Gaya Hidup

Nikmat Sekeping Waffle

Oleh Azian Mohamed Isa  •  10 Mar 2019  •  3 min baca

“Mama sedapnya waffle ni”

Kata Adik Acu, anak bongsu saya yang sedang menikmati waffle di tangannya dengan penuh minat. Dijamahnya sekali lagi waffle itu yang cukup lembut untuk dikunyah, namun, kekal garing apabila digigit. Sungguhpun tebal, teksturnya cukup gebu dan ringan.

MasyaAllah. Begitulah apabila menikmati makanan yang sedap dan lazat. Nikmatnya tidak terkata. Adakalanya sampai tak ingat dunia. Rasa bagai di syurga!

Namun, ibu saya berpesan. Nikmat makan ini hanya di tekak sahaja. Setelah ditelan nikmatnya akan pudar. Setelah dihadam sedap itu akan hilang.

Masih ingatkah kisah Nabi Nuh A.S? Usia Nabi Nuh A.S amat panjang melangkaui kurun dan abad. 950 tahun Nabi Nuh A.S berdakwah.

Baginda tidak pernah berputus asa dan sentiasa mengharap rahmat Allah untuk diberikan kepada kaumnya. Ketika hampir waktu ajalnya, malaikat maut datang kepada Nabi Nuh A.S seraya berkata:

“Wahai Nabi yang paling panjang umurnya! Bagaimana anda merasai dunia dan kelazatannya?”

Nabi Nuh A.S menjawab;

“Seperti seorang yang memasuki rumah yang memiliki dua pintu, lalu dia berhenti sebentar di tengah rumah, kemudian keluar dari pintu lainnya.”Ibnu Abi Dunya meriwayatkan dalam kitabnya Az Zuhd (358) dengan sanadnya dari Anas bin Malik R.A

Allahu Akbar. Begitulah perbandingan nikmat dunia rupanya. Betapa singkat dan terlalu ringkas bunyinya. Nikmat itu bermaksud apa-apa yang memberikan kesedapan kepada manusia.

Ada 5 jenis nikmat yang Allah kurniakan kepada seluruh umat manusia iaitu:

#1- Nikmat asasiyah : Udara yang kita sedut setiap detik tanpa perlu diminta.

#2- Nikmat badaniyyah : Fizikal dan tubuh badan yang sihat yang Allah kurniakan.

#3- Nikmat ‘aqliyah : Akal yang cerdas dalam menuntut ilmu yang menyebabkan kita beroleh kepandaian dan pengalaman.

#4- Nikmat qalbiyah : Keluarga dan harta yang kita miliki yang menggembirakan hati dan perasaan.

#5- Nikmat imaniyah : Nikmat yang tertinggi, yang dikurniakan Allah khusus untuk orang mukmin yang dengannya hati beroleh ketenangan.

Dengan nikmat, datangnya kesyukuran. Dan dengan rasa bersyukur, Allah akan tambahkan lagi nikmat yang ada. Itu jaminan Allah S.W.T. Allah berfirman;

وإذ تأذن ربكم لئن شكرتم لأزيدنكم

Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu mengumumkan, Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmatKu), maka sesungguhnya azabKu sangat pedih.”Surah Ibrahim 14: 7

Saidina Abu Bakar as-Siddiq, ketika ditanya apa yang dia suka tentang dunia. Beliau menjawab ada 3 perkara:

#1- Duduk berdampingan dengan Nabi S.A.W

#2- Suka melihat wajah Nabi S.A.W

#3- Menginfakkan hartanya kepada Nabi S.A.W

Saidina Abu Bakar as-Siddiq merupakan orang yang terbaik selepas Rasulullah S.A.W sejak Rasulullah S.A.W masih hidup lagi.

Beliau merupakan sahabat yang paling dicintai Baginda dan menjadi peneman paling setia di saat getir dan genting iaitu semasa peristiwa Hijrah. Dunia Saidina Abu Bakar berfokuskan kecintaannya kepada Rasulullah S.A.W dan Allah S.W.T. Dunia kita, bagaimana?

Justeru, raikan nikmat hidup dengan penuh rasa kesyukuran dan bersegeralah berbuat amalan. Amalan soleh sebagai bekalan kerana hidup di dunia ini terlalu singkat dan amat ringkas. Maka permudahkan dan biarlah memberi kesan. Kata-kata bijak pandai;

“Jika kita fokus kebahagiaan akhirat, nescaya kita akan dapat kebahagiaan dunia. Namun, jika kita fokus kepada kebahagian dunia, belum tentu kita akan dapat kebahagiaan akhirat.”


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Azian Mohamed Isa

Pemegang Sarjana dalam bidang Sains Biologi, pernah menyandang jawatan pensyarah. Kini seorang penulis sepenuh masa. Seorang pemikir dan pengembara. Kisah kembaranya di Xi’an, China dan Pulau Mauritius boleh diikuti di dalam majalah E&T yang diterbitkan oleh MySet, myset.org.my. Juga seorang penulis yang telah menerbitkan lima buah buku di bawah Galeri Ilmu

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami