Inspirasi

Muda Di Dunia Cuma Sekali

Oleh Firdaus Rusni  •  10 Apr 2021  •  6 min baca

Kata-kata hikmah dari orang tua cukup menjentik jiwa. Kadang kita jarang berbual dengannya tapi sempat mereka selitkan nasihat yang berguna untuk yang muda.

Seorang pakcik ini bekas imam masjid tempat saya ada berpesan.

“Manusia di dunia ini tidak ada jalannya undur, semuanya kedepan.”

Bila saya dengar ayat ini, dalam hati saya terdetik “cukup dalam perumpamaan yang pakcik ini cuba sampaikan”.

Sambungan daripada pesan pakcik tadi,

“Begitulah kehidupan ini, ianya terus ke depan, muda ke tua, tua ke arah kematian. Jadi kita harus bersiap sedia untuk menuju ke destinasi yang kekal di sana nanti.”

Betul la tu. Bila mereka yang tua berbicara tentang nikmat muda yang pernah dirasai. Pasti timbul keinginan nak kembali semula ke usia muda untuk menggunakan nikmat itu sebaik mungkin.

Mereka akan cakap beruntung jika muda-muda dah gunakan untuk beribadah kepada Allah. Bila dah tua ini kejap sakit dan dah tak kuat macam dulu lagi. Berbeza sewaktu muda dulu.

Mungkin ada dalam kalangan kita yang beranggapan bila dah tua nantilah baru nak berubah, pergi masjid. Sedangkan kita tak pernah tahu perancangan kita itu tercapai ataupun tidak. Mati bukan tunggu tua tapi bila-bila masa saja.

Usia muda memang syok untuk lakukan macam-macam perkara yang menyeronokkan. Masih bertenaga dan gagah. Lagi-lagi zaman sekarang ada pelbagai aplikasi perhubungan dan gaming. Terasa usia muda terlalu singkat untuk meninggalkan semua itu..

Muda cuma sekali di dunia ini. Jangan biar muda ini hanya dihabiskan dengan perkara yang sia-sia. Masa yang berlalu pergi takkan dapat direbut kembali.

Ingatlah pesanan Rasulullah SAW yang biasa kita dengar iaitu muda sebelum tua.

Hebatnya Pemuda

Soekarno pernah kata ” Jika diberi 10 pemuda yang cintakan negara, pasti mampu menggegarkan dunia.”

Ungkapan begini menunjukkan cukup hebat peranan orang muda dalam melakukan pelbagai perkara sehinggakan dunia ini mampu digoncang oleh golongan muda.

Apatah lagi sejarah Islam yang lampau, berapa banyak kisah pemuda yang melakukan perubahan yang mampu memberi kesan kepada dunia.

Seperti Mus’ab Bin Umair, Abu Ubaidah Bin Abi Jarrah dan lain-lain lagi.

Begitu juga kisah bagaimana kejatuhan kota Konstantinople di tangan umat islam. Yang meneraju perjuangan tersebut merupakan seorang pemuda iaitu Sultan Muhammad Al-Fateh. Dikatakan usia Baginda ketika itu berumur 21 tahun.

Selain itu, kisah penaklukan Andalusia yang berlaku sekitar zaman bani Umaiyah lagi. Namun kisah ini jarang didendangkan. Hakikatnya perjuangan ini juga diteraju oleh pemuda yang bernama Tariq Bin Ziyad. Kisah perihal kehidupan beliau tidak dapat direkodkan. Namun kejayaan yang dilakukan oleh beliau bukan biasa-biasa. Luar biasa. Beliau berjaya mengalahkan tentera Visigoth yang diketuai Raja Roderick seramai 100000 orang.

Saya nak kongsikan satu kata yang cukup popular daripada Tariq bin Ziyad.

“Wahai pahlawanku, ke mana akan kau lari? Laut di belakangmu, di hadapanmu musuh. Hanya harapan keberanian dan ketabahan ada bersamamu. … Amirul Mukminin, Alwalid bin Abdalmalik, memilihmu daripada kalangan pahlawannya untuk melakukan serangan ini;…Satu-satu hasil yang dikehendakinya ialah supaya kalam Allah [(SWT)] dijunjung di tanah bertuah ini, dan agama benar ditubuhkan disini…”

Sungguhpun kisah Tariq membakar kapal ini diulas sebagai tidak benar oleh ramai ilmuwan, namun keberaniannya dalam meneruskan perjuangan tidak dapat dinafikan.

Apa yang ingin saya kongsikan di sini ialah masa muda bukanlah masa untuk kita bersuka ria tanpa ada faedah yang terisi. Tidak dinafikan jiwa muda ini senanh mudah terpengaruh dan kuat keinginan mereka melakukan sesuatu itu apabila sudah dipengaruhi. Sebab itu jiwa muda ini amat kritikal apabila dicandukan dengan perkara-perkara yang sia-sia bahkan boleh menjadi maksiat.

Semua orang pasti merasa umur muda jika diberi keizinan oleh Allah. Malah adapun di kalangan kita sudah melalui usia muda yang berbagai-bagai ceritanya.

Saya sendiri banyak kali mendengar cerita pakcik-pakcik ketika usia muda bagaimana kehidupan yang dilalui oleh mereka. Semuanya merasa bersyukur kerana di waktu usia tuanya diberi ruang dan peluang untuk kembali melakukan ketaatan kepada Allah SWT. Tapi terasa rugi sikit kerana bila sudah berumur sudah terasa tenaga kian berkurang. Mudah penat.

Diri mereka pun merasa lesu. Ya, mereka akui, sekiranya masih muda lagi sekarang, pasti akan digunakan untuk berdakwah di jalan Allah. Sekarang sudah terbatas namun jiwa mereka tetap kuat. Bahkan tampak muda.

 Seperti satu kata-kata yang saya dengar dari imam muda Nazrul ketika di kolej dulu.

“Dr Yusof ada beritahu usia muda bukan diukur dari segi umur tapi dari segi semangat kemudaannya untuk menunaikan ibadahnya.”

Sebab itu, manfaatkan masa muda yang masih sihat dan kuat ini. Lagi-lagi  digunakan untuk memberi sumbangan kepada agama islam dan ummah. Semoga kita dapat lihat kehidupan generasi akan datang penuh dengan cahaya keimanan dalam hati mereka.

Memang jalannya tidak mudah dan tidak singkat. Bahkan sangat menuntun banyak pengorbanan. Baca sahaja kisah Mus’ab bin Umair, dahulunya beliau merupakan pemuda yang cukup kaya bahkan kehidupannya begitu mewah dan senang. Kemudian, setelah memeluk agama Islam, kehidupannya berubah 180 darjah. Tiada semua kemewahannya lagi. Sungguh Mus’ab telah melakukan pengorbanan yang besar setelah memeluk Islam. Namun apa yang dilakukan oleh beliau setelah itu.

 Secara ringkas, beliau telah menjadi duta pertama di hantar ke Madinah. Beliau telah berjaya mengislamkan ramai penduduk di sana.

Kesan usaha yang dilakukan oleh Mus’ab Bin Umair, ketika Rasulullah SAW berhijrah dari Kota Mekkah ke Kota Madinah disambut dengan begitu meriah sekali.

Lihatlah, orang muda ini bukan biasa-biasa sekira jiwanya benar-benar punya matlamat dan diusahakan matlamatnya. Tubuh yang masih kuat bisa menampung lagi beban yang berat dan memenatkan.

Oleh itu, wahai pemuda sekalian, hayati usaha dakwah yang dilakukan dari dulu hingga sekarang tanpa henti. Semua usaha ini dilakukan untuk melihat kehidupan sebenar islam tertegak dalam diri umat islam.

Semoga Allah merahmati kehidupan para daie sekalian yang meneruskan menyampaikan segala risalah islam ini.

Teringat saya kata as-Syahid Imam Hasan Al-Banna dalam catatan beliau; WAHAI PEMUDA,

“Ada pemuda yang lahir serta membesar  di tengah-tengah umat yang keadaannya tenang lenang kerana kekuasaannya sudah kukuh dan kemakmuran hidupnya cukup mewah.

Maka ia pun lebih banyak menumpukan tenaga untuk dirinya sendiri dari kepentingan umatnya, malah mungkin dia bermain-main dan berfoya dengan senang hati dan tidak  berfikir apa-apa.  

Di samping itu ada pula pemuda yang lahir membesar di tengah-tengah umat yang terpaksa berjuang dan bertindak kerana mereka dijajah dan dikuasai oleh musuh; oleh itu umat tersebut terpaksa berjuang sedaya upaya untuk mengembalikan hak mereka yang dirampas, harta kekayaan yang disamun. Begitu juga segala kebebasan juga telah hilang.

Pada ketika itulah kewajipan utama lagi pertama bagi pemuda tersebut supaya menumpukan segala perhatian demi  untuk kepentingan umat lebih banyak dari faedah dirinya sendiri.

Ketika bertindak sedemikian itu, pemuda tersebut akan memperolehi kemenangan dan pelbagai kebaikan serta mencapai ganjaran dari Allah dalam bentuk kebajikan dan pahala di akhirat kelak.  

Kita, Angkatan Pemuda Islam ini, bertuah sebab kita termasuk ke dalam golongan yang kedua hingga terbukalah mata kita melihat umat yang terus menerus berjuang serta bertungkus lumus demi kebenaran dan kebebasan.

Oleh itu, bersedialah wahai angkatan kesatria, alangkah hampirnya kemenangan itu untuk orang-orang yang beriman, dan alangkah besarnya kejayaan yang akan dicapai oleh angkatan yang terus menerus bekerja dan bertindak.”

Hayatilah pesanan ini.

Rujukan :
1.Ensiklopedia Sahabat, Syeikh Mahmud Al-Mishri
2. https://kisahmuslim.com/4201-thariq-bin-ziyad-penaluk-andalusia.html
3.https://ms.m.wikipedia.org/wiki/Muhammad_al-Fatih
4. Risalah Pemuda, Imam Hassan Al-Banna.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Firdaus Rusni

Firdaus bin Rusni merupakan graduan dari Kolej Pengajian Islam Johor dalam bidang Pendidikan Islam. Sekarang sedang membantu perniagaan keluarga , merupakan pembantu imam di masjid dan penulis buku antologi Bercakap Dengan Cermin bersama Bonda Nor. Beliau juga minat membaca pelbagai genre buku.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami