Remaja

Nak Berkahwin Bukan Persediaan, Tetapi Keyakinan!

Oleh Liyana Akmal  •  6 Mar 2015  •  6 min baca

Alhamdulillah, saya menerima banyak respond dan pertanyaan tentang pengalaman saya berkahwin awal semasa umur 23 tahun. Jadi dengan izin suami, saya menulis perkongsian ini untuk menjawab beberapa pertanyaan utama melalui pengalaman saya.

Saya dan suami masih belajar semasa kami berkahwin, dalam tahun kedua. Saya bersetuju untuk berkahwin dengan beliau kerana saya telah di ajarkan tentang ilmu keyakinan sebelum mula menerimanya menjadi imam saya.

Kahwin Muda

Yakin dan berkahwinlah kamu agar dapat menjauhi maksiat. [LensaPijut]

Yakin dengan jodoh dan rezeki Allah meskipun kita sebenarnya tak pasti pilihan kita itu tepat atau tidak. Berbalik kepada tajuk besar atas ni, ya! Sebenarnya nak berkahwin bukan persediaan yang paling utama, tapi keyakinan!

Berapa ramai yang dah bersedia nak kahwin tapi masih belum mendirikan rumah tangga? Pernyataan ini menunjukkan bahawa persediaan itu merupakan usaha kedua setelah kita mempunyai keyakinan yang tinggi untuk mendirikan rumah tangga.

Ilmu ini merupakan asas dalam rumah tangga. Kerana soal yakin ini sangat berkait rapat dengan iman. Dengan hati. Soalannya mudah, takrifkan sahaja maksud IMAN. Disitu ada jawapannya mengapa soal yakin ini menjadi tunggak utama dalam setiap perkara.

Saya Belum Bersedia!

Saya seperti kebiasaan semua wanita, tentulah sangat risau kerana tidak bersedia memegang gelaran ‘Puan’ dalam usia begitu. Pada usia itu, saya sibuk merancang haluan kerjaya, soal menjadi isteri jauh dari fikrah saya.

“Apa taknya, ilmu memasak pun belum lulus! Malah, rakan serumah saya lebih hebat dalam aspek menjaga rumah tangga. Pokoknya saya tidak bersedia untuk menjadi isterinya ketika itu!”

Pada saat saya menerima lamarannya, saya belum dikunjungi rasa cinta. Pada masa itu saya ada pilihan sendiri, tetapi Ummi meredhai lamarannya. Saya buntu dan banyak kali beristikharah, namun masih belum menemui jalannya.

Setiap kali itu, saya akan menjadi resah memikirkan tentang lamaran insan yang saya tak punya perasaan. Setelah itu, saya menolak lamarannya atas alasan TIDAK BERSEDIA!

Saya ditakdirkan bertemu Abuya, iaitu ayah mertua pada ketika itu. Abuya merenung mata saya, seraya berkata:

“Ma ridhallahu illa fi ridha-il-walidaini”
Redha Allah terletak pada redha ibubapa.

Malah Abuya mengulangi tiga kali ayat ini! Saya jadi tak tenang dan tak dapat tidur lena memikirkan ayat ini. Setelah itu saya menelefon Ummi dan menangis semahu-mahunya. Maka, itulah jawapan dan petunjuk Allah untuk saya.

Saya mahukan redha Allah, dan redha Allah itu terletak pada redha ummi dan abah. Saya sudah tidak peduli apa yang akan terjadi kerana saya yakin dengan petunjuk Allah itu terbaik untuk saya!

Ini merupakan langkah pertama saya meyakini soal keyakinan. Iya, setelah itu saya bertatih dalam memahami ilmu keyakinan ini. Keyakinan itu diumpamakan, walau kita disembelih, tapi kita yakin kita masih hidup!

Hati

Yakin dengan hati merupakan jalan yang murni. [4themuslims]

Keyakinan Tangga Kejayaan!

Soal keyakinan itu bukan pada akal, tapi terletak pada hati! Yakin dengan redha Allah, yakin dengan rezeki Allah. Yakin dengan ujian Allah. Yakin dengan bantuan Allah.

Saya yakin dengan pilihan Ummi meskipun saya tak pasti dengan masa depan yang akan saya lalui. Saya juga tahu bakal suami saya pada masa itu bukanlah anak orang kaya, atau pemegang title jutawan, punya rumah mahupun kereta.

Zaman sekarang, ibu bapa meletakkan syarat pula, kalau nak kahwin, kena ada kereta atau rumah dulu. Alhamdulillah, ibubapa saya tidak mensyaratkan itu buat bakal menantunya.

Kahwin Pelamin Sederhana

Bersederhana itu adalah lebih baik. [Shazwani]

Jadi, kami kahwin serba sederhana, tidak ada majlis bersanding dan bermewah-mewah. Dengan berbekalkan hanya keyakinan, maka persediaan itu menjadi lebih mudah meskipun tidak terfikir dek akal mampu atau tidak dilaksanakan.

Alhamdulillah, kami diijab kabulkan pada 21 Mei 2011. Dan bermula lah detik kehidupan rumah tangga, dengan hanya berbekalkan keyakinan dengan rezeki Allah.

Redha Dengan KetentuanNya

Saya membantu suami berniaga dari rumah. Saya ke kelas cuma berjalan kaki lebih kurang 1 km dari rumah flat PKNS berdekatan kampus, kerana kami hanya mempunyai satu motosikal. Suami pula ke kelas dan bekerja menaiki motosikal ke KL dan berulang alik setiap hari.

Assignment Laptop

Walaupun sudah berkahwin, tugasan pelajaran juga tidak dilupakan. [Dave]

Setelah pulang dari kelas, suami terus keluar bekerja, mengambil dan menghantar baju-baju ke kilang dan pelanggan. Saya pula menyiapkan assignment saya dan suami, dan membuat persediaan untuk kelas tuisyen pula pada malam hari.

Setelah itu kami bergegas ke pusat tuisyen untuk menjalankan amanah sebagai seorang guru. Selesai sahaja mengajar, kami akan bersiap-siap pula untuk membuka gerai jualan di Uptown Kota Damansara bersama abang ipar sehingga larut malam. Begitulah lebih kurang rutin harian pada waktu itu.

Meskipun serba sederhana, namun kami terasa begitu mewah kerana di tarbiyah untuk memikirkan ada lagi manusia lebih derita dan tidak mampu menelan sebutir nasi pun! Makanan kami adakalanya dicatu untuk tujuan membeli mesin basuh, peti ais dan televisyen dan kelengkapan lain.

Bilik Rumah Baru Kahwin

Inilah kediaman kami yang baru sahaja bernikah. [Liyana]

Setahun kami tidur hanya beralaskan toto yang dihadiahi semasa hari perkahwinan kami. Gambar yang saya sertakan ini adalah keadaan rumah kami semasa baru berkahwin. Tidak ada perabot ataupun kelengkapan lain. Yang ada, cumalah sebuah kotak printer yang dialaskan papan yang kami kutip di tempat pembuangan sampah. Peti ais cumalah polystyrene box yang berisi ais dibeli dikedai runcit.

Dari saat itu jugalah kehidupan yang serba sederhana itu mengajar kami lebih tentang erti keyakinan. Tidak ada apa-apa, boleh kahwin ke? Tak habis belajar lagi, nak bagi isteri makan apa? Alhamdulillah, saya belum dihidangkan pasir setakat ini.

Yakin Dengan Rezeki Allah

Rezeki itu daripada Allah, bukan daripada manusia. Jadi, kami tidak begitu peduli tohmahan masyarakat yang memandang remeh tentang keadaan kami yang serba kekurangan. Keyakinan itulah yang menambah semangat dan motivasi kami dalam menjemput rezeki Allah.

Setiap orang pasti ada rezeki! Jangan cakap, “tak ada rezeki lagi…” rezeki itu ada, tapi dari sudut yang lain! Pandanglah! Lihatlah! Kesihatan dan keluarga kita juga rezeki! Kemudahan menuntut ilmu juga rezeki!

Gambar Kahwin Liyana

Waktu ini tiga tahun yang lalu, secara sah saya menjadi isterinya. [Liyana]

MasyaAllah, begitu banyak rezeki Allah di muka bumi ini, kenapa kita masih merungut jika nak kahwin tak ada rezeki? Pasti ada caranya. Tentulah dengan ilmu dan yakin dengan Allah.

Alhamdulillah, rezeki kami dimudahkan Allah. Suami dapat mengerjakan haji bersama Abuya dan dapat pula ke U.S. untuk melanjutkan pelajarannya di sana. Pada waktu itu, saya kerap ditinggalkan seorang diri untuk tujuan perniagaan dan urusan haji serta belajar.

Namun itulah usaha saya untuk memahami soal keyakinan ini. Dalam diam, saya bukan diajar secara teori, tapi Allah memberi ujian ini untuk mengajar keyakinan diri.

“Keyakinan itu bernoktah, tidak ada tanda soal.”

Rumusan

Sehingga sekarang saya masih berusaha memahami ilmu keyakinan ini. Yakin ini bukan sahaja penting dalam urusan nak mendirikan rumah tangga, tapi dalam setiap perkara! Yakinlah dengan Allah! Yakinlah dengan keyakinan ini!

Jadi ini pesanan saya buat bakal pengantin yang akan mendirikan rumah tangga, pergilah berguru dan menuntut ilmu tentang keyakinan ini. Dengan iringan doa dan kasih sayang, semoga Allah meredhai perkahwinan anda dan memudahkan setiap urusan kita di dunia dan akhirat.

Sekian sahaja, salam sayang.

*Hah, apa lagi. Jemput juga baca artikel ini juga tentang persediaan perkahwinan yang bajet. Menarik tahu.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Liyana Akmal

Liyana Akmal

Beliau merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kepada Byond Success Sdn Bhd yang beroperasi di Bandar Tasik Permaisuri, Cheras, KL dan merupakan isteri kepada Tn Abdul Basit, peneraju syarikat jenama Byond. Beliau telah mengendalikan perniagaan bersama suami dan memutuskan untuk menjadi usahawan sepenuh masa.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami