Hukum

Nikah Mut’ah Yang Pernah Dibenarkan Dalam Islam

Oleh Fizah Lee  •  17 Dec 2019  •  4 min baca

Kalau dulu, apabila dibuka sahaja drama-drama Melayu di saluran televisyen, kita akan melihat jalan cerita cinta yang lebih kurang sama, iaitu berkisarkan mengenai nikah kontrak.

Malah, sehingga kini pemikiran kita masih lagi dijajah dengan drama mahupun filem-filem yang mempunyai jalan cerita seperti ini.

Sebagai contoh, kita sering mendengar skrip yang berbunyi: “Awak mesti kahwin dengan saya dan selepas ayah saya menyerahkan semua harta kepada saya, maka saya akan ceraikan awak.”

Dan pelbagai lagi kisah dan juga skrip yang sering kita dengar berkenaan kahwin kontrak ini. Kebiasaannya ia akan terjadi di antara anak orang kaya dan orang miskin.

Entri kali ini bukanlah untuk mengulas mengenai siaran atau drama yang dikisarkan itu perlu lebih realistik dengan kehidupan kita, namun untuk membincangkan mengenai hukum nikah kontrak ini dalam Islam.

Tahukah anda, nikah kotrak atau dalam Bahasa Arab ialah nikah mut’ah merupakan sesuatu yang diharamkan dalam Islam dan hukumnya tidak berubah sehingga hari kiamat.

Perkahwinan dalam Islam adalah umpama sebuah ikatan yang teguh dengan niat dan tujuan pergaulan yang abadi. Walau bagaimanapun, nikah mut’ah ini tidak mencapai kepada tujuannya, disebabkan itu ia diharamkan dalam Islam.

Nikah Mut’ah Pernah Halal

Nikah mut’ah pada awalnya pernah halal dengan beberapa dalil yang telah dinyatakan oleh Baginda SAW sebelum kukuhnya perundangan Islam.

Hal ini ada diriwayatkan oleh Ibnu Mas’ud melalui sabda Baginda SAW yang bermaksud:

“Dalam suatu peristiwa, kami keluar bersama-sama Rasulullah SAW untuk berperang dan isteri-isteri kami tidak turut serta. Maka, kami pun berkata kepada Baginda SAW: “Isteri-isteri kami tidak turut serta, adakah boleh kami memberikan diri?” Rasulullah SAW melarang mereka melakukan demikian, lalu Baginda membenarkan kami menikahi wanita dengan mas kahwin sepasang pakaian sehingga suatu masa yang ditetapkan.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Menurut pendapat jumhur ulama, nikah mut’ah pada masa itu dihalalkan kerana waktu itu digelar sebagai ‘masa transisi’, iaitu sebuah waktu daripada zaman jahiliah kepada zaman Islam. Seperti yang kita sedia maklum, perbuatan zina pada waktu itu sangat berleluasa dan umat Islam yang baru menganut agama Islam serta turut berperang dibolehkan bernikah sebentar bagi mengelakkan zina.

Walaupun sebahagian daripada mereka ada yang teguh keimanannya, namun tetap ada juga yang bertanyakan perihal ini kepada Baginda SAW. Maka, sebab itulah nikah mut’ah ini dihalalkan.

Sebab utama nikah ini dihalalkan adalah untuk melindungi diri dan mententeramkan jiwa seseorang agar terhindar daripada perbuatan yang terkutuk dan perasan yang tidak sepatutnya.

Walau bagaiamanapun, ia kemudiannya telah diharamkan oleh Islam berdasarkan dalil Baginda SAW:

Dari Rabi’ bin Saburah, dari ayahnya bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: “Aku dahulu telah mengizinkan kalian menikahi perempuan dengan mut’ah dan sesungguhnya Allah telah mengharamkan cara itu sehingga hari kiamat. Maka, barangsiapa yang masih mempunyai isteri hasil dari nikah mut’ah, hendaklah ia membebaskannya dan jangan mengambil apa sahaja yang telah engkau berikan kepadanya.”(Hadis Riwayat Muslim & Abu Daud)

Mengikut pendapat umum ulama, nikah mut’ah ini diharamkan buat selama-lamanya sehingga hari kiamat dan tiada keringanan terhadapnya.

Dalil pengharaman ini telah mula dikeluarkan ketika berlakunya Perang Khaibar, iaitu pada bulan Muharram ketika 7 Hijrah. Kemudian, ia diikuti ketika penaklukan kota Mekah, iaitu pada Ramadan 8 Hijrah dan akhir sekali semasa Perang Hunain, iaitu pada Syawal 8 Hijrah.

Antara sebab pengharamannya ialah kerana perhubungan yang dibina adalah memberi kezaliman kepada kaum perempuan.

Malah, tujuan nikah hanyalah untuk keseronokan dan melepaskan nafsu syahwat semata-mata dan bukan untuk memperolehi zuriat. Malah, secara umumnya, amalan ini menunjukkan kepada rendahnya martabat wanita yang boleh dinikahi dan diceraikan pada bila-bila masa.

Kesimpulan

Tuntasnya, nikah kontrak ini adalah haram dan perlu ditinggalkan daripada dilakukan kerana ia langsung tidak memberi kelebihan kepada agama.

Oleh itu, perlu dibaiki pemikiran orang kita pada masa kini daripada terpengaruh apabila menonton drama-drama dan juga filem yang dipertontonkan.

Rujukan:
Academia.edu
Fikh Perkahwinan, Halal Dan Haram oleh Dr Yusuf Al-Qaradhawiy


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami