Ibadah

Niat Ialah Kompas Amalan

Oleh Firdaus Rusni  •  8 Mar 2019  •  5 min baca

Apabila kita buka kitab Hadis 40 yang disusun oleh Imam An-Nawawi, hadis di urutan pertama adalah tentang niat. Niat merupakan salah satu elemen terpenting untuk menjadi mukmin yang sejati.

Tanpa niat, setiap amalan kita hanya menjadi sia-sia saja. Tanpa niat, apa yang kita lakukan hanya biasa-biasa saja. Kita hanya menempa rugi.

Rasulullah SAW bersabda,

“Sesungguhnya setiap perbuatan bergantung ada niat dan setiap orang (akan dibalas) berdasarkan apa yang dia niatkan. Sesiapa yang berhijrah kerana (ingin mendapatkan keredaan) Allah dan RasulNya, maka dia akan mendapat (keredaan) Allah dan RasulNya. Dan sesiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dikehendakinya atau kerana wanita yang ingin dikahwininya, maka nilai hijrah seperti (sebagaimana) yang dia niatkan.” (HR Bukhari dan Muslim)

Niat ini sungguh memainkan peranan yang tinggi dalam menentukan amal yang kita lakukan kerana Allah ataupun tidak. Sedangkan hadis ini pada awalnya diturunkan pun disebabkan seorang lelaki yang berhijrah kerana hendak mengahwini seorang wanita – dipanggil penghijrahan lelaki tersebut sebagai hijrah Ummu Qais.

Begitu juga dengan kita semua, periksa semula niat kita. Boleh dikatakan hampir seluruh perbuatan kita berkaitan dengan niat. Oleh itu, jangan mensia-siakan amalan yang sudah kita lakukan. Jangan biarkan penat dan lelah sahaja yang kita dapat.

Seperti contoh, kalau hadir dalam kenduri tahlil dan bacaan yasin di masjid, niatkan kerana Allah dan bukan sekadar untuk mengenyangkan perut kerana hidangan makanan yang disediakan selepas bacaan tersebut.

Pernah suatu masa, ketika tidak ada hidangan yang dijamu selepas bacaan Yasin malam Jumaat, ramai yang bising kerana tiada makanan. Jangan begini. Bukan makanan jadi keutamaan kita tapi redha Allah dalam setiap amal itu yang dicari.

Seterusnya, niat juga boleh memperkecilkan dan memperbesarkan nilai sesuatu amal. Ia menjadi pembeza kepada ibadat dan adat. Setiap hari apabila kita ke tempat kerja, niatlah bekerja kerana Allah dan mencari rezeki untuk diri dan keluarga dalam masa yang sama untuk membolehkan kita membantu orang lain, untuk digunakan ke arah kebaikan dan sebagainya.

Sama juga dengan rutin makan dan minum, kita bukan hanya makan untuk sekadar kenyang dan minum bagi menghilang haus sahaja tapi niatkan kerana ingin mendapatkan tenaga untuk menunaikan ibadat kepada Allah. InsyaAllah, akan ada ganjarannya.

Selanjutnya, niat ini suatu benda yang tersembunyi. Tidak pula dapat dilihat oleh manusia dengan mata kasar. Ianya bertempat di dalam hati. Tidak juga dilidah yang lembut tidak bertulang ini.

Oleh sebab itu, kebanyakan manusia hanya mampu meneka apa yang zahir dimatanya tapi tidak selalu benar dan hanya mendatangkan prasangka buruk. Perkara begini ditegah oleh Allah kerana prasangka buruk ini tidak memberi manfaat malah mendatangkan dosa. Hanya Allah saja yang mengetahui niat dihati kita. Orang lain tidak boleh menghukum secara zahir tentang niat kita.

Jangan Memanipulasikan Niat

Selain itu, jangan pula salah menggunakan fungsi niat ini. Lantas dimanipulasikan untuk dijadikan hujah atas kesilapan kita. Seperti orang yang cuba ber ‘couple’ ala-ala islamik dengan mengatakan niat untuk menikahinya.

Niat sudah baik tapi caranya silap. Ada pula yang berfesyen dengan potongan rambut ala-ala qazaf dengan alasan niat dia untuk keselesaan sedangkan ianya perbuatan yang makruh yang tidak ada nilai apa-apa pun.

Ini yang dikatakan memanipulasikan niat sedangkan ada kaedah atau kata-kata yang mengatakan matlamat itu tidak menghalalkan cara. Janganlah menyalahgunakannya sebagai penyelamat diri kita apabila sudah melakukan kesilapan dengan alasan niat yang baik.

Harus kita ketahui, niat merupakan pintu gerbang untuk mencapai pahala dan keikhlasan. Keikhlasan tidak akan tercapai apabila niat kita terdapat cacat cela, tidak jelas, dan langsung tidak berniat. Memang sukar untuk mencapai ikhlas tapi tidak mustahil. InsyaAllah akan saya jelaskan pula tentang ‘soal ikhlas’ dalam penulisan yang lain.

Perbaharui Niat

Sentiasalah kita semua memperbaharui niat. Mungkin sebelum ini kita langsung keluar rumah tanpa berniat ataupun niat kita bukan kerana Allah. Selepas ini, apa kata kita cuba pasang niat untuk melakukan sesuatu perkara itu kerana Allah. Cuma dalam perkara kebaikan, jangan pula perkara yang buruk kamu cuba niatkan juga kerana Allah. Parah beb.

Kita Masih Mendapat Pahala Walaupun Berniat Tapi Tidak Mampu Melakukan

Sedikit tambahan mengenai bab niat yang saya kira amat perlu dan penting untuk kita semua ketahui – iaitu berniat melakukan suatu amal yang belum tentu kita mampu lakukan.

Bunyinya macam pelik bukan? Jangan rasa pelik, mungkin kita pernah terdengar tentang perkara ini.

Saya beri satu contoh supaya ianya lebih mudah dan jelas untuk kita fahami. Begini, kita punya niat untuk bangun melakukan solat tahajud, tapi kita terlajak tidur hingga ke Subuh dan terlepas daripada melakukan solat tahajud. Namun disebabkan niat kita sebelum tidur itu untuk bangun menunaikan Solat Tahajud, Allah beri kita pahala ‘free’!

Rasulullah SAW bersabda,

Maksudnya : “Siapa yang mendatangi tempat tidurnya sambil berniat untuk melakukan solat Tahajjud tapi ia tertidur sampai pagi, maka ia akan mendapat pahala sesuai dengan apa yang dia niatkan” (HR Al-Bukhari)

Nah, Allah bagi pahala sesuai dengan apa yang diniatkan meskipun amal tersebut tidak dilakukan. Walaupun begitu, bukan cukup dengan berniat sahaja tapi tiada usaha. Ia mesti diiringi usaha yang benar dan bersungguh baru dikira untuk diberi pahala yang sesuai.

“Kalau sebelum tidur tu dah pukul 1 atau 2 pagi, lepas tu tak set alarm, bahkan sebelum tidur pun boleh tengok drama korea atau movie barat. Perghh, memang susahlah”

Kesimpulannya, sekali lagi saya ingatkan diri sendiri terutamanya dan kepada semua, pastikan apabila kita melakukan sesuatu amal mesti bersertakan dengan niat. Tidak susah untuk berniat berbanding mendapatkan keikhlasan. Yang penting kita belajar untuk terus berniat dalam melakukan apa pun perkara kebaikan sehingga istiqamah. Dan akhirnya kita dapat merasai nikmat keikhlasan itu sendiri.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Firdaus Rusni

Firdaus bin Rusni merupakan graduan dari Kolej Pengajian Islam Johor dalam bidang Pendidikan Islam. Sekarang sedang membantu perniagaan keluarga , merupakan pembantu imam di masjid dan penulis buku antologi Bercakap Dengan Cermin bersama Bonda Nor. Beliau juga minat membaca pelbagai genre buku.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami