Berita

“Muslim Love Jesus?”

Oleh Natirah Azira  •  17 Dec 2018  •  3 min baca

Baru-baru ini tular di media sosial Twitter tentang satu gerakan kempen ‘Muslim Cinta Jesus’ yang dilakukan di seluruh negara. Ada pihak yang mempersoalkan penggunaan nama Jesus dan megatakan bahawa ia agenda pelik sesetengah pihak.

Sebenarnya kempen tersebut dilakukan bersempena Mega Street Dakwah 2018, dan program ini adalah anjuran kali ke-5 sejak tahun 2013.

Beratus sukarelawan dari Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Selangor, Perak, Penang, Perlis,Terengganu, Kelantan, Pahang dan Sabah menjalankan kempen ini secara serentak di seluruh negara dengan mengedarkan kertas risalah  ‘Muslim Love Jesus – He is a prophet of God’ . Mereka juga memberi penerangan berkenaan Nabi ‘Isa atau Jesus yang dipercayai dalam Islam.

Dilaporkan sebanyak dua orang telah memeluk Islam menerusi program tersebut. Presiden Multiracial Reverted Muslims (MRM), Firdaus Wong Wai Hung berkata, kejayaan tersebut hasil usaha para sukarelawan yang tidak jemu dalam menyampaikan dakwah kepada saudara bukan Islam.

Bolehkah Menggunakan Nama Jesus?

Persoalan yang diajukan oleh umum pula adalah tentang penggunaan nama Jesus kerana ia menimbulkan sedikit kekeliruan.

Satu kenyataan telah dikeluarkan oleh Mufti Wilayah Persekutuan berkenaan penggunaan nama ‘Isa dan Jesus ini. Umum mengetahui bahawa Nabi ‘Isa ialah salah seorang nabi yang dipercayai oleh semua umat Islam manakala Jesus ialah figura yang dipercayai sebagai anak Tuhan dalam agama Kristian.

Nabi ‘Isa ialah nama yang digunakan dalam al-Qur’an manakala jika diteliti terjemahan al-Qur’an dalam Bahasa Inggeris oleh penterjemah seperti Abdullah Yusuf Ali, A.J. Arberry, Marmaduke Pickthall dan lain-lain kesemuanya menterjemahkan Nabi ‘Isa sebagai Jesus.

Muslim Mengikut Jesus?

Seruan utama Nabi ‘Isa kepada Bani Israel adalah menyembah Allah SWT, Tuhan yang Maha Esa. Baginda menyatakan:

إِنَّ اللَّهَ رَبِّي وَرَبُّكُمْ فَاعْبُدُوهُ ۗ هَٰذَا صِرَاطٌ مُّسْتَقِيمٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah ialah Tuhanku dan Tuhan kamu, oleh itu, beribadatlah kamu kepadaNya. Inilah jalan yang lurus”.

Ibn Kathir menjelaskan inilah perintah Nabi ‘Isa kepada kaumnya ketika Baginda masih di buaian untuk menjelaskan kepada mereka bahawa Allah SWT adalah Tuhan mereka dan Tuhannya. (Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, 5/231)

Disamping itu, penelitian terhadap Bible juga menunjukkan beberapa persamaan tentang apa yang dilakukan oleh Nabi ‘Isa yang juga dilakukan oleh umat Islam. Antaranya adalah:

  • Lelaki Muslim berkhatan dan Nabi ‘Isa juga berkhatan

“On the eighth day, when it was time to circumcise the child, he was named Jesus, the name the angel had given him before he was conceived”

 (Luke 2: 21)

  • Ucapan Assalamualaikum

“While they were still talking about this, Jesus himself stood among them and said to them, Shalom Aleichem (Peace be with you).”

(Luke 23: 36)

Justeru, apa yang dilakukan oleh Nabi ‘Isa juga dilakukan oleh umat Islam sehingga sekarang. Ajaran tauhid yang dibawa oleh Nabi ‘Isa juga tidak berbeza dengan apa yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW dan diikuti oleh umat Islam. Ini bermaksud kita umat Islam mengikut Nabi ‘Isa baik dari beberapa sudut perlakuannya dan juga akidahnya.

Kesimpulannya, kempen sebegini tidaklah bertentangan dengan akidah Islam. Ia hanya bertujuan untuk mewujudkan perbincangan ilmiah yang sihat antara penganut Islam dan Kristian.  

Pihak Mufti Wilayah Persekutuan juga  mendapat makluman yang ianya adalah usaha dakwah yang dilakukan oleh aktivis Islamic Education and Research Academy (iERA) yang berpengkalan di United Kingdom. Ia mempunyai cawangan di seluruh dunia termasuk Malaysia. Semoga usaha dakwah sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang.

Rujukan:
Al-Kafi #780: “Slogan I am Muslim and I follow Jesus”


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami