Gaya Hidup

“Nak Makan Dekat Mana?” – Bagaimana Untuk Buat Keputusan Secara Efektif

Oleh Natirah Azira  •  23 Aug 2019  •  4 min baca

“Nak makan kat mana?”

“Tak tahu”

“Nak makan apa”

“Tak tahu”

Itu contoh situasi yang sangat dekat dengan kita – fasal makan. Kadang kala, ia mengundang geram dan kelakar dalam masa yang sama. Dalam hal mudah begini, tidak ada masalah kerana paling tidak, orang lain akan mula mencadangkan apa yang ingin dimakan.

Namun, dalam membuat keputusan yang lebih besar serta melibatkan ramai orang, penting untuk mempunyai kemahiran membuat keputusan secara efektif dan cepat.

Minggu lalu, sebuah pesawat Airbus Rusia yang membawa lebih 230 orang penumpang membuat pendaratan cemas di ladang jagung, apabila kipas pesawat mengalami kerosakan setelah dirempuh oleh sekawanan burung. Bayangkan detik cemas dan kritikal yang berlaku di mana juruterbang perlu membuat keputusan secepat yang mungkin untuk menyelamatkan nyawa semua orang.

Mungkin dalam kehidupan seharian kita, keputusan yang perlu dibuat tidaklah sekritikal itu. Tetapi, kita tetap perlu melatih diri untuk membuat keputusan secara efektif supaya proses berfikir menjadi lebih lancar.

Ia sebenarnya dapat membantu kita dalam banyak aspek seperti perlu membuat keputusan di tempat kerja, ketika berbincang dan sebagainya, lebih-lebih lagi ia diperlukan bagi mereka yang berada dalam bidang keusahawanan. Lambat ambil peluang, mereka akan tertinggal di belakang.

Oleh itu, bagi melatih diri menjadi seorang yang efektif dalam membuat keputusan, berikut disenaraikan 5 panduan yang boleh dilakukan:

#1- Memahami Punca Yang Membuatkan Anda Lambat Membuat Keputusan

Ada dua perkara yang berkemungkinan besar membuatkan seseorang lambat membuat keputusan atau langsung tidak mahu membuat keputusan.

Pertama ialah kurang informasi. Hal ini mungkin kerana kita kurang membaca atau mengkaji tentang perkara yang berkait dengan keputusan yang perlu dibuat. Maka, tidak ada cara lain, anda perlu mengumpul informasi dan data untuk membuat keputusan dengan baik.

Punca kedua adalah takut – tidak kira sama ada takut salah, takut dengan akibat yang mungkin berlaku, takut dengan penilaian orang dan sebagainya.

Saya suka mengulang-ulang pepatah dari Buya Hamka berkaitan perkara ini:

“Jangan takut jatuh, kerana yang tidak pernah memanjatlah yang tidak pernah jatuh. Jangan takut gagal, kerana yang tidak pernah gagal hanyalah orang-orang yang tidak pernah melangkah. Jangan takut salah, kerana dengan kesalahan yang pertama kita dapat menambah pengetahuan untuk mencari jalan yang benar pada langkah yang kedua.” ,small>Hamka

#2- Menilai Apa Kemungkinan Yang Paling Baik Dan Paling Teruk Boleh Berlaku

Cara kedua untuk membantu kita dalam membuat keputusan secara efektif ialah dengan membuat penilaian antara kemungkinan yang paling baik dan paling buruk boleh berlaku. Seterusnya yakinkan diri sendiri, bahawa anda hanya ada dua pilihan ini.

Anda boleh memilih sama ada duduk berdiam diri kerana takut atau genggam ketakutan bersama-sama dengan keberanian dan tetap melangkah walaupun terpaksa. Tidak ada pilihan lain untuk bergerak ke hadapan, anda perlu membuat keputusan.

#3- Elakkan Daripada Mempersoalkan Keputusan Anda

Adalah suatu yang normal untuk berasa ragu-ragu walaupun setelah melakukan keputusan. Tetapi latih diri untuk menepis keraguan yang berlebihan. Elakkan daripada mempersoalkan keputusan yang telah dilakukan, kerana anda bukan Tuhan yang boleh mengetahui semua benda secara tepat. Keberanian untuk membuat keputusan adalah lebih besar daripada membuat keputusan yang betul atau tepat.

#4- Mengetahui Kesan Yang Boleh Terjadi Jika Anda ‘Indecisive’

Kata Buya Hamka, peluang tidak datang apabila kita telah bersedia, ia boleh datang dalam keadaan yang paling tidak dapat dijangka. Maka kita harus bijak serta cepat membuat keputusan.

Jika kita terbiasa berlengah-lengah dalam membuat keputusan, atau cenderung untuk mengelak daripada berhadapan dengan konflik, maka ia dapat memberi tekanan di kemudian hari kerana segalanya akan terkumpul di dalam minda.

Bayangkan jika anda membeli barang – almari, baju, kerusi, meja. Hari demi hari, ia semakin memenuhi bilik, dan melimpah sehingga ke ruang tamu. Anda terus mengumpul semua barang tanpa membuat keputusan sama ada ia berguna atau atau perlu dibuang. Atau anda sebenarnya tahu, bahawa ada barang yang memang tidak berguna dan perlu dibuang, namun berlengah daripada membuangnya. Akhirnya anda boleh tertimbus dengan semua barang tersebut.

Begitu juga dalam membuat keputusan – setelah membuat keputusan, anda sebenarnya tidak perlu lagi berfikir tentangnya dan boleh membenarkan perkara baru untuk memasuki minda.

#5- Utamakan Siap Daripada Sempurna

Meletakkan target untuk terus menghasilkan kerja yang sempurna mungkin agak membebankan bagi segelintir orang. Tidak semua orang mempunyai gaya kerja yang sama.

Mengutamakan kerja yang siap berbanding kerja yang sempurna bukan bermaksud anda melakukan kerja separuh hati sahaja. Di peringkat awal, latih diri untuk menyiapkan kerja lebih awal supaya anda mempunyai masa yang lebih untuk memeriksa semula kerja yang dilakukan. Barulah penambahbaikan dapat dilakukan sedikit demi sedikit sehingga menjadi sempurna.

Perihal cara membuat keputusan kadang kala dilihat kecil dan tidak signifikan dalam hidup. Malah, kadang-kadang kita sendiri tidak tahu mengapa kita menjadi seorang yang tidak suka membuat keputusan. Semoga dengan panduan yang telah diberikan, kita mampu menilai cara fikir dengan lebih objektif dan seterusnya dapat memberi kesan yang positif dalam kehidupan.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami