Inspirasi

Neraka Wail Dan Saqar, Ancaman Bagi Orang Yang Solat

Oleh Fieyzah Lee  •  21 May 2019  •  6 min baca

Kita sering mendengar bahawa solat itu merupakan amalan pertama yang akan dihisab oleh Allah SWT di alam barzakh nanti. Kita juga sering mendengar tentang cerita-cerita ancaman siksaan neraka bagi orang-orang yang tidak solat. Sekalipun ia ancaman yang berat namun ia suatu yang benar. Memang ada ancaman yang jelas disebutkan dalam Al-Quran berkenaan hal ini. Allah berfirman bahawa:

مَا سَلَكَكُمْ فِي سَقَرَ
(Setelah melihat orang-orang yang bersalah itu, mereka berkata): “Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar?”

قَالُوا لَمْ نَكُ مِنَ الْمُصَلِّينَ
Orang-orang yang bersalah itu menjawab: “Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan sembahyang;

وَلَمْ نَكُ نُطْعِمُ الْمِسْكِينَ
“Dan kami tidak pernah memberi makan orang-orang miskin;

وَكُنَّا نَخُوضُ مَعَ الْخَائِضِينَ
“Dan kami dahulu selalu mengambil bahagian memperkatakan perkara yang salah, bersama-sama orang-orang yang memperkatakannya;

وَكُنَّا نُكَذِّبُ بِيَوْمِ الدِّينِ
“Dan kami sentiasa mendustakan hari pembalasan”

حَتَّىٰ أَتَانَا الْيَقِينُ
“Sehinggalah kami didatangi oleh perkara yang tetap diyakini”.

Melalui ayat di atas, Allah telah menerangkan dengan panjang lebar antara perkara yang dapat menjerumuskan manusia ke dalam neraka kelak antaranya:

1. Tidak solat

2. Tidak memberi makan kepada orang miskin

3. Tidak menjaga ucapan yakni – berkata perkara-perkara salah yang tidak diketahui kebenarannya.

4. Tidak mempercayai adanya hari akhirat di mana setiap manusia akan dihisab sesuai dengan amalan yang dilakukan di dunia.

Selain daripada itu, terdapat satu lagi peringatan yang diberikan oleh Allah yang berkait juga dengan solat. iaitu orang yang solat tetapi boleh dimasukkan ke dalam neraka, apatah lagi orang-orang yang tidak melaksanakan solat.

Bagaimana golongan yang solat juga boleh dihumban ke dalam neraka?

وَيْلٌ لِّلْمُصَلِّينَ
الَّذِينَ هُمْ عَن صَلَاتِهِمْ سَاهُونَ

Mafhum: (Kalau orang yang demikian dikira dari bilangan orang-orang yang mendustakan agama), maka kecelakaan besar bagi orang-orang Ahli sembahyang. (Iaitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya. (Surah al-Ma’un, 107: 4-5)

Hayati dan fahami surah al-Ma’un di atas. Melalui ayat yang telah dikeluarkan, ulama’ membahaskan bahawa orang yang melaksanakan solat, namun mencuri dalam solatnya akan disediakan neraka khas buat mereka.

Bagaimana seseorang itu dikira mencuri dalam solat? Bolehkah seseorang itu dianggap pencuri dalam solat? Lihatlah pada sabda Baginda SAW yang bermaksud:

“Sejahat-jahat pencuri adalah orang yang mencuri dalam solatnya. Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, bagaimana ia mencuri dalam solatnya?” Baginda menjawab: “Ia tidak menyempurnakan rukuk dan sujudnya.” (HR Ahmad).

Orang yang dianggap sebagai pencuri dalam solat ialah mereka yang melakukan solat dengan main-main dan kadang-kadang lalai dalam solatnya. Laksanakanlah solat dengan betul-betul seolah-olah solat itu merupakan solat terakhir yang kamu akan dirikan. Bersolatlah kerana ia merupakan amal ibadah yang pertama yang akan dihisab oleh Allah SWT.

Rasulullah SAW berpesan lagi melalui sabdanya yang bermaksud:

“Seburuk-buruk pencuri adalah orang yang mencuri dalam sembahyangnya (tidak menyempurnakan rukun sembahyangnya)”. (Hadis Riwayat Ahmad)

Neraka Wail Untuk Golongan Yang Solat

Selain daripada orang yang mencuri dalam solat, ada lagi satu ciri yang disebut oleh Allah berkenaan orang yang solat iaitu orang yang melambat-lambatkan solat sehingga masuk ke dalam waktu yang seterusnya.

Sa’ad bin Abi Waqas RA berkata: “Aku pernah bertanya kepada Rasulullah SAW tentang orang yang melalaikan solatnya, maka baginda menjawab; “iaitu mengakhirkan waktu solat (daripada waktunya yang asal sehingga sampai kepada waktu solat yang lain).

Mereka itu tetap dinamakan orang-orang yang menunaikan solat iaitu sebagai musallin. Akan tetapi, kerana mereka telah mensia-siakan dan mengakhirkan waktu solat tersebut, maka mereka diancam dengan neraka Wail, iaitu seksaan yang teramat pedih di dalamnya.

Ada juga yang mengatakan, Wail itu adalah sebuah lembah di dalam neraka Jahannam, yang sekiranya gunung-gunung di dunia ini dicampakkan ke dalamnya, maka gunung-gunung itu akan menjadi cair akibat kepanasannya yang teramat. Maka itulah tempat bagi mereka yang mensia-siakan solatnya dan mengakhirkan solatnya sehingga keluar dari waktunya. Kecuali jika dia telah bertaubat kepada Allah swt dan menyesal akan kesalahannya itu.

Allah tahu bahawa ada perkara yang menjadi fokus utama kita dalam kehidupan di dunia. Antaranya harta, anak-anak, keluarga serta kesenangan-kesenangan lainnya, maka peringatan dalam surah di bawah tepat sekali dan perlu diambil berat.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُلْهِكُمْ أَمْوَالُكُمْ وَلَا أَوْلَادُكُمْ عَن ذِكْرِ اللَّـهِ ۚ وَمَن يَفْعَلْ ذَٰلِكَ فَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْخَاسِرُونَ

Mafhum: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintah-Nya). Dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi. (Surah Al-Munafiqun, 63:9)

Orang-orang yang meninggalkan solat akan menerima azab dan hukuman serta kehidupannya tidak tenang. Antara azab yang akan dihadapi ialah:

#1 – Tidak Mendapat Petunjuk Dan Cahaya Ketika Di Dunia

Sabda Nabi SAW; “Sesiapa yang memelihara sembahyang dikurniakan baginya cahaya, petunjuk dan kelepasan pada Hari Kiamat. Sesiapa yang tidak memeliharanya, tiada baginya cahaya, petunjuk dan kelepasan. Dan pada Hari Kiamat dia akan bersama Firaun, Qarun, Haman dan Ubay anak Khalaf.” (Hadits Riwayat At-Thabrani dan Ibnu Hibban)

#2- Disempitkan Kehidupan Di Alam Kubur

وَمَنْ أَعْرَضَ عَن ذِكْرِى فَإِنَّ لَهُۥ مَعِيشَةً ضَنكًا وَنَحْشُرُهُۥ يَوْمَ ٱلْقِيَـٰمَةِ أَعْمَىٰ

Maksudnya: Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjuk-Ku, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta (Surah Taha: 124)

Imam Tabari berpendapat bahawa kesempitan yang dimaksudkan dalam ayat di atas ialah kesempitan ketika di alam kubur. Kerana jika kesempitan yang dimaksudkan adalah kesempitan dunia, maka realiti menunjukkan orang kafir dan yang melakukan kemungkaran kadang kala hidup mereka lebih mewah dan senang ketika di dunia.

#3 – Mendapat Murka Allah Ketika Hari Pembalasan

Ibn Abbas R.Anhuma berkata: “Sesiapa yang meninggalkan solat sekali sahaja dengan sengaja, maka dia akan mengadap Allah SWT dalam keadaan mendapat kemurkaan.” (Riwayat Ahmad dan Abu Daud)

#4 – Azab di Neraka

Seperti dalam ayat-ayat yang telah dinyatakan pada permulaan artikel ini, golongan yang tidak solat diancam untuk dihumban ke dalam neraka Jahannam, neraka Saqar dan golongan yang main-main dalam solat akan dihumban ke dalam neraka Wail.

Solat Tanda Hamba

إِنَّنِي أَنَا اللَّـهُ لَا إِلَـٰهَ إِلَّا أَنَا فَاعْبُدْنِي وَأَقِمِ الصَّلَاةَ لِذِكْرِي
Mafhum: “Sesungguhnya, Akulah Allah; tiada Tuhan melainkan Aku; oleh itu, sembahlah akan Daku, dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati Daku.”

Solat membuktikan bahawa hidup kita di atas dunia ini hanyalah sekadar hamba kepada Allah, bukan hamba kepada duit, bukan hamba kepada raja, bukan hamba kepada negara, bahkan bukan hamba kepada diri dan kehidupan sendiri, namun hanya Allah.

Diri kita ini dicipta oleh Allah dan akan kembali kepada Allah. Oleh hal yang demikian, kita perlulah melakukan segala suruhannya dan meninggalkan segala larangannya.

Ada orang yang melakukan sembahyang sekadar untuk melaksanakan perintahNya. Ada orang yang berniat melakukan sembahyang kerana inginkan pengampunanNya. Ada muslim yang melakukan solat kerana betul-betul ikhlas dalam melakukannya.

Tugas kita di dunia ini adalah untuk menyembah Allah dan beribadah kepada-Nya dengan sebaik-baik amalan. Sentiasa niatkan dalam hati bahawa hari ni kta ingin melakukan ketaatan kepadaNya dengan sebaik-baiknya.

Sebagai seorang hamba, bersolatlah dengan hati, dengan jiwa dan juga dengan fikiran yang sedar sepenuhnya.

Rujukan: Mufti Wilayah Persekutuan


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fieyzah Lee

Fieyzah Lee

Merupakan seorang pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami