Gaya Hidup

Musafir Ke Desa Olak Rambahan, Jambi

Oleh Rasyidah Rahmat  •  31 Dec 2018  •  3 min baca

Mungkin asing sekali bagi sesiapa yang tidak pernah ke Jambi, Indonesia untuk mendengar sebaris nama salah sebuah perkampungan pedalaman di provinsi Jambi iaitu Desa Olak Rambahan.

Sewaktu saya menjejakkan kaki di perkampungan ini, saya ditugaskan untuk melaksanakan program kemasyarakatan di sana dalam tempoh sebulan setengah.

Perasaan yang bercampur baur dan rasa ingin tahu bagaimana corak budaya, kisah hidup masyarakat di sana.

Sejarah asalnya menjadikan saya bersama rakan-rakan yang lain mengambil ruang dan peluang ini untuk belajar sebaik mungkin agar dapat manfaat dan pengalaman yang baik yang boleh dijadikan pedoman dan nasihat kehidupan.

Banyak nilai murni dan pengajaran yang dapat diambil apabila kita bermusafir di negara orang. Sudah pasti terdapat banyak perbezaan berbanding dengan cara orang kita di Malaysia. Perbezaan inilah yang membuatkan kita saling mengenal antara satu sama lain.

Bentuk geografi dan kawasan perkampungan pedalaman yang persis dengan negara kita Malaysia menjadikan saya tidak terlalu kekok dengan suasana.

Hanya sedikit canggung apabila mendengar bahasa yang digunakan oleh orang kampung di Desa Olak Rambahan itu.

Sejarah Desa Olak Rambahan

Sebelum menjadi desa yang defenitif, Desa Olak Rambahan meupakan sebuah dusun yang masih bergabung dengan Desa Teluk dan dinamakan sebagai Dusun Baru.

Pada tahun 1984, Dusun Baru dipecahkan dari Desa Teluk dan diberikan nama Olak Rambahan. Pada waktu itu, Desa Olak Rambahan hanya dihuni sekitar 500 orang penduduk.

Dari semasa ke semasa, dengan berubahnya tampuk pimpinan yang diterajui ketika itu, perkembangan yang semakin baik dari segi fasiliti dan pembangunan masyarakat desa yang lebih baik seiring dengan peredaran zaman pada ketika itu.

Anak-anak kampung yang pulang dari sekolah dan bebas bermain di pinggir jalan menjadikan suasana desa terasa mendamaikan.

Pemandangan seperti itu mustahil untuk kita lihat di ibu kota yang sudah tentu sibuk dengan pembangunan dan banyak kenderaan yang meyesakkan semata-mata memenuhi keperluan hidup manusia.

Pada waktu petang, anak-anak desa bermain di sekitar kawasan kampung dan di pinggir Sungai Batanghari yang penuh dengan sejarah dan pantang larang.

Saya dan rakan-rakan sebagai tetamu menghormati pesanan orang kampung agar mengelakkan daripada berlakunya perkara yang tidak diingini.

Senyum Sapa Dan Salam

Saya cukup kagum dengan ketinggian budi bahasa warga kampung yang meraikan kedatangan saya dan rakan-rakan untuk bersama berganding bahu dalam menjayakan program khidmat masyarakat di situ.

Bermula dengan majlis taaruf (berkenalan) dengan warga kampung. Majlis yang dilaksanakan hanya kecil-kecilan sahaja tetapi meriah dengan sambutan daripada warga kampung.

Seterusnya, saya dan rakan-rakan mengatur program dengan membahagikan tugas mengikut aspek yang ditekankan iaitu dari segi kebajikan masyarakat, pendidikan, olahraga dan adat budaya masyarakat di situ.

Taqwa Dalam Persaudaraan

Dalam artikel kali ini, saya tidak berniat untuk bercerita panjang mengenai kisah dan pengalaman saya berada di Desa Olak Rambahan.

Pahit manis sepanjang berada di desa ini tetap menjadi secebis kenangan yang indah dalam kehidupan saya dan seorang rakan seperjuangan sebagai warganegara Malaysia satu-satunya di situ.

Saya tersentuh dengan firman Allah S.W.T yang bermaksud;

“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah diciptakan langit dan bumi dan berlainan bahasamu dan warna kulitmu. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang mengetahui. Surah Ar-Rum : 22

Satu lagi ayat yang berbunyi;

“Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.”

Subhanallah! Inilah hikmah Allah S.W.T menciptakan kita dengan pelbagai bangsa dan warna kulit yang berbeza. Walau dimana kita berada, kita tetap dapat merasai hikmah daripada makna persaudaraan yang dituntut dalam Islam.

Allah S.W.T tidak pernah menilai hamba-Nya daripada bentuk rupa paras, keturunan dan harta kekayaan. Tetapi harta yang paling bernilai adalah nilai taqwa dalam jiwa sebagai hamba.

Sayonara Olak Rambahan

Pada hari yang terakhir di Desa Olak Rambahan, saya dan rakan-rakan mengadakan majlis perpisahan bersama dengan warga kampung.

Tidak dapat ditahan lagi air mata yang mengalir tanda kebersamaan antara kami dengan warga kampung dalam tempoh beberapa waktu ini benar-benar melakar kenangan yang berharga.

Nilai saling menghormati terhadap perbezaan budaya tidak menjadikan halangan untuk kita berkongsi rezeki dan pengalaman.

Pada zaman yang semakin maju dengan teknologi janganlah kita menjadikan kemodenan itu punca jaraknya sebuah perhubungan.

Teguhkanlah tali silaturrahim walau dimana kita berada. Tidak kiralah siapapun yang kita jumpa sebarkanlah salam dan sedekahkan senyuman.

Moga tersebar rahmat dan kebaikan di seluruh alam. Insya-Allah.

Rujukan;
Catatan Penulis ketika Menjalani Kursus Kerja Nyata (KKN) – Program Khidmat Masyarakat di Desa Olak Rambahan, Jambi, Indonesia, Ogos-September 2017.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Rasyidah Rahmat

Rasyidah Rahmat

Suka mencuba perkara baru dan sangat meminati bidang penulisan dan membaca buku dalam semua genre. Karya pertama yang diterbitkan iaitu dalam siri antologi cerpen Negeri Terengganu. Merupakan mahasiswa tahun akhir sarjana muda syariah di UIN STS Jambi, Indonesia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami