Inspirasi

“Nak Tarik Orang Kepada Islam” – Dengar Pesanan Wanita Dan Lelaki Korea Ini

Oleh Natirah Azira  •  30 Aug 2019  •  3 min baca

Jika anda pernah mendengar nama Jay Kim, anda pasti mengetahui bahawa beliau adalah seorang vlogger berbangsa Korea, dan bukan Islam yang banyak menghasilkan konten-konten video menarik tentang budaya dan cara hidup Islam. Dalam video terbarunya pada bulan ini, Jay Kim menjemput Song Bora, seorang wanita Korea yang sudah memeluk Islam selama 12 tahun.

Song Bora, yang sememangnya mengambil jurusan Bahasa Arab dan kini menjadi Guru Bahasa Arab berkata, proses untuk dia memeluk Islam tidak lah terlalu sulit. Ini kerana, ahli keluarga dan kebanyakan rakan-rakan sangat menyokong dan bersikap terbuka.

Namun, dia tidak menafikan bahawa terdapat tiga sikap golongan rakyat Korea terhadap orang yang memeluk Islam – pertama, ada yang menyokong. Golongan kedua pula bersikap neutral dan tidak mahu ambil tahu dan yang terakhir adalah yang sememangnya memandang ia sebagai suatu yang negatif. Ada juga sebahagian rakan-rakan yang mula menjauhkan diri kerana silap faham mereka terhadap Islam.

Apabila ditanya tentang pengalaman setelah memakai tudung, ceritanya, pernah sekali ada seorang lelaki yang tiba-tiba menarik tudung yang dipakai dan mempersoalkannya mengapa dia berhijab.

Seseorang yang ingin memeluk Islam perlu mengucapkan kalimah syahadah, iaitu kalimah persaksian bahawa “Tidak ada Tuhan yang disembah melainkan Allah, dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah”.

Song Bora dalam perkongsiannya bercerita tentang pengalaman mengucapkan kalimah syahadah. Dalam keadaan ketawa, dia memberitahu bahawa saat dia mengucapkan syahadah ia berlaku begitu pantas dan lucu, kerana imam yang menjadi saksi ketika dia mengucapkan syahadah rupanya boleh berbahasa Inggeris sedangkan dia menjangkakan seorang yang akan bercakap dalam Bahasa Arab. Rakannya pula langsung tidak sempat merakam detik-detik bermakna itu.

Apabila ditanya tentang pesanan dan nasihat buat mereka yang ingin memeluk Islam. Dia mengingatkan beberapa perkara.

Pertama, usah paksa diri sendiri dalam mempelajari Islam.

Katanya: “Anda tidak perlu memilih Islam sekarang. Islam tidak akan lari, Allah sentiasa menunggu anda”

Maksudnya, lebih baik memperbaiki diri sedikit demi sedikit. Dan pilih Islam saat anda sudah benar-benar bersedia.

Kedua, mula berubah dengan perkara yang mudah.

Mereka yang berminat kepada Islam perlu membiasakan diri dengan cara hidup Islam terlebih dahulu. Mulakan dengan hal-hal yang mudah seperti memperbaiki cara berpakaian, cara bersosial dan juga gaya pemakanan.

“Jika tidak dibiasakan, keadaan lebih sukar untuk anda apabila memeluk Islam”

Ketiga, menilai setakat mana bantuan dan sokongan yang diperlukan daripada orang Islam.

Ini kerana, biasanya, apabila ada yang berminat dengan Islam, orang Islam menjadi lebih teruja dan kadang-kadang sehingga mendatangkan perasaan yang kurang enak kepada mereka yang baru ingin mengenali.

Song Bora juga mengingatkan orang Islam supaya tidak memberi tekanan kepada orang bukan Islam yang menunjukkan minat kepada Islam. Bantu apa yang diperlukan dan tidak perlu mendesak mereka sehingga mereka rasa terpaksa untuk memeluk Islam segera.

Elakkan daripada mengeluarkan kata-kata seperti,

“Kenapa kamu masih lagi belum peluk Islam?”
“Macam mana kalau kamu mati esok?”

Kata Song Bora, orang ingin masuk ke dalam Islam dengan penuh harapan untuk memulakan hidup baru dengan cara yang lebih baik, maka mengapa perlu mematikan harapan tersebut dengan kata-kata sebegitu.

Yang penting, cuba fahami apa yang sedang dilalui oleh mereka yang sedang mengenali Islam. Ia adalah pengalaman baru dan hal yang sangat asing bagi mereka. Seperti anak-anak yang baru ingin belajar berjalan, pimpinlah tangan mereka dengan hati-hati dan penuh kasih sayang.

Jay Kim aktif mengeluarkan konten video yang menarik; tentang bagaimana orang memberi reaksi kepada wanita yang berniqab di khalayak ramai, pengalaman berpuasa selama sebulan dan juga pengalaman pertamanya mengikuti solat di Masjid Cheonan.

Ikuti Jay Kim di platform Facebook dan Youtube untuk mengetahui perkongsian lebih menarik tentang apa yang ditemuinya tentang Islam!


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami