab: Tidak sama sekali wahai Tuhanku. Kemudiannya dibawakan pula ahli syurga yang paling susah hidupnya di dunia dahulu, lalu dicelupkan padanya satu celupan (sahaja) ke dalam Nikmat syurga, kemudian dikatakan padanya: Wahai anak Adam, adakah kamu melihat kesusahan dan adakah kamu merasakan kepayahan (kerana mematuhi arahan Allah semasa di dunia dahulu)? Lalu dijawabnya: Demi Allah wahai Tuhanku, tidak pernah aku rasakan kesusahan atau kepayahan sama sekali Sahih Muslim & Musnad Ahmad

Semoga kita tergolong dalam manusia bijak yang mengambil peluang yang sekali semasa hidup di dunia ini untuk bahagia hari esok di akhirat kelak. Insya Allah!


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Abdullah Bukhari

Beliau merupakan seorang Sarjana Usuluddin (Tafsir Al-Quran) dan kini menjadi seorang pensyarah di Jabatan Tilawah Al-Quran, Pusat Bahasa, UIAM. Beliau juga merupakan pemikir dan penulis Nota Tafsir Wartawan al-Quran yang kerap dikongsikan bersama pembaca, lebih-lebih lagi pengguna Facebook. Selain daripada itu, penulisan beliau juga kerap tersiar di akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami